Friday, August 18, 2023

AYESHA

 



BAB 2


Talianya bersambung tapi tidak diangkat. Ashish mengeluh. Sekali lagi dia cuba memanggil nombor telefon Ayesha, hampa. Kakinya laju melangkah keluar dari universiti menuju ke rumah sewa Ayesha yang tidak jauh dari university mereka.

            Dari berjalan dia berlari. Firasat hatinya tidak enak. Sampai saja di rumah sewa Ayesha, dengan dada tercungap kelelahan dia menolak pagar. Kesunyian yang melingkari rumah itu menambahkan lagi rasa cuak di hati. Kereta Ayesha takde, selipar juga tidak ada sepatutnya itu sudah menjadi petunjuk yang cukup untuk menyatakan yang gadis itu tiada. Namun hatinya tetap berdegil yang gadis itu masih ada. Masih menunggunya.

            “Sha!” panggil Ashish.

            Sepi.

            “Sha, buka pintu ni. Ash tahu Sha ada kat dalam. Tolong Sha, buka pintu ni.” Laungnya lagi namun tetap juga begitu. Sepi.

            Dia terduduk di muka pintu. Kepala menunduk ke bawah. Kenapa mesti ini yang terjadi? Kepala bersandar pada belakang gril. Kelopak mata tertutup rapat. Ke mana perginya Ayesha?

            Derap langkah yang mendekati Ashish buka kelopak matanya.

            “Sha?”

            “Hai, Ashish.” Gadis itu tersenyum tawar.

            “Wan? Mana Ayesha?” lantas Ashish bangun.

            Wan Hasnita menunduk. Tidak menjawab dia hanya menyeluk begnya mengeluarkan kotak lalu dihulurkan pada Ashish.

            “Apa ni?”

            “Ayesha bagi.”

            “Dia ke mana?”

            “Dia dah pergi.”

            “Maksud kau?”

            “Aku tak tahu apa yang dah jadi antara kau dengan dia. Datang jumpa aku dengan pipi yang lencun dengan air mata. Dia suruh serahkan kotak tu pada kau. Dia cakap selebihnya nanti dia akan minta papa dia uruskan. Kenapa Ashish? Kau orang bergaduh ke?”

            Jatuh bahu Ashish. Takkanlah Ayesha tegar lakukan dia begini. Dia boleh jelaskan semuanya. Itu hanyalah salah faham. Bukan dia mahu katakana begitu tetapi provokasi dari Razif. Apatah lagi dia tak anggap itu sesuatu yang serius, hanya gurauan Razif sebaliknya… keluhan melepasi rengkunganya.

            Tubir matanya panas. Jika menangis membuatkan egonya jatuh, menyatakan dia lelaki yang lemah dia tidak peduli kerana ketika ini dia mahu meraung. Dia bakal kehilangan Ayesha. Satu-satunya gadis yang dia ada selepas orang tuanya yang telah pergi lama dulu.

            “Ayesha salah faham Wan. Aku cuba call dia tapi satu pun dia angkat.” Lemah nadanya.

            “Aku tak tahu nak tolong kau macam mana. Kau carilah kat rumah orang tua dia. Kat sini, semua barang dia dah bawa keluar.”

            “Apa?”

            Wan angguk. Dia sendiri tidak sangka nekad begitu sekali Ayesha. Merajuk sungguh gadis itu. Tapi apa yang nak kisah Ayesha ada kerjaya sendiri. Sambung belajar pun kerana mahu kenaikan pangkat. Lainlah Ashish yang masih pelajar. Kadang kasihan juga dia dengan lelaki ini, bukan takde yang mengata hubungan Ayesha dan Ashish namun dia kagum dengan Ashish yang mampu menolak ego ke tahap paling bawah sekali. Berjalan seiring dengan Ayesha.

            Tangan naik meraup muka. Kepalanya kian serabut.

            “Aku rasa lebih baik kau fokus kepada final exam dulu. Tak ke mana pun Ayesha tu. Nanti dia datang juga exam, kau jumpalah dia masa tu.” Cadang Wan tanpa tahu yang sebenar. Keadaan jika semudah itu Ashish takkan kalut begini. Dia takkan resah jika salah faham Ayesha tak membawa ke rajuk.

            “Terima kasih Wan. Aku balik dulu.” Lemah kakinya melangkah meninggalkan kawasan perumahan itu. Melangkah mengikut langkah kaki. Dia tiada daya mahu menghalang. Air mata lelakinya jatuh juga. Dia duduk bersandar pada sebatang pokok. Sungguh kakinya sudah tidak mampu melangkah kaki.

            Tubuhnya terasa ringan, bagaikan kini yang tinggal hanya jasad tanpa roh. Kotak di tangan di tenung lama kemudian di bawa mendekat. Melihat kotak itu saja dia sudah tahu apa di dalamnya.

            ‘Beginikah akhirnya hubungan kita Ayesha?’