Sunday, December 20, 2020

Kau Kiwi Hatiku

 

                            BAB 1

 

            ``Syaza Maira!’’ Jerit Puan Mona dari tingkat bawah.  Bergema satu rumah dengan suara jeritan Puan Mona itu.  Inilah rutin Puan Mona kalau melibatkan anak daranya nan satu tu. Setiap hari dia lakukan latihan vokal.

            Liat sungguh si anak dara hendak bangun pagi.  Bukan suruh buat kerja rumah, bangun solat subuh dan sarapan saja.  Itu pun payah.  Dah lagak ajak pergi perang pulak.

            Bagai terkena renjatan elektrik, Syaza bingkas bangun dari tidurnya yang lena.  Dia mendengus.  Bersepai sudah segala mimpi indah dek  jeritan menyengat klon Ziana Zain tadi.

            Agaknya mama ni kejutkan satu taman barang kali.  Dalam mamai sempat lagi Syaza mengutuk Puan Mona.  Dia menggosok matanya beberapa kali. Dipandang sekilas jam loceng bulat. Namun mata yang sepet terus terbuka melihat jarum jam yang menunjukkan angka 7.00 pagi.

            Ya Allah, patutlah mem besar bertukar jadi singa betina, desis hati Syaza.  Subuh aku dah subuh gajah ni.  Mahu nanti berbakul kena bebel dengan mama.  Huhuhu. Padanlah muka kau Syaza oi. Kalau dah dapat tidur tak ingat dunia.

            Eh, bukan ke hari ni aku ada… Ya Allah! Dia terus bingkas bangun dari katil. Ini bukan mama, dia sendiri yang menyumpah diri. Hal yang penting boleh lupa. Kau memang bengap Syaza!

             Dicapai tuala dan terus menuju ke bilik air.  Hari ni dia mandi ala-ala P. Ramlee and the gang.  Tak kisahlah janji bau wangi. Hehehehehe.

            Macam mana aku boleh lupa ni? Kau memang gila Syaza! Tapi kan… Kau memang nyanyuk pun.  Hal kecil kau boleh lupa inikan pula hal penting macam ni. Ni yang tak boleh blah bila hati mengkhianati tuanya sendiri. Kutuk… Kaw-kaw.  Huwarghhh!!!

            Pintu almari dibuka. ``Baju apa yang nak pakai ni?’’ digaru kepalanya.  Kali pertama nak hadir temu duga, dia tak tahu pakaian apa yang sesuai. Baju dalam almari hanya baju biasa-biasa. Tiada yang luar biasa. Luar biasa macam mana pulak Syaza eh? Kalau yang bukak sana, bukak sini. Ketat sampai semua aset nak bernafas tak boleh! Itu bukan luar biasa. Itu seksa luar biasa.

            ``Aisy, lantaklah pakai apa pun.  Janji kemas.  Dah lewat gila ni.  Mahu sangkut dalam  jem, pukul berapalah agaknya aku nak sampai ni? Entah sempat entahkan tidak.  Arghh, lantaklah.  Pergi sajalah.  Tak sempat aku balik. Apa kisah!’’  

            Tanganya lantas mencapai baju kurung moden warna hijau turquoise. Alahai, ayu la pulak aku hari ni. Hahaha.  Rambut ikal diikat tocang kuda.  Ini lagi satu hal, dah berapa kali kena warning dengan Puan Mona supaya tutup kepala. Sekejap saja dia dengar lepas tu lepa saja, dia lupa balik.

            Dialas wajahnya dengan bedak Jonhson’s baby dan dicalitkan pelembap bibir.  Okey, inilah Syaza.  Gadis yang memang tidak suka pada mekap. Dia hanya memakai yang biasa-biasa saja, malahan kekadang dia keluar tanpa secalit pelembap atau bedak.  Simple is natural beauty, itulah prinsip kecantikan yang dipegang oleh gadis ni.

            Dia belek sekali lagi tubuhnya dihadapan cermin.  Tak nampak pucat, sedang-sedang saja. Just nice.  Tapi dah betul ke aku pakai baju kurung ni? Ke patut tukar lain? Hello, Miss Syaza, kau dah lambat ni!

            Nafas ditarik dan dihembuskan kembali. Dia pandang jam sekali, melompat dia melihat jarum jam sudah menunjukkan angka 8 pagi.  Berdesup  Syaza keluar dari bilik. Kalah The Flash ni.

            ``Syaza, kamu tak nak sarapan ke?’’  Tegur Puan Mona sebaik terlihat kelibat Syaza yang melintas ruang makan tapi terus ke pintu utama.  Dah lewatlah tu? Itulah, dari pukul 6 pagi dia kejukan anak daranya itu tapi tak dilayan. Lebih syok tidur gamaknya.  Sekarang diri sendiri yang kalut.

            ``Sarapan apa ma? Syaza dah lambat gila ni.’’ Cuak bunyi suara Syaza.  Perut dia dah berbunyi, namun kerana kejarkan masa jadi hari ni dia terpaksa kejam dengan perutnya.

            Puan Mona mendapatkan anaknya.  Dia lihat Syaza yang sedang kalut pakai kasut. Dia geleng kepala.

            ``Mamalah kejut lambat.’’ Syaza buat muka merajuk.

            Puan Mona menjegilkan matanya. ``Kita pulak yang disalahkannya. Mama dah kejutkan kamu dari pukul 6 pagi lagi.  Jam loceng kamu tu, dah berapa kali bunyi.  Bunyi jam lesap, kamu masih bungkam dalam kain selimut.’’

            Haa, padan muka!  Kena sedas bebelan Puan Mona sarapan dipagi hari.

            ``Iyer laaa.  Syaza pergi dulu ma.  Assalamualaikum.’’ Syaza menyalami tangan Puan Mona.  Dia mulakan langkah seribu gara-gara nak kejar bas. Kena pulak pakai baju kurung moden. Alahai, kalau aku pakai seluar pun tadi. Seksanya.

            ``Ya Allah, budak ni.  Syaza, jangan nak lari. Jalan sajalah. Jatuh nanti.’’ Laung Puan Mona dari muka pintu.  Syaza angkat tangan tanda dengar apa yang Puan Mona katakan tadi.

            ``Bilalah budak ni nak jadi perempuan sebenar? Hurm…’’ Puan Mona mengumam. Dia kembali ke dapur menyambung kerjanya yang terbantut tadi.  Menyediakan sarapan buat suaminya. Kalau tadi awal pagi anak-anak yang bersarapan kini giliran suaminya pulak.

            Encik Ridwan duduk dimeja makan.  Sejak pencen ni, ini sajalah kerjanya.  Bangun pagi makan dan teman isterinya. Sesekali ada kuliah kat masjid dia akan berjemaah disana. ``Anak dara awak dah bangun ke? Bukan dia ada temuduga pagi ni?’’ Tanya  Encik Ridwan.

            Pinggan yang berisi nasi lemak tu dipandang penuh asyik.  Air tangan isterinya tak pernah mengecewakan.  Sedap hingga menjilat jari, Alhamdulillah.  Itulah sebaiknya dilafazkan. Kerana kesedapan masakan isterinya anugerah dari Allah.

            ``Baru aje pergi.’’

            ``Pukul berapa dia temuduga masa ni baru nak pergi? Sempat ke?’’ Encik Ridwan pandang isterinya.  Ini sah, terlajak tidur.  Entahlah, anak daranya sorang ni… Kalau anak dara lain mesti senang bangun pagi.  Tapi anak daranya ni punyalah liat nak bangun pagi.  Macam manalah kerja nanti.  Hari-harilah isterinya asah vokal.

            ``Entah sempat ke tidak.  Tak silap saya pukul 9.00 pagi atau 10.00 pagi. Itulah yang saya geram dengan dia, dari pukul 6 pagi saya kejut, baru bangun satni.  Lepas tu dia nak salahkan saya pulak sebab tak kejutkan dia.  Apa nak jadilah budak tu.’’  Bebel Puan Mona.  Pening dengan sikap anak dara yang tak seperti anak dara itu.

            ``Hahaha, macamlah awak tak tahu fi’il anak dara awak tu.  Mesti semalam dia tidur lewat lagi.’’  Teka Encik Ridwan yang dah masak sangat dengan perangai Syaza tu. Tidur lewat malam, paginya liat nak bangun.  Apa yang dibuatnya pun tak tahu? Kekadang layan tv sampai ke pagi.

            ``Itulah.  Dah puas bebel tak dilayannya.’’

            ``Yang dua lagi dah pergi kerja ke?’’ Tanya Encik Ridwan merujuk kepada abang-abang Syaza.

            ``Dah lama perginya.  Abang nak ke mana lepas makan ni?’’  Puan Mona letakkan air kopi dihadapan suaminya.  Senang hati lihat suaminya makan nasi lemak dia dengan berselera. Kepuasan seorang ibu dan isteri apabila masakannya disukai ahli keluarganya.  Rasa berbaloi bertungkus lumus didapur, bangun pagi siapkan sarapan.

            ``Tak ke mana pun.  Rasa masuk kebun belakang rumah tu.  Tengok bendi tu dah macam tua, boleh kutip.  Kacang panjang pun sama.  Terung pun dah mula keluar buah, kena tengok kot-kot ada ulat.’’  Jelas Encik Ridwan.

            Sejak bersara itulah yang dijadikan hobinya. Hobi yang menjimatkan duit.  Tak perlulah beli sayur kat kedai lagi. Cukuplah untuk makan mereka sekeluarga.  Lagi pun, sejak bersara tiada kerja yang nak dilakukan melainkan makan dan tidur.  Dari asyik bela perut, baik ada sikit kerja.  Keluarkan peluh.  Tidak adalah penyakit pun nak dekat, Insyaallah.

            Encik Ridwan ada dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.  Yang sulung akan berkahwin dalam dua bulan lagi.  Rasa lega hatinya, sebab anak-anaknya sudah punya kerjaya sendiri.  Yang merisaukan dia dan isterinya, anak bongsu mereka, Syaza.  Manja yang amat.

            ``Ooo. Dah dapat hasil tanaman abang ek.’’

            ``Alhamdulillah.’’ Encik Ridwan senyum.  Pinggan ditolak ke tepi. Kenyang. ``Awak nak ajak saya date ke Puan Mona oi?’’ Encik Ridwan kenyit mata kepada isterinya.  Sengaja nak megusik permaisuri hatinya itu.  Inilah masanya nak bermanja.  Dulu sibuk dengan kerja dan anak-anak.

            ``Date apa kebendanya abang eh? Buang tabiat ke?’’ Puan Mona menjeling manja ke arah suaminya. Pinggan suaminya dibawa ke sinki.

            ``Buang tabiat apanya Puan Mona.  Dah lama kita tak bermanjakan. Sekarang saya dah pencen, anak pun dah besar-besar tak salah rasanya kita date macam muda-muda dulu.’’  Giat Encik Ridwan lagi.  Bibirnya tersenyum nakal. Suka lihat muka malu isterinya yang merona kemerahan.

            ``Isy, abang ni… Nasib baiklah anak-anak takde. Kalau tak buat malu aje.  Gatal.’’ Marah Puan Mona.  Marah manja aje.

            Encik Ridwan ketawa lepas.  Walau pun dah kahwin bertahun lamanya, isterinya itu masih pemalu orangnya.  Kerana sikap itulah mengikat hatinya dengan wanita ini yang kini menjadi teman hidup dan akhirat kelak Insyaallah. Wanita yang menjadi ibu kepada anak-anaknya.

            ``Betul ke nak ajak abang date?’’ Soal Encik Ridwan lagi.

            ``Date apanya abang, dah tua-tua ni.  Saya ingat nak ajak abang cari barang hantaran along.  Ada yang tak cukup lagi tu.’’ Malu-malu Puan Mona menjawab.  Mujur anak-anak takde. Kalau tidak mahu jadi bahan.

            ``Ooo, boleh. Pukul berapa awak nak pergi?’’ Encik Ridwan sengih.

            ``Dalam pukul 11 kut.’’

            ``Ok. Sempatlah saya ke kebun tu dulu.  Kutip sayur yang dah boleh makan tu.  Nanti lama-lama dibiarkan kat situ, dimakan ulat pulak sayang.’’ Encik Ridwan kenyit mata. Nakal.

            ``Iyer la bang.  Saya pun nak kemas kat dapur ni dulu.  Baju-baju belum bersidai lagi.’’  Ujar Puan Mona lagi. Dia senyum bahagia dengan tingkah suaminya. Dah lama tak dengar panggilan sayang tu. Sejak ada anak, panggilan pun berubah. Hehehe.

            Bukan banyak pun barang hantaran yang tak cukup.  Ada satu dua barang saja lagi.  Kali pertama nak kenduri, kelam kabut jugak.  Mana nak tempah catering, dewan, jemputan dan yang seangkatan denganya.

            Si Farid pulak serahkan seratus peratus kepada dia memandangkan anaknya itu sibuk dengan kerja.

 

 

           

            ``Apa punya jantan bawa kereta takde mata!  Arghh, habis punah sijil-sijil aku!’’  Bebel Syaza. Dia hentak kaki.  Giginya dikacip. Berang sungguh dia dengan si penyebab keadaan dia yang tadi punya lawa sekarang dah berserabai.

            Sudahlah dia terkejar-kejar nak terlewat untuk temu duga.  Entah di mana malangnya, datang mamat ni bawa kereta macam ribut, habis orang mahu dilanggarnya.  Di pandang kosong sijil-sijil yang sudah basah lencun tu. Sekali lagi peluang kerjanya melebur.

            Dengan hati yang sakit dia berjalan kembali ke rumah.  Nak pergi temuduga pun dah tidak ada gunanya.  Sebal hatinya.  Tadi kalau tak fikir panjang mahu saja dia terajang mamat sengal tu.  Disebabkan baju kurung yang dipakainya, dia matikan saja niat jahat dihatinya.

            ``Assalamualaikum.’’  Syaza buka pintu dan terus masuk.  Dia takde mood.

            ``Awal kamu balik Syaza? Ni dah kenapa ni? Sijil kamu ni kenapa Syaza? Basah ni haa.’’ Bertalu-talu soalan PuanMona.

            Isy, masa ni la pulak mama nak banyak tanya. Ditinggalkan Puan Mona dengan soalan yang tak berjawab itu. Dia terus naik tingkat atas, masuk biliknya. Dia bersihkan dirinya. Matanya jatuh pada sijil yang tidak berupa sudah tu.

            Makin menjadi-jadi sakit hatinya.  Segala yang berlaku awal tadi terbayang di matanya.

           

            Syaza Maira membuka langkah seribu lagi apabila melihat bas yang akan dinaikinya sudah hampir berlalu pergi dari bus stop. Tanpa pandang kiri kanan dia terus melintas, tanganya melambai kepada drebar bas.  Kononnya drebar tu nampak dan tunggu dialah.  Dan malang tak berbau.  Ketika itulah…

            Pon!!!

            Syaza berpaling ke arah bunyi itu.  Allah! Berdecit bunyi tayar pacuan empat roda itu, barangkali sebab ditekan brek mengejut.  Dek terkejut Syaza terundur ke belakang, dan yang paling malang kakinya terpijak sesuatu menyebabkan dia hilang imbangan dan jatuh.  Fail sijil terlepas dari pegangan mendarat cantik dalam longkang.

            Kereta mewah yang hampir melanggarnya itu berhenti tidak jauh dari dia.  Jantungnya bagai nak tercabut.  Matanya masih terbeliak. Terkejut. Ditarik nafas cuba bertenang.

            ``Cik tak apa-apa? Ada luka ke?’’ Seorang lelaki muda mendekatinya.  Lelaki itu melihat jam ditangan dan menggeleng kepalanya.  Syaza masih belum mampu berkata.  Masih terkejut.  Gila tak terkejut, boleh melayang nyawa dia tadi.

            ``Ok la cik.  Saya minta maaf. Ni kad saya, apa-apa hal awak boleh call saya.’’  Lelaki tu meletakkan kad namanya atas riba Syaza.  Dia sudah lambat.

            Eh, macam tu aje mamat ni nak blah.  Syaza bangun.  ``Kau ingat maaf kau boleh ganti sijil aku yang lunyai tu?!’’ Jerit Syaza.  Bengang dia. 

            ``Cik nak saya buat apa? Saya betul-betul kejar masa ni cik.  Cik mintalah tolong siapa-siapa ek.’’ Soal lelaki itu.  Kelam kabut dia.

            ``Amboi, sedap aje mulut kau mengajar aku ek.  Siapa nak ambil sijil aku dalam longkang tu?!’’ Tajam mata Syaza menikam muka mamat sengal tu.  Harap muka saja hensem tapi otak selekeh.

            ``Erk… Awak nak saya ambilkan ke?’’ Lelaki tu jenguk ke dalam longkang.  Ok, sorry lah.  Takde maknyanya aku nak turun masuk dalam longkang tu.

            ``Dah tu, siapa lagi nak ambil kalau bukan kau?’’ Syaza jeling tajam ke arah lelaki itu. Nak lepas tanganlah tu! Dasar lelaki tak bertanggungjawab!

            ``Hah! Awak dah gila ke cik oi. Maaf, saya takkan masuk dalam longkang tu.  Saya minta diri dulu.  Apa-apa hal awak call saya, tapi dalam tu… Sorry!’’  Lelaki tu terus berlalu masuk dalam kereta dan memecut laju.

            Sah! Minah tu gila.  Ada ke dia nak aku turun dalam longkang busuk tu semata-mata untuk ambil sijil yang dah lunyai tu.  Sudahlah aku lambat.  Mahu membebel mummy dan daddy nanti.  Lagi pun bukan salah aku. Siapa suruh dia melintas tanpa tengok kiri kanan. Bahaya sungguh.

            ``Jaga kau mamat sewel!!!’’ Jerit Syaza. Berbahang hati dia. Nak saja kereta mewah lelaki tu, diketuk-ketuk sampai kemek.

            Ketukkan di pintu bilik mengejutkan dia dari lamunan menyakitkan hati tu.  Jagalah kau, kalau aku nampak kau lagi… Aku lanyak muka kau dengan lada.  Baru padan muka kau! Dah bawa kereta macam orang mabuk ketum.  Huh! Malang sungguh nasib aku hari ni.

            ``Iya.’’

            ``Kamu ok tak ni Syaza?’’ Tanya Puan Mona.

            ``Ok mama.’’ Perlahan saja suaranya.

            ``Hmmm… Yer la. Mama nak keluar dengan ayah ni, kamu nak ikut ke?’’

            ``Tak nak lah mama.  Orang nak tidur.’’ Mood dia dah bersepai.  Usahkan nak keluar berjalan nak bercakap pun dia malas ketika ini.

            Tidur lagi. Puan Mona geleng kepala.  Balik marah-marah pastu tidur. Hai, apa nak jadilah dengan budak ni sorang.  ``Makan dulu.  Tu nasi lemak ada lagi kat dapur tu.’’

            ``Iya ma.  Hati-hati jalan dengan papa tu.’’ Pesan Syaza.

            Syaza baring. Lebih baik aku tidur dari melayan sebal hati aku ni.