Wednesday, November 18, 2020

TAKDIR

 







Bab 1


17 tahun yang lalu

MALIN kayuh basikal melintasi rumah Uda. Sengaja dia pilih jalan jauh untuk balik ke rumah, walhal dia boleh saja lalu jalan yang lebih dekat. Laluan ini sudah menjadi laluan wajib setiap kali dia balik dari menoreh. Terjenguk-jenguk kepala mengintai si dara pujaan. Selalu ada saja di laman rumah menjemur kain atau menyapu sampah.

Entah di mana silapnya tayar basikal Malin terlanggar batang pokok dan…

Argh!”

Uda yang sedang kemaskan kebun di belakang rumah bangun mendengar jeritan yang kuat itu. Dia mengatur langkah ke luar laman. Bibirnya mahu ketawa melihat Malin yang terlentang atas pasir dengan basikal di atasnya.

“Kamu tak apa-apa?”

Malin dongak kepala seraya menyengih. “Takde apa-apa.” Laju dia menjawab. Malu usah katalah. Bagaimana lelaki sepertinya boleh jatuh hanya dengan basikal terlanggar kayu. Aduh! Bikin malu sungguh.

Uda senyum simpul. “Nak saya tolong angkat basikalnya?” 

“Tak apa,” tolak Malin. Tapi dia terkial-kial mahu menolak basikal beralih dari tubuhnya.

“Biar saya tolong.” Uda membalas dengan sopan. Dia ke sebelah sana mengangkat basikal Malin. Kasihan tengok Malin bersusah payah mahu bangun. Lucu pun ada, tapi tidaklah dia mahu ketawa. Tahu Malin malu. “Kamu takde luka?” tanyanya lagi.

Malin geleng. Dia bagaikan terpukau dengan senyum manis si gadis. Tersangat beza senyuman gadis ini dengan senyuman gadis yang pernah dia kenal. 

“Terima kasih.” Ucap Malin mengambil basikal daripada pegangan Uda. Dia mahu cepat berlalu kerana bimbang dia akan lebih terpukau. Wajah lembut yang manis dengan senyuman sangat menggoda jiwa lelakinya. 

Dia terpaut pada Uda. Niat di hati untuk dijadikan isteri, bukan untuk menjadi perempuan teman gembira semata. Dengan laju Malin mengayuh basikalnya meninggalkan laman rumah Uda. Gadis itu ketawa halus melihat kalutnya Malin meninggalkan pekarangan rumah.

Bukan dia tak perasan setiap kali Malin melalui rumahnya, lelaki itu akan terjenguk-jenguk ke dalam kawasan laman rumah. 

“Kenapa Uda?”

“Ada orang jatuh, mak.” Balas Uda sambil memimpin tangan maknya duduk di tangga kayu rumah. 

“Siapa yang jatuh?”

“Malin mak.”

“Malin? Lelaki bujang yang duduk di hujung kampung tu?”

“Mungkin.” Jawab Uda perlahan. 

“Mak tak nampak kamu Uda, tapi mak boleh rasa. Dia ke yang selalu mengintai kamu tu?”

Makin pijar kulit pipi Uda. “Uda hanya perempuan biasa mak. Belajar pun setakat sekolah rendah saja.” Balas Uda merendah diri. Bukan mahu mengungkit takdir hidup sekadar memberi peringatan kepada diri sendiri bahawa dirinya hanya manusia biasa yang banyak kurang. Apa yang ada pada dia hanyalah wajah yang cantik. Adakalanya wajah ini juga menyusahkan dia. 

“Belajar di sekolah tak semestinya orang itu bijak pandai Uda. Ilmu ini bukan hanya di sekolah. Tapi ia ada di mana-mana saja. Di rumah ini, di bendang sana atau di kebun sayur kamu itu sekalipun punya ilmu jika kamu teliti. Setiap langkah kaki kita, ALLAH telah sediakan manfaatnya. Tidak ada yang sia-sia selagi kita percaya kepada-NYA.” Ujar mak lembut. Dia faham perasaan rendah diri si anak kerana dia dulu juga memikirkan perkara yang sama.

Dilahirkan sebagai buta bukan suatu yang dia pinta. Sebagai manusia dia juga mahu melihat alam yang indah ini namun ALLAH berikan dia nikmat merasai bukan nikmat melihat. Apa lagi yang mahu dia dustakan? Sekurangnya dia masih bisa bergerak dan merasai. Masih ada insan yang lain diuji dengan lebih berat daripadanya.

“Terima kasih, mak.” Ucap Uda lembut. Dia akui apa yang dikatakan oleh mak itu ada betulnya. “Jom masuk mak. Uda dah siap masak makan tengah hari.” Tangan mak dipimpin naik ke atas rumah. Serentak dikunci pintu utama sebelum melangkah bersama mak ke dapur.

Mereka hanya tinggal berdua di rumah ini. Ayah Uda meninggal dua tahun lepas kerana sakit jantung. Sejak itu segala urusan rumah, perbelanjaan harian mereka Uda yang uruskan. Bercucuk tanam di tanah sekangkang kera di belakang rumah dan dijual di kedai Pak Ucop. Hasil jualan dapatlah menampung makanan mereka berdua.

MALIN tersengih-sengih sambil mengayuh basikal. Berbunga riang hati dia hari ini. Bukan hanya dapat melihat dari jauh malah turut ditegur oleh si dara. Suara lunak Uda berdengung di telinga. Ah, dia betul-betul dilamun cinta dengan gadis itu. Nampaknya dia perlu bagi tahu Imam Ayub untuk melamar Uda bagi dirinya. Tak sanggup Uda terlepas ke tangan orang lain. 

Dia tahu dalam kampung ni ramai yang mengintai gadis tersebut. Yang dia suka dengan Uda, gadis itu tidak bebas bergaul dengan lelaki. Jika bertemu dengan lelaki kepalanya menunduk ke bawah. Sikapnya yang begitulah menjadi rebutan orang ramai. 

“Abang Malin.”

Kayuhan Malin terhenti. Dia mencari gerangan yang memanggil. Mata dia terpaku pada Jenab yang keluar dari semak. Gadis itu tersenyum manis kepadanya.

“Awak buat apa dalam semak tu, Nab? Bahaya tau.” Tanya Malin tanpa syak wasangka. 

“Oh, pak suruh cari pucuk apa entah tadi. Lupa.” Sengih Jenab.

“Baliklah, Nab. Tengah hari rembang ni.”

“Nak baliklah ni, tu sebab panggil Abang Malin tadi. Nak tumpang boleh?” Manja nada Jenab. Tersengih-sengih entah apa yang lucu pun tak tahu.

Malin garu kepala. Nak kata tak boleh kesian pula dia melihat Jenab yang merah muka dengan peluh. Tapi kalau dia kata ya, apa pula kata orang kampung nanti. Bukan dia tak tahu sikap orang kampungnya yang suka menjaga tepi kain orang.

“Abang Malin tak risau ke nak biarkan Nab jalan sorang-sorang. Tadi abang juga cakap bahaya.” Jenab tukar nada bicara. Seperti merajuk orangnya.

Hurm, yer la. Mari naik. Nak pegang mana pun peganglah asalkan tak pegang abang.” Pesan Malin.

“Ya.” Sengih Jenab makin lebar. Dengan teruja dia naik bahagian belakang basikal. 

Malin mulakan kembali kayuhan. Niat dia ikhlas mahu menolong tanpa dia sedar sebenarnya Jenab sudah lama menaruh hati kepadanya. Penerimaan dia pada ajakan gadis ini juga tanpa dia sedar sudah memberikan harapan.

RAPUH








Bab 2


NAILI lepaskan nafas berat. Rimas kerana hari ini dia kena bekerja. Belum siap kerja, Riftah heret dia ke sini. Sebenarnya dia sendiri sudah lupa tarikh reunion ni. Tambahan pula dia bukanlah penggemar majlis macam ni, datang sekadar menemani Riftah. 

Datang majlis begini bukan untuk bertanya khabar tentang kawan-kawan, sebaliknya mereka sibuk menunjukkan kemewahan diri. Sibuk menayang suami yang kacak dan kaya. Yang lagi tak boleh tahan, apabila suami tu mat salleh. Banggalah dapat menayang pada kawan-kawan yang rata-ratanya bersuami orang Asia.

Jengkel juga dia melihat aksi mereka. Terlalu mencuba untuk nampak lebih berjaya daripada orang lain tak kira daripada aspek apa pun.

“Rif, you tak nak balik lagi?” tanya Naili.

“Sekejap lagi sayang. You dah bosan?” soal Riftah berbisik.

“Penat.” Adu Naili manja.

“Nanti I urut you,” tingkah Riftah seraya kenyit mata.

Naili jeling manja. “Kalau you yang urut, I lagi rela tidur dalam kepenatan.” Dia tersenyum manis.

“Hai, Rif.” Tegur Gee. Kepada Naili, dia layangkan senyum nipis. Sejak tadi dia perhatikan pasangan ini. Puas dia tunggu peluang untuk menyapa Riftah tapi hampa. Meluat dia melihat kedua-duanya asyik berkepit sahaja. Jadi dia putuskan untuk menegur sahaja. 

Naili membalas ala kadar. Dia perasan yang Gee asyik memandang mereka sejak tadi. Huh! Datang tegur selepas putus asa menunggu peluang Riftah bersendirian. Perempuan macam Gee, tingkahnya dalam kocek Naili saja.

Riftah angguk sahaja. “You seorang saja?” tanyanya sekadar berbasa-basi. Takkanlah nak tunjuk sombong pula. Jatuhlah maruah Gee nanti. Apa-apa pun mereka masih kawan.

“Ya. Takde teman malam ni.”

“Oh.”

“You tak menari?” tanya Gee pula. 

Naili yang mendengar tunduk bersama senyum senget. Gelas di tangan diputar-putar. Daripada nada Gee, dia tahu gadis itu bukan sekadar bertanya. Alah, dia dulu pun pernah bersikap seperti Gee apabila berdepan dengan lelaki yang pernah menjadi crush dalam diam.

“Sekejap lagi, I menari dengan Naili,” ucap Riftah lembut. 

“I nak menari tapi takde teman.” Balas Gee sambil melirik Naili kemudian memandang Riftah.

See? Bukankah dia sudah kata yang Gee bukan bertanya tapi mengajak Riftah untuk menjadi pasangan dia. Pandangan Naili menata pada raut Riftah, dia mahu dengar jawapan suaminya. Boleh saja dia masuk campur tapi sengaja dia diamkan diri dan menjadi pemerhati.

“I…”

“Naili, you okey kan Rif teman I menari? Bukan I nak curi Rif pun. He is forever yours.” Ujar Gee.

Naili jongket bahu. Jawapan bukan di tangan dia. Lagi pula, dia bukan jenis tipikal isteri yang membuat keputusan untuk suami. “You tanya tuan punya badan, kalau dia okey, I okey.” Kosong nada Naili. Gelas minuman diletak atas meja. Tak perlu menunggu lama, dia sudah boleh agak jawapan Riftah. Lelaki ini peramah dengan semua perempuan.

“Sayang,” Riftah tarik tangan Naili, mendorong tubuh itu ke dalam dakapannya. Tangan kirinya memeluk erat pinggang Naili. “Betul, tak kesah I menari dengan Gee?”

Tangan Naili naik bermain di dada Riftah. Bibirnya dipaksa senyum. “Dan, I harap you tak kesah I menari dengan lelaki lain.” Pipi Riftah dia kucup lama. Matanya mengerling Gee yang mencebik marah. Cemburu barangkali. Tangan Riftah di pinggang dia tolak lembut. 

Dia sekadar berjalan di sekitar ballroom. Bosan sendirian, dia menyertai kumpulan Rita. “Hai,” sapanya.

“Hai, Naili. Ingatkan tak nak tegur kita orang.” Rita seperti berjauh hati.

Naili sengih. “Baru dapat lepas daripada Rif.”

“Ya, I can see that,” celah Ayuni sambil memuncungkan bibir ke arah ruang tengah ballroom di mana ada beberapa pasangan sedang menari termasuklah Riftah dan Gee.

Naili ketap bibir.  Namun, dia cuba untuk mengekalkan wajah tenang. Rapatnya tubuh Riftah dan Gee, membuat hati dia panas. Tambah pula dengan selamba Gee labuhkan kepala di dada Riftah. “Takpelah, menari saja pun.” Ulasnya ala kadar. “Anak-anak kau mana, Rita?” Sengaja Naili lencongkan topik perbualan.

“Dengan suami aku. Meragam pula dia malam ni.”

“Oh, dah berapa orang anak kau?”

“Seorang, Naili. Baru umur setahun, tengah lasak lagi.” Cerita Rita dengan nafas berat. Kepenatan barangkali.

“Tanya orang, kau bila nak dapat anak? Dah enam tahun kahwin masih lagi berdua,” balas Ayuni.

Naili senyum menerima soalan sinis Ayuni. Dah lali kut. Setiap tahun kalau dia ke majlis reunion ni itu sajalah soalan yang mereka tanya. Itulah salah satu sebab kenapa dia lebih suka bawa diri dalam majlis begini. Menyesal pula dia menyapa mereka tadi. Bosan punya pasal dan sekarang dia sakit hati

“Belum puas hidup berdua, Ayuni.” Dalih Naili.

Hurm… orang tua selalu kata, anak ni pengikat kasih sayang suami isteri. Enam tahun takkan tak puas lagi berdua? Jangan nanti, Rif cari lain sudahlah. Orang lelaki ni bukan boleh percaya. Mulut cakap tak kesah tapi dalam hati lain pula. Belakang isteri diam-diam pasang lagi.” Bersungguh Ayuni bercerita. 

Dia tarik nafas panjang. Kalaulah Ayuni tahu hal sebenar, pasti wanita ini tidak akan bercakap begitu. Orang yang melihat hanya mampu menilai daripada luaran, yang menanggung… dia. Hanya dia yang tahu apa yang dia mahukan! Apa yang dia harapkan daripada perkahwinan ini! 

“Naili.”

Naili menoleh ke sisi. Lidahnya yang mahu membalas bicara Ayuni, terbantut. Kening mengerut cuba mengenali lelaki di hadapannya. “Siapa?”

“Oh, come on? Tak ingat I?”

Teragak-agak Naili angguk. 

Your crush.” Ujar lelaki itu.

“Badlishah?” soal Naili tak percaya.

“Ya, I la.” Lebar senyum lelaki itu.

Not bad you sekarang.” Puji Naili. Atas bawah dia pandang Badlishah. Lelaki yang dulu kelihatan sangat jambu pada mata dia, sekarang sangat manly. Dengan tona warna kulitnya yang gelap sedikit dan berjambang nipis, Badlishah nampak sangat macho.

Badlishah tersenyum bangga.

“Hai, tegur Naili saja?” soal Rita dengan mata terjegil. Bertuah punya kawan.

“Oh, sorry Rita, Ayuni. Kau orang dah lama sampai?”

“Lamalah juga. Aku tunggu Badrul. Aku dah booked bilik hotel ni. Faham sajalah anak kecil ni,” jelas Rita.

Naili angguk. Untung Rita walau baru kahwin dua tahun sudah dapat anak. Dia? Bukan tak boleh tapi Riftah yang menolak. Alasan belum puas hidup berdua bukan datang daripada dia, tapi Riftah. Enam tahun berdua. Seperti kata Ayuni takkan tak puas lagi hidup berdua. Jika ditanya, sudah lama dia teringin hidup bertiga, berempat dan seramai mungkin. Naili sendiri anak tunggal, dia mahukan keluarga yang besar. Riftah ada keluarga besar namun masing-masing bawa haluan sendiri. Hendak jumpa setahun sekali pun susah.

“Badrul tengah selesaikan hal bilik la tu. Ramai pula yang nak check-in.” Dalam maksud kata-kata Badlishah. 

“Macam kau tak tahu. Setiap tahun macam ni. Sebab tu Badrul buat reunion ni kat hotel,” celah Ayuni. 

Naili diam. Ini lagi satu perkara yang dia tak suka. Umpama sudah menjadi satu budaya, selepas reunion masing-masing akan ada urusan sampingan lain. Datang majlis sekadar alasan semata. Badrul pun bodoh, sudah serupa bapak ayam. Ikutkan sangat suara majoriti yang mahukan layanan eksklusif selepas reunion. Huh!

Pandangan dia meliar ke lantai tari. Susuk tubuh Riftah dan Gee sudah hilang. “Sorry guys, I nak ke ‘ladies’ kejap.” Naili beralasan. Dia mahu mencari Riftah dan Gee. Tanpa menunggu balasan yang lain, dia terus atur langkah meninggalkan mereka. Seluruh ruang ballroom dicari tapi susuk tubuh kedua-duanya tidak kelihatan.

“Naili.” 

Langkah terhenti. Dia menoleh ke belakang. Akram!

Akram senyum. 

 

“GEE are you sure?”

Yes!” jawab Gee manja. Dia tolak tubuh lelaki itu ke atas katil. Satu per satu butang kemeja dibuka. 

“Gee, I takkan bertanggungjawab if anything happen to you.” Dia mahu perempuan ini jelas tentang situasi mereka. 

I know.” Nada suara Gee berubah dalam dan menggoda. 

“Gee…”

Shhh… let’s have fun. I want you! Yang lain I tak kesah,” bisik Gee lembut. Dia hanya mahu menakluki apa yang tak menjadi miliknya. Peduli apa jika dia perlu membuang maruah dia atau dia perlu menceroboh hak orang.

Tatkala manusia berdua itu tenggelam dalam kenikmatan dunia, mereka terlupa bahawa ada DIA yang melihat. 

Monday, November 16, 2020

MOCHA GIRL

 



                                        BAB 1



Bekerja di kafe adalah impianya. Menjadi seorang barista juga impianya. Dia seorang pencinta kopi yang amat ghairah terhadap minuman itu. Kopi diibaratkan seperti dadah yang mampu membuatkan dia ketagih dan khayal.

Menjadi satu-satunya barista di Kafe Luth Haqiem bukanlah impian dia. Kenapa? kau orang akan tahu nanti. Tetapi ada satu perkara yang menyeronokkan di sini. Seorang gadis berada dikalangan jejaka-jejaka kacak bagaikan Cinderella bersama tujuh orang kerdil. Hendak pula dirinya digelarkan mocha girl. Mesti nak tahu kenapa dia dapat gelaran itukan? Minuman kegemaran dia mocha. Dan dia tersangat mahir dalam buat mocha. Tak terlalu manis, smooth dan sedap semestinya.

Berbalik kepada pekerja-pekerja kafe ni, semuanya lelaki kecuali dia. Namun, layanan mereka tak pernah berbeza. Sama ada lelaki atau perempuan, mereka akan keluar lepak bersama pada hujung minggu atau selepas habis waktu kerja. Sudah seperti adik beradik.

Jam di dinding belakang kaunter dikerling. Keluhan dilepaskan perlahan. Lagi lima minit ketenangan dia akan diragut dengan kejam. Sejujurnya, dia tak tahu kenapalah lelaki ini suka sangat menyusahkan dia. Dalam kafe ni, bukan dia seorang saja pekerja lelaki itu. Ada ramai lagi tapi dia juga yang dikerah seperti babu.

Haa, inilah yang dia maksudkan satu-satunya kecacatan yang merosakkan keseronokkan dia di kafe ini. Tunggu kejap. Tubuh dia balik berdiri tegak tangan menyilang dada. Mata tunak memerhati jam bulat didinding sambil mulut bergerak mengira.

Satu.

Dua.

Tiga.

``Q!’’ laung satu suara dari tingkat atas.

            Q senyum senget. Rutin seharian seorang Luth Haqiem! Apa yang susah sangat bos dia tu nak faham pun dia tak tahu, orang cakap jangan menjerit, dia menjerit juga. Barangkali dia hendak satu bangunan ni tahu yang dia tu kaki dera pekerja. Kadang bukan untuk hal yang besar pun, benda yang dia boleh sendiri tapi dirinya juga yang diseru Luth. Sampaikan kakitangan kat sini cop dia dengan gelaran `Luth’s girl.’

            Kalau ikut logik akal, memang sesuai sangat gelaran itu dengan dia. Dalam satu hari hampir sepuluh kali dia akan dipanggil menghadap Luth. Hanya hari yang ramai pelanggan saja lelaki itu takkan menganggu dia sekerap hari biasa. Naik bingung kepala memikirkanya. Bila dia usulkan suruh ambil pekerja lain, tak nak. Pekerja lelaki dah ramai. Disuruh ambil perempuan, ayat jawab Luth buat dia naik bingung.

            ``Tak cemburu ke aku ambil pekerja perempuan? Kalau aku lebihkan dia dari kau, kau okay? Tak sakit hati?’’

            Soalan-soalan begitulah membuat otak dia hampir pecah memikirkanya. Apa kaitan dia dengan soalan itu semua. Lelaki itu bos, ikut sukalah mahu beri layanan yang macam mana. Jangan sampai diajak ke tempat tidur, sudahlah. Memang dia bakar dalam oven Khairul tu.

            ``Q, darling!’’ mendatar tapi tegas. Malah terselit nada sinis disitu.

            Terbang segala ingatan masa mula-mula hendak `mesra’ dengan lelaki itu. Suara itu kedengaran dekat, bermakna Luth sudah turun mencari dia dibawah. Kalau begitu pasti apa yang dimahukan adalah sesuatu yang penting.

            Bersama senyum yang dilukirkan, dia pusing tubuh ke belakang. Serta merta bibir yang merekah senyum jadi kaku. Terkerdip-kerdip matanya memandang makhluk dihadapanyanya. Atas bawah dia pandang Luth. Kemudian matanya terhenti pada bahagian perut lelaki itu. 1, 2, 3, 4, 5, 6! Wow! Ada enam ketulan roti… Alangkah indah jika ini milik bakal suaminya! Aman dia di dalam pelukan yang gagah begini.

            Isy! Matanya dipejam celik, pejam celik berkali-kali.

            ``Ehem, dah habis renung?’’ tegur Luth dengan suara dalamnya. Tangan naik mencekak pinggang menampakkan bahagian lenganya yang berotot. Q gigit bibir bawahnya. Mata dia derhaka lagi! bos dia ni pun, kut ya pun nak turun kafe pakailah baju dulu. Ini tidak bertuala saja.

            ``Q!’’ deram Luth. Geram dengan Q yang terpesona sedangkan dia tengah kesejukkan ini. Nak sangat tengok tubuh dia, dengan rela hati dia tayang tapi lepas jadi isteri dialah. Luth senyum jahat dalam hati.

            ``Hah?’’ terpinga Q memandang Luth. ``Kenapa tak pakai baju bos? Aurat ni.’’ Q tunjuk bahagian pusat yang tak tertutup. Tahu pun aurat Q. Dari tadi kau usyar, tak ingat aurat pula.

            Luth senyum senget. Aurat? Amboi, habis satu badan aku dia jelajah sekarang dia sekolahkan aku pasal aurat pula.

            ``Wey, bos! Kenapa buat tayangan percuma ni? Saya tahulah body bos cantik. Aumm, tapi janganlah buat free show bos. Cemburu saya yang keding ni,’’ ujar Luqman.

            Luth jegil mata. Loyar buruk pula Luqman. Dia dah la kesejukkan ni. Baju bersih satu pun tidak ada.

            Q ketawa mengekek. Luqman sengih.

            ``Haaa? Yang awak ketawa tu kenapa Q? ni semua salah awak. Mana baju saya nak pakai? Semalam saya suruh awak ambil kat dobi, awak ambil tak?’’ soal Luth geram. Dua tiga hari ni dia sibuk, terpaksa bermalam di kafe. Pakaian yang dia bawa semua dah kotor, lalu dia hantar ke dobi dan memesan gadis itu ambilnya semalam. Sangkanya semuanya sudah selesai tapi pagi ni bila cari baju nak pakai satu pun tidak ada.

            Alamak! Q tepuk dahi. Aduh, macam mana dia boleh lupa ni. Rambut yang diikat tocang turut bergerak apabila dia kejap tundukkan kepala kemudian menggeleng kepala. Sudah! Patutlah si bos mengaum pagi ni. Siap dengan tayangan percuma lagi dengan…

            ``Woo… aumm, kenapa seksi sangat ni bos. Bertuala saja. Haaa… bos buat apa ek semalam kat sini?’’ aju Aqil dengan sengih nakal.

            Luth kacip gigi. Ini lagi seorang otak tak pernah nak fikir elok. Kuning saja otaknya.

            ``Kau macam-macam, aku potong gaji kau Aqil, Luq.’’ Ugut Luth.

            Serta merta keduanya tutup mulut. Tegak memerhati Q dan Luth. Dalam hati masing-masing gusar andai benar Luth lakukan begitu, pokailah mereka bulan ni.

            Q nak ketawa melihat wajah Luth yang merah padam. Tengah tahan marah la tu. Tapi dia simpan saja tawa itu, nanti ada juga yang kena denda cuci satu kafe nanti. Bukan boleh agak si bujang terlajak seorang ni.

            ``Ampun bos. Saya terlupa.’’ Dua tapak tangan digosok satu sama lain. Mata mengerdip beberapa kali kononya comel.

Tangan yang elok cekak pinggang di silang ke dada. Menampakkan lagi lengan kekarnya. Hati yang hendak marah pun cair lihat aksi Q namun wajahnya tetap begitu. Biar nampak garang diluar tapi dalam hati penuh taman. Hahahah.

``Dah tu aku nak pakai apa ni? aku tak bawa baju lebih lagi sebab harapkan kau ambil. Dah la tengah hari ni aku ada mesyuarat. Kau ni kan…’’

``Bos bagi saya banyak kerja, mana saya nak ingat. Saya ni bukan robot tau. Suruh ambil pekerja lagi, tak nak. Banyak alasan bos bagi.’’ Bebel Q. Dalam ramai-ramai pekerja Luth, hanya dia yang berani merungut.

``Sibuk nak suruh aku ambil pekerja baru. Kan aku ambil nanti ada juga yang makan hati,’’ bebel Luth.

Q juih bibir menyampah. Itu sajalah alasan Luth. Cakap sajalah kedekut nak bayar gaji.

``Bos pinjam baju Aqil atau Luq la dulu. Kedai dobi pukul 9 pagi baru buka bos.’’ Usul Q.

Mendengar usul Q itu, tangan Luth naik menyilang dada. Jelas otot-otot lengan kekarnya terbentuk. Dia pandang Aqil dan Luqman. Nak dia pakai baju budak berdua ni? Masing-masing tubuh saiz XXL.

Q telan liur. Fuh! Godaan ni. Mujurlah Luq dan Aqil ada sekali. Kalau tidak mahu dia jadi zombie, gigit-gigit lengan Luth ni.

            ``Tak nak! Saya nak awak pergi ambil baju saya sekarang. Saya tunggu kat atas,’’ ujar Luth tegas.

            ``Tapi bos, dobi buka pukul 9 pagi. Sekarang baru 8 pagi.’’ Sampuk Luqman.

            ``Isyy!’’ dengus Luth. Dengan wajah tegang dia naik tingkat atas. Mujurlah dia buat tangga ke tingkat atas bahagian dalam kafe. Kalau bahagian luar, niaya!

            Q tahan tawa yang mahu Meletus. Lucu dia tengok muka garang Luth. Aqil dan Luqman sudah mengekek ketawa. Bila lagi nak kenakan si bos. Masa ada peluang ini lah.

            ``Sekarang Q!’’ laung Luth dari sebalik pintu. Bibirnya mengukir senyum.

            Tergeleng kepala Q dengan tingkah Luth.

            ``Q.’’ panggil Luqman.

            ``Mmm.’’ Gumam Q. Tangan meneruskan mengemas meja dan mesin kopi. Dia perlu pastikan semua peralatan tersedia tidaklah nanti dia kalut.

            ``Aku tengokkan bos tu memang tak boleh hidup tanpa kau kan Q?’’ omel Luqman.

            ``Betul-betul. Aku sokong!’ sampuk Aqil.

            Q tepuk dahi. Tak habis lagi rupanya budak dua ni. gelaran Luth’s girl pun budak berdua ni la yang bagi. Katanya senang, tidak ada orang nak usik dah. Barulah bos senget mereka tu tak keseorangan.

            Alahai, masalahnya dialah! Macam mana nak orang dekat kalau sudah dicop begitu. Takkanlah dia mahu membujang sampai tua! Giler ke apa?

            ``Mengarut apa ni? tak habis lagi dengan teori kau orang tu.’’ Acuh tak acuh Q melayan. Apron ditubuh dibuka lalu diletak atas kaunter bar. Dia sudah sedia mahu pergi. Dilambat-lambatkan mahu ada yang meroyan nanti.

            ``Betullah apa kita orang cakap, mana ada mengarut. Bukan aku dan Luq aje perasan tau. Khairul dan Azrai pun sama.’’ Tambah Aqil.

            ``Kau orang takde kerja ke?’’ soal Q.

            Aqil dan Luqman menyengih. Banyak kerja mereka tetapi gossip pasal Q dan bos besar mana boleh diabaikan.

            ``Q!’’ kuat suara Luth melantun bergema.

Dia juling mata ke atas. Geram dengan bos yang tak reti nak sabar, geram lagi dengan Aqil dan Luqman yang banyak songeh. Masa inilah dia nak sibuk bergosip. ``Kau orang mop lantai nanti dan kemas meja. Aku nak pergi ambil baju encik singa tu kat dobi. Mujur dia tak hantar dobi layan diri, kalau tidak mahu dia baham aku, baju ratus-ratus dia tu hilang. Grr…’’ Q melangkah pergi dengan perasaan sebal. Yang salahnya sekarang Luth tapi kenapa dia yang rasa bersalah? Betullah si sewel Luth ni pandai syko dia. Heh!

Aqil jegil pada Luqman.

``Kau punya pasallah ni. Dah kena mop lantai pula.’’ marah Aqil.

``Aku pula? kau pun sama.’’ Luqman lap meja dan betulkan kerusi. Manakala Aqil mengop lantai.

Hari ini mereka lambat beroperasi. Semalam bos besar arahkan semua datang cat kedai serta tukar beberapa aksesori kedai yang kelihatan pudar atau lusuh. Boleh dikatakan hampir seluruh kafe berubah. Lebih segar dan menyamankan. Pemandangan baru yang pasti akan membuat mereka yang datang tercengang. Lukisan-lukisan baru tergantung cantik disetiap sudut kafe.

Kali ini cat yang digunakan lebih ceria gabungan hijau dan pink. Di dinding belakang bar kaunter, terdapat mural beberapa lelaki dan wanita dengan minum kopi. Itu pun semalam baru buat, kawan kepada Luth. Semua rasa kagum dengan bakat kawan Luth.

Satu penambahan lain, Luth letakkan beberapa buah pasu bunga di pintu masuk dan juga beberapa sudut yang dirasakan menarik. Atas meja makan juga diletakkan bunga ditengah-tengahnya. Semuanya bunga segar dari kedai bunga berhampiran kafenya. Memang Kafe Luth berwajah baru untuk tahun ini.

            


BISIKAN ASMARA

 




                                                    BAB 1



Kerusi ditarik lalu dia labuhkan duduk. Peluh hangat membasahi dahi, pasti juga bajunya. Dari site dia ke restoran ni sebab dah berjanji dengan Johan. Ikutkan hati dia nak balik rumah saja, mahu mandi dan tukar baju lain. Sungguhlah, sejak kebelakangan ini cuaca di Malaysia sangat panas. Apakah disebabkan pencemaran udara yang menyebabkan lapisan ozon kian menipis atau… dosa isi bumi yang semakin membebankan bumi.

            Auch! Itu tipikal sangat Ikhwan. Sikit-sikit kaitkan dengan dosa. Mana ada manusia yang mahu percaya hakikat apa yang sedang terjadi pada dunia kini akibat dari perbuatan manusia itu sendiri. Desis hatinya. Dia angkat tangan menggamit pramusaji. Anak tekak yang perit perlu dibasahkan dengan air.

            “Ya, encik. Nak makan apa?”

“Saya nak pesan tea o ais limau satu. Makan sekejap lagilah.” Ujarnya dengan senyum manis. Dia memang belum rasa mahu makan, hanya tekaknya saja yang kekeringan dek dahaga yang melampau. Matanya meliar sekeliling restoran, ruang restoran semakin di penuhi orang. Jam di pergelangan tangan diintai, patutlah. Sudah sampai waktu makan tengah hari. Dan kelibat Johan masih belum kelihatan. Tadi bukan main lagi si teman menggesa dia supaya cepat. Ingatkan dah siap menunggu dia kat sini.

Sementara menunggu Johan sampai dia membuka fail yang dibawa bersama tadi. Bunyi kerusi ditarik dengan kasar di belakang menganggu pembacaanya namun tidak pula dia menoleh. Apa lagi yang boleh dia buat? Takkanlah nak marah hanya kerana orang belakang tarik kerusi kuat sehingga menganggu pembacaan dia. Sudah namanya restoran tempat makan, haruslah begitu resminya.

            “Air encik.”

            “Terima kasih.” Masih seperti tadi senyum manis masih meniti di bibir.

            “Kau dah kenapa Balqis?”

            Mendengar soalan itu tubuhnya terus tegak. Bukan mahu mencuri dengar tapi nada yang bertanya tadi menarik perhatian. Orang perempuan kalau bersembang mana nak pandang depan belakang dah. Kalau teruja lagilah, suara tu takkan perlahan. Kalau tidak ada yang menegur memang mereka takkan perasan.

            “Apa?”

            “Yer la, aku tengok kau bengang sangat dengan kes Yaya tauke kek bulan tu kenapa? Bukan laki kau pun kan.”  Ainatul ketawa kecil. Lucu dengan tingkah Balqis. Dari pejabat tadi lagi Balqis membebel tak puas hati. Serupa yang curang itu suami dia pula.

“Memanglah bukan laki aku. Tapi sebagai perempuan aku turut rasakan apa yang isteri pertama dia rasakan. Apa kau rasa kalau kawan baik kau sendiri tikam belakang kau macam tu? Tapi yang paling aku tak boleh nak terima, kenapa asal masuk bab poligami saja ‘suami-suami’ ni akan guna alasan ikut sunnah Nabi.” Geram sungguh Balqis rasa. Baru sejuk kisah Daie yang buat onar ceraikan isteri masa mengandung datang pula isu macam ini. Siapa yang salah? Haruslah perempuan yang disalahkan.

            Tak pandai jaga suamilah. Tak pandai jaga badanlah. Hey, kalau dah dapat isteri yang cantik, cergas di dapur, subur dalam berikan zuriat tapi tetap juga curang. Masih salah isteri ke? Itu yang buat dia berangin sangat. Dapat isteri serba serbi sempurna sebagai seorang isteri, tetapi juga sibuk makan luar. Apa yang seorang suami mahukan yang sebenarnya?

            “Dah dapat isteri yang cantik, dapat lahirkan zuriat, apa lagi kau suami mahukan? Tak hebat diranjang? Kalau dia hebat sangat ajarlah isteri tu macam nak jadi hebat di ranjang. Bukan main berdegar komplain sana sini tapi tunjuk ajar tak diberikan.” Bentak Balqis sepenuh hati. Berkerut-kerut muka dia menahan geram.

            Ainatul mengekek ketawa. Dia ni kalau tengah marah mulut tu boleh tahan juga. Tapi dia pun setuju dengan apa yang dikatakan oleh Balqis. Isu poligami bukan lagi isu baru malah sudah jadi isu taboo, lagi pula memang dalam islam tak menghalangkan poligami. Cumanya, cara mereka manusia yang bergelar lelaki memperlakukan hukum poligami sesuka hati mereka menjadi hal yang halal di sisi agama haram di sisi pandangan wanita. Pantang dicuit dengan hal poligami, perempuan boleh bertukar jadi raksasa yang menakutkan.

            “Ehem.”

            Deheman itu menarik fokus Ainatul dan Balqis. Serta merta wajah Balqis memerah manakala Ainatul sengih lucu. Semangat sangat meluah perasaan sampaikan tak perasan pramusaji dah ada di sebelah.

            “Mmm, cik berdua nak order sekarang atau nak habiskan diskusi… di ranjang?” teragak-agak pramusaji lelaki itu bertanya.

            Uhuk! Uhuk! Tersembur air Ikhwan mendengar soalan si pramusaji. Sinis sangat tu dik! Dia boleh bayangkan wajah dua gadis tu. Pasti mata menjeling dengan muncung sedepa. Tipikal perempuan kalau tak puas hati.

            Balqis menjeling tapi bukan kepada pramusaji tetapi kepada lelaki di belakangnya ini. Mesti lelaki ini curi dengar perbualan dia tadi. Dia hanya biarkan Ainatul membuat pesanan. Hati dia masih hangat lagi dengan kisah curang. Kenapalah lelaki atau perempuan sekarang sukar untuk setia? Apa yang mereka cari sebenarnya dalam perhubungan ini? Mengapa perlu berdua andai mahu berskandal? Bukan hanya menjemput dosa malah mengurung adab sopan melayu; etika peradaban moral.

            “Mesti dia dengarkan?” ujar Ainatul perlahan turut menjeling ke belakang.

            Ikhwan tegakkan tubuh. Bukan dia tak dengar soalan gadis itu. Namun dia hanya duduk santai seolah dia tidak melakukan kesalahan langsung. Bagaikan dua gadis di belakangnya ini tidak wujud.

            “Entah. Tapi kalau dia dengar pun elok juga, biar dia sedar apa yang kaum dia buat kepada perempuan.” Cemuh Balqis masih bernada geram.

            “Dah la tu. Kau ni pun, cuba jangan emosional sangat. Itukan hal mereka. Bukan hal kau yang perlu kau risaukan. Atau kau memang berangan nak tubuh persatuan isteri di madukan secara paksa.” Mengekek tawa Ainatul melihat wajah cemberut Balqis.

            “Huh! Ada juga yang bakar hidup-hidup nanti.” Bengang! Sakit hati dia melihat senyuman Ainatul. Macam manalah Ainatul boleh optimis begini. Dia juga mahu begitu tapi setiap kali itu jugalah, asalkan isu curang ni masuk telinga dia, berasaplah dia.

            “Kau ni…” Ainatul geleng kepala. “Kita tak duduk tempat dia orang, kita tak tahu apa yang sebenarnya terjadi. Kau hanya baca apa yang di viralkan.” Celah Ainatul memberikan pendapatnya.

            “Jadi kau nak kata yang isteri pertama menipulah!” soal Balqis tak puas hati.

            “Bukan begitu. Setiap apa yang terjadi itu pasti ada sebabnya. Dan sebab itu boleh dicipta. Aku cuma tak mahu kau terlalu ikutkan perasaan. Takut nanti, kalau ada sikit salah kesilapan dalam info yang diviralkan itu, akan jatuh fitnah.” Jelas Ainatul akan pendirianya.

Balqis diam. Ada betul juga apa yang dikatakan oleh Ainatul. Kenapalah dia boleh beremosi sangat?

“Qis, kalau suatu hari nanti kau diuji dengan hal sebegini apa yang kau akan buat?” soal Ainatul tiba-tiba. Tidak ada sebarang niat, sekadar bertanya sahaja. Memandangkan begini sekali penerimaan Balqis tentang poligami, Ainatul terpanggil untuk bertanya.

            Kali ini soalan gadis itu menarik minat Ikhwan sepenuhnya. Dia mahu tahu apa jawapan gadis yang seorang lagi. Entah kenapa dia teringin mahu tahu.

            “Aku sunatkan dia sekali lagi. Tak pun potong terus!” tukas Balqis keras.

            Uhuk! Sekali lagi Ikhwan tersedak. Cuma kali ini lebih keras dari tadi. Tanpa sedar juga tangan sudah naik menutup asetnya. Bagaikan terasa-rasa ngilu. Aisy! Yang kau nak takut kenapa Ikhwan? Bukanya kau kenal perempuan ni pun.

            Eh, kuat pula batuk orang belakang ni. Ni sahih menguping perbualan aku dengan Ainatul ni. Tubuh di bawa berpusing ke belakang. “Hey, awak.” Panggilnya.

            Ikhwan tarik nafas dalam. Fail di tangan dia letak atas meja. Setelah tenang dia pusing ke belakang, sepasang matanya terpanar menatap seraut wajah yang manis bertudung. Bibir halus dan keningnya juga halus. Hidung yang sedikit mancung lagi tirus. Eh, kenapa semua benda yang ada pada wajah gadis ini halus dan tirus? Yang kau pula sempat lagi meneliti rupa dia?

            “Ehem!” dehem Balqis keras.

            “Erk, ya. Cik panggil saya?” soalnya.

            “Ya. Awak curi dengar perbualan kami ek?” tuduh Balqis.

            Terkelip-kelip sepasang mata Ikhwan. Raut wajah dipasangkan riak polos dan pantas pula bertukar riak nakal. “Kalau awak bercakap tu dengan niat nak seisi restoran ni dengar, jangan salahkan saya kalau saya terr… terdengar ya Cik Balqis.” Sinis Ikhwan.

            Balqis kertap bibir. Mana mamat ni tahu nama dia ni? Maknanya memang betul mamat ni curi dengar perbualan dia dengan Ainatul.

            “Lagi satu, soal jodoh, ajal maut tu, kerja Allah. Siapa kita mahu menghalang. Berkahwin satu atau lebih, itu juga aturan Allah.”

            “Eleh, lelaki…”

            “Haa, jangan menyampuk! Saya belum habis cakap lagi.” Tukas Ikhwan. Memang tabiat orang perempuan kali, suka sangat pintas percakapan orang.

            Balqis merengus geram. Ainatul tahan diri dari ketawa. Rasanya Balqis sudah bertemu buku dan ruas.

            “Apa yang saya cakapkan tadi ada tapinya. Setiap pemberian Allah, bukan sekadar suka-suka melainkan ia sebuah ujian. Kaya, miskin, cantik, hodoh, semua itu bentuk ujian yang Allah turunkan. Ketika inilah, manusia itu akan dinilai sejauh mana iman mereka. Lelaki atau perempuan, hanya satu bentuk jasad yang bertemankan roh yang di dalamnya di isi dengan nafsu. Nafsu pula bagaikan segerombolan gajah yang perlu di benteng dan dilawan.” Lama Ikhwan diam. Dia tahu si gadis masih tak mampu menangkap apa yang dia cuba sampaikan. Jelas terlihat pada kerutan di dahi gadis itu dan dia malas mahu menerangkan.

            “Lagi satu, rupa dah cantik, akan lebih cantik jika disulami dengan sabar. Jangan jadikan ‘perempuan mendahulukan emosi dalam perbuatan mereka’ sebagai alasan skeptikal untuk awak menghukum sesuatu hal. Perempuan ini uniknya mereka bukan hanya pada emosi, tapi akal dan…” Ikhwan gantung bicara seketika. Pandangan matanya bertaut dengan gadis yang dipanggil Balqis. Sinar mata gadis itu tidak terlalu terang tapi malap. “Awak perempuan awak fikir sendirilah apa kelebihan perempuan. Allah dah nyatakan dalam kitabullah.” Usai menyatakan itu Ikhwan kembali memusingkan tubuhnya.

            Begitu juga dengan Balqis. Dia kembali memandang Ainatul. Pandanganya bertanya dalam bisu; bingung. Jelas Ainatul juga tidak mengerti kerana si teman menjungkit bahu. Kepala ligat memikirkan apa yang dikatakan lelaki itu.

 

“Argh!” jerit Balqis seraya membetulkan urat leher yang terasa tegang. Sejak tadi dia sibuk menyiapkan audit lepas tu ditimpakan pula dengan arahan mandatori Encik Nazmi supaya carikan kontraktor baru bagi menyiapkan pembinaan Dewan Melur yang hendak digunakan hujung tahun nanti.

            “Woi! Kut ya pun penat janganlah menjerit. Hilang habis keayuan perempuan melayu.” Selar Firdaus.

            Balqis mencebik. “Kau apa tahu? Aku punya stress nak siapkan audit dengan kepala fikirkan kat mana aku nak cari kontraktor baru yang Encik Nazmi nak tu.”

            “Oh ya, sebut pasal tu. Aku ada kenal sorang kontraktor ni. Kau nak aku kenalkan dengan kau?”

            Tegak terus tubuh Balqis. Mata yang layu tadi turut bersinar terang. Dah elok sangatlah ni tawaran Firdaus. Tak perlulah dia pening kepala mencari lagi.  “Mmm, tapi dia terima ke projek kecil ni? Kau tahukan yang dewan tu dah 50% siap.” Itulah yang dia risaukan apabila Encik Nazmi keluarkan arahan untuk dia carikan kontraktor baru. Ada ke kontraktor yang nak sambung kerja terbengkalai orang lain. Lagi pula dewan saja pun kalau perumahan haruslah ramai yang berebut nak.

            Eii, bila fikirkan kontraktor lama mahu saja dia cekik-cekik. Sudah berbaik hati memberi bayaran 50%, dibuatnya kita macam ini pula. Macam mana nak menolong bangsa melayu kalau asyik buat perangai tak senonoh?

            “Aku yakin dia akan terima. Dari yang aku tahu, dia orang tak pernah memilih projek dan setakat ni syarikat mereka antara yang di cari sebab harga yang mereka tawarkan lebih berpatutan dengan kualiti yang mereka gunakan. Senang cakap dia orang memang utamakan kualiti dahulu dari wang.” Jelas Firdaus.

            “Sakan kau melobi. Syarikat kawan kau ke?”

            Firdaus ketawa. “Saudara jauh aku aje. Kau nak tak ni? Kalau nak aku boleh tolong tanyakan.” Tawar Firdaus sekali lagi.

            Lama Balqis termenung sebelum dia angguk kepala. “Kalau dia free, aku nak jumpa hari ni la. Lunch hour atau minum petang pun aku okay.” Putus Balqis.

            Set.” Firdaus capai telefon lalu mendail nombor saudaranya itu.

            “Qis, nanti dia set appointment. Aku dah pass nombor kau kat dia. Dia cakap nanti setiausaha dia yang akan call kau.” Jelas Firdaus sebaik panggilan tadi ditamatkan.

            Yes! Thank you Fir. Fuh! Bolehla aku tidur lena malam ni.” Dua tanganya di depang bebas. Memang dia rasa lega sekarang ini. Kurang satu masalah dalam hidupnya.

            Melihat riaksi Balqis, Firdaus senyum. Dia sekadar angkat ibu jari menjawab kenyataan gadis itu. Kemudian dia kembali fokus pada kerjanya. Hujung bulan memang waktu yang sibuk buat mereka yang kerja di bahagian audit ni.