Sunday, July 30, 2023

SANDIWARA (CHAPTER 2)


 


Bab 29

 

            “Hans!”

            “Dah jumpa?” Aku nampak Keith mengangguk. Lengan baju aku lipat sampai siku kemudian bersandar pada badan kereta. “Shoot.”

            “Aku dapat tahu, kebanyakan business dia kat Thailand semua beroperasi dengan cara tak sah.”

            Aku senyum senget mendengar penjelasan Keith. Tak pelik sebenarnya maklumat yang Keith sampaikan itu. Dunia sekarang asal kau ada duit, apa pun kau boleh lakukan. Duit lebih berkuasa dari apa pun. Tangan aku bawa naik mengusap dagu. Walaupun perniagaan lelaki itu dijalankan secara tidak sah, aku yakin setiap inci perjalanan perniagaan itu diatur dengan teliti.

            “Kau jumpa apa-apa yang mencurigakan?”

            “Susah Hans. Walaupun perniagaan dia melalui cara yang tidak sah, aliran wang keluar masuk akuan dia tidak ada yang pelik. Lagi satu, aku rasa kau akan terkejut dengar ini.”

            “Apa dia?” aku bersuara teruja. Pasti Keith ada maklumat yang berharga.

            “Duit yang dia dapat, dia akan tukarkan kepada aset dan dipindahkan ke atas nama anak dia. Begitu juga dengan perniagaan dia kat sana.”

            “Hah? Anak dia tahu ke?”

            “Aku bet dia tak tahu langsung.”

            Aku pandang Keith lama. Ini berita yang aku baru tahu. Kalau semuanya di atas nama anak dia, macam mana nak kaitan lelaki itu dengan segala kegiatan haram dia. Licik! Tan Sri Marzuki memang lelaki yang licik.

            “Kau nak aku buat apa sekarang?”

            “Kau follow saja plan asal kita. Yang lain aku inform balik nanti.” Terus aku teringat kata-kata Damien hari itu. “Kau ada jumpa Damien?”

            “Kau tak tahu ke?”

            “Apa pula ni? banyak aku ketinggalan sejak kebelakangan ni.”

            “Jack, anak buah Lim buat hal dengan Damien. Aku rasa tak lama lagi…”

            Telefon aku yang berdering meminta di angkat. Terus termati bicara Keith. “Ajwa.” Aku beri isyarat sekejap kepada Keith. “Kenapa Aj?” aku diam mendengar bicara Ajwa. Dahi aku mengerut tebal. “Kau hantar lokasi kepada aku.” Talian terus aku putuskan. Kembali menoleh kepada Keith aku berikan arahan ringkas. “Kau siasat lagi. Aku pasti dia orang akan buat silap, cumanya tak tahu di mana. Tidak ada benda yang sempurna di atas dunia ini.

            Bahu Keith aku tepuk. Langkah kaki aku atur masuk kembali ke dalam rumah. Niat tadi mahu keluar sekejap berjumpa dengan Ajwa tapi apa yang disampaikan Ajwa buat dia terkejut. Ajwa ni memang nak kena!

            Bunyi pesanan masuk, aku tarik telefon. Pesanan dari Ajwa. Kaki aku laju berlari naik bilik. Menukar pakaian serta kunci motor. Helmet disarungkan ke kepala. Enjin motor dihidupkan, tidak menunggu aku terus memecut. Tidak mahu menunggu lebih lama, bimbangkan keadaan Damien.

            Sampai ke alamat yang diberikan oleh Ajwa, aku terus turun dari motor. Mata melilau melihat rumah banglo yang sudah usang itu. Ada lagi orang jadikan rumah usang sebagai tempat persembunyian. Mahu tergelak namun aku tahankan.

            “Hans.”

            Aku menoleh. Dari dalam semak aku nampak Ajwa yang menggamit. Laju kaki aku mendapatkan perempuan itu.

            “Kau dengan Damien buat apa ni?”

            “Jangan banyak cakaplah.”

            Eh, nak marah aku pula. Patut aku yang marah dia dengan Damien. Buat keputusan tak libatkan aku bila ada masalah pandai pula cari aku. Ini kalau aku cakap begitu, mesti ada yang merajuk cakap aku suka mengungkit.

            Now, talk!”

            “Jack. Beberapa hari lepas dia ada call aku, ugut nak cederakan Ikmal dan ahli keluarga mertua aku yang lain dengan syarat, dia mahukan kau.”

            “Aku?” jari aku tuding pada diri sendiri. “Siapa Jack?”

            “Aku tak tahu. Aku bagitahu hal ini kepada Damien sebab kau tengah sibuk dengan hal Mr Lee. Mana aku tahu Damien nak menyamar jadi kau.”

            Hans garu kepala tak gatal. “Yang aku pelik macam mana Damien boleh tertangkap. Dia tu juara taekwando.”

            “Dia nak selamatkan aku.”

            Hurm… inilah masalahnya kalau melibatkan hati. Damien tu sampai sekarang masih sukakan Ajwa walaupun adik dia ni sudah berkahwin dan bakal dapat anak. “Yang kau pun, aku dah pesan banyak kali jangan libatkan diri dengan benda macam ni lagi.”

            “Hans! kau nak membebel ke sekarang? Damien tu yang perlu kau bimbangkan.”

            “Ya, aku tahulah. Kau pergi duduk dalam kereta. Tunggu isyarat dari aku.” Aku tinggalkan Ajwa. Berjalan masuk ke dalam rumah usang tu dengan lagak macho. Bukan cara aku serang secara sembunyi.

            Di bahagian bawah aku nampak beberapa orang lelaki sedang berkawal. Semua mata tertoleh kepada aku. Barangkali tak sangka aku datang ke sini.

            “Kau siapa?”

            “Aku nak jumpa ketua kau.” Ujar aku kepada lelaki berambut kerinting itu. “Bagitahu dia, Hans Reza datang.” Tukas aku lagi tenang. Langsung tidak terjejas dengan pandangan helang mereka. Huh! mereka belum tengok aku bertukar jadi helang lagi.

            “Han… Hans…”

            “Kenapa? Takut?” aku senyum senget. Jelas lelaki yang jerkah aku tadi kelihatan goyah. “Bagitahu bos kau, aku tunggu kat sini. Bawa sekali kawan aku.” Suara aku tegas dan tajam. Masa bermain sudah tamat.

            Bergegas lelaki itu berlari naik ke atas. Aku hanya tegak berdiri memerhati tangga. Walau begitu aku tetap bersiaga.

            WellWell.. dah muncul Hans Reza.”

            Aku dongak kepala. Objek pertama yang mata aku cari, Damien. Lelaki itu kelihatan biasa-biasa saja. Tidak ada luka yang teruk pun sekadar pecah bibir, mata bengkak dan pipi bengkak saja.

            “Ya, aku. Aku dengar kau nak jumpa aku.” Nada aku lontar angkuh.

            “Ya, tapi mamat bodoh ni mengaku dia Hans Reza.”

            Aku senyum melihat lelaki itu menolak kepala Damien. Rahang Damien bergerak-gerak menahan marah. “Kau nak apa?”

            “Kawasan di Pelabuhan Klang.”

            Jeda. “Kawasan tu bukan aku punya. Kenapa kau minta dengan aku?”

            “Sebab kau boleh dapatkan untuk aku.”

            Meledak tawa Hans. Jadinya lelaki ini nak dapatkan kawasan tu. “Tapi… kau dah sentuh salah orang bro.” Aku betulkan tangan. Kaki aku orak mendekati lelaki yang bernama Jack itu. “Kau… dah sentuh adik aku! Keluarga adik aku.” Suaraku dengan nada tertahan. Terus berubah wajah lelaki itu. Tangan aku naik mencekak leher Jack. “Kau patut datang jumpa aku terus.” Tajam mata aku menentang pandangan Jack.

            “Aku…”

            “Kau dah buat silap,” pintas aku seraya menggeleng kepala. 

            “Aku…”

            Tubuh Jack aku angkat tinggi. “Kau dah buat silap!” aku lempar tubuh Jack ke lantai. Menoleh ke Damien, dua lelaki yang sedang pegang Damien meluru ke arah aku. Kaki aku terdorong ke belakang. Mata aku picing memerhati pihak lawan. Mudah saja dia mahu jatuhkan mereka. Tersangat mudah!

            Lelaki berbaju kuning menerpa ke arah aku, tangan aku angkat dua jari aku luruh ke depan mendarat di bahagian atas di tengah antara leher dan dada, mengunci pergerakan lelaki itu. Kemudian aku menoleh ke belakang bila telinga aku mendengar derap langkah yang laju berlari ke arah aku. Terus aku sengetkan tubuh, tangan aku hayun menghentak belakang si penyerang.        

            Mengerling ke arah Damien aku lirik senyum bangga. Lelaki itu hanya mencebik. Satu persatu jatuh dikerjakan aku. Bukan beria pun aku lawan sekadar mengunci pergerakan mereka sahaja. Lagi pula aku tahu mereka ni semua bukan tahu asas pertahanan diri.

            “Aku tak rasa kau yang menjadi dalang semua ni kan?” aku betul curiga. Jika benar lelaki ini mahukan kawasan Pelabuhan Klang, kenapa tidak upah samseng yang lebih berpengalaman.

            “Aku…”

            “Siapa upah kau?”

            “Aku…”

            “Siapa?” jerkah aku. “Atau kau nak aku bisukan lidah kau baru kau nak cakap siapa yang upah kau?” sengaja aku gertak begitu. Mana ada orang yang sanggup menjadi bisu.

            “Tan Sri Marzuki.”

            Aku senyum senget. Lelaki itu… memang licik. Depan aku bukan main baik lagi tapi belakang aku, kau pasang perangkap ya. “Kau bagitahu dia, jangan jolok harimau yang sedang tidur. Aku lepaskan kau kali ni. Tapi untuk kali kedua, sama ada nyawa kau atau nyawa aku yang melayang.”

            Berdesup lelaki itu lari. Aku kembali mendapatkan Damien. “Kau kenapa sampai kena tangkap?”

            “Yang lawan aku semalam bukan Jack.”

            “Maksud kau?”

            “Aku tak tahu siapa, tapi dia ada Ajwa. Dia ugut aku nak apa-apakan Ajwa. Kau rasa aku nak biarkan?”

            Aku tarik nafas dalam. “Kau bermain dengan api bro.”

            “Mana Ajwa?”

            “Aku suruh dia tunggu dalam kereta.”

            “Jom!”

            Aku hanya mengikuti Damien dari belakang. Agaknya aku nanti akan jadi seperti Damien? Setia dengan cinta sehingga sanggup korbankan nyawa sendiri.

           


Wednesday, July 26, 2023

SANDIWARA ( CHAPTER 2 )


 

BAB 28


Suatu masa dulu…

          Langkah kaki aku terhenti. Bunyi suara tangisan yang mendayu membawa kaki aku mengubah haluan. Kaki aku automatik mengikut bunyi tangis itu. Kepala menoleh ke kiri dan kanan, tiada sesiapa di kawasan ini. Peluh kecil mula tumbuh di dahi aku. Jantung pula sudah berdetak lain macam. Waktu masih siang, takkanlah ada yang…

            “Wey, kau nak ke mana ni?”

            Aku urut dada yang terkejut. Terus aku layangkan pandangan tajam ke arah Damien. Lelaki ini suka sangat sergah aku. Ingat jantung aku ni diperbuat daripada konkrit agaknya.

            “Kau dengar tak?”

            “Apa?”

            “Bunyi tangisan tu.” Aku toleh ke arah Damien. Lelaki itu mengerutkan dahi barangkali sedang memikirkan soalan aku atau sebenarnya dia tak dengar apa yang aku dengar. Entahlah, malas nak tunggu jawapan Damien langkahku buka semakin laju. Telinga aku picing agar dapat mendengar dengan jelas arah datangnya tangisan itu.

            Berhenti di satu lorong, aku lihat satu susuk sedang duduk bersila sambil memeluk beg. Gadis kecil dengan rambut tocang. Bahu dia bergerak-gerak mengikut alunan tangis. Kena rompak ke? Itu telahan pertama yang masuk ke dalam kepala aku. Perlahan-lahan aku melangkah mendekatinya. Mahu bertanya dan melihat dengan lebih dekat. Entah kenapa, hati aku begitu meronta untuk aku dekati dia.

            “Hans…”

            “Kejap. Aku nak tanya budak perempuan tu, kenapa dia menangis?”

            Damien mendecit, aku dengar itu. Salah satu peraturan hidup kami, jangan masuk campur perkara yang bukan urusan kami. Tapi aku sedang pecahkan tradisi itu.

            “Ehem.” Aku berdehem kuat agar dapat menarik perhatian gadis itu. Terus suara tangis tadi terhenti. Aku sendiri jadi kaku. Keras sangat ke nada suara aku tadi sehingga gadis itu ini terus terdiam tangisnya.

            “Kau okay?” soal aku lagi. Melihat diamnya gadis itu aku mahu mengalah. Mungkin gadis itu hanya mengalami masalah biasa. Ya, gadis muda yang putus cinta.  Kaki yang mahu melangkah pergi terbantut hanya dengan sebaris ayat dari gadis itu.

            “Help me.”

            Aku menoleh. Terpanar. Sinar mata gadis itu yang kelam. Raut wajah yang basah dengan air mata. Lirih nada gadis itu masuk ke dalam hati dan menapak di situ. Aku… terus kelu. Pandangan kami bertautan sehinggalah gadis itu bangun dan berlalu. Aku masih juga begitu. Berdiri dan terkaku.

            Help me… berdengung sebaris ayat itu dalam kepala aku. Apa maksud gadis itu?

 

 

Masa kini…

Buku lima aku genggam dan aku hujani wajah lelaki itu dengan tumbukan padu aku. Bercakap banyak tapi satu pun tidak berguna. Entah macam manalah Datuk Hamidi boleh ambil lelaki ini jadi adik iparnya. Sudahlah bercakap tak gunakan otak lepas tu tangan tu…

“Ni, tangan yang tak guna!” aku pijak dan penyek semahu aku.

“Argh!” raungan yang melangsi kuat tidak aku hiraukan.

“Lain kali, jadi manusia jangan bongkak. Hidup ni biar miskin harta tapi adab jangan miskin sama.” Aku larikan kaki dari tangan lelaki itu. Tuala kecil atas meja aku capai lalu dilap tangan aku yang penuh darah.

“Setan kau Dragon.”

Aku senyum sinis. Dalam nyawa-nyawa ikan mulut masih lagi berani bersuara. Memang bebal sungguh. “Kau tak takutkan?”

“Buat apa aku takut dengan kau! Kau… hanyalah anjing Datuk Hamidi.”

Bersirap darah aku mendengar kejian itu. Aku ni anjing Datuk Hamidi? Hello, anjing hanya diberi makan tapi aku dapat duit. Dan bukan sikit tau. Nak juga aku hamburkan begitu tapi takde guna. Bercakap dengan manusia bebal ni hanya akan membuatkan aku ikut sama bebal macam dia.

“Kau tahu apa aku akan buat kalau aku marah?” pisau rambo atas meja aku capai. Aku pusing kembali ke arah lelaki tadi. Duduk bertinggung di hadapanya, pisau rambo aku mainkan pada jari jemari lelaki bodoh ini. Dapat aku lihat betapa gigil tangan dia. “Aku tak pernah bunuh orang. Dan aku tak nak kau orang pertama yang sebabkan aku jadi pembunuh!” aku menyelar tajam padanya. Mentanglah sejak tadi aku bersikap baik hati hanya membelasah muka dia saja. Naik tocang kau ek? “Untuk makluman kau, setakat patahkan kaki dan tangan kau sehingga lumpuh seumur hidup, itu bukan satu hal besar bagi aku.”

“Cukuplah tu.” Damien muncul bersama Keith. Aku jeling keduanya. Pandai pula suruh aku berhenti. Tapi nak handle mamat sorang ni pun tak dapat.

“Kau bawa apa yang aku suruh tu?”

“Hmm.” Sampul coklat Damien hulurkan. Aku senyum lebar. Ini lagi satu, suruh cari maklumat tentang ni pun lama.

“Keith, kau uruskan dia. Atas meja surat tukar hak milik saham dia dah tanda tangan. Kau bagi kat Datuk Hamidi.” Aku turun ke tingkat bawah. Dahaga pula aku rasa.

“Kau nak buat apa dengan maklumat tu semua?”

Aku pandang Damien. Aku tahu dari nada Damien dia seperti menyimpan curiga. Halaa, macamlah aku pernah buat jahat pada perempuan. Hey, bab perempuan ni dia memang jaga sikit. Aku tak pernah berlebihan dengan perempuan walhal mereka yang datang menyerah diri.

Rimas bila melibatkan perempuan. Merengek konon manja, fuh! Itu bukan cara aku. Jenis yang lembut macam jeli, acah-acah manja itu bukan selera aku. Tapi yang ini… sampul coklat aku pandang penuh minat. Di dalam terdapat maklumat tentang dia yang mampu membuatkan aku senyum seperti sekarang.

“Kau dah uruskan dia untuk aku malam nanti?

“Keith dah uruskan. Kau dah tahu siapa dia. Yang kau suruh aku siasat lagi buat apa?”

Aku menoleh kepada Damien yang memandang aku pelik. Betul la tu, sebenarnya aku dah tahu siapa dia. Bukanya susah pun nak tahu tentang dia. Dia sangat terkenal di kalangan ahli perniagaan yang baru bina nama atau mereka yang sudah lama dalam dunia perniagaan.

“Aku nak tahu apa hubungan dia dengan Tan Sri Marzuki.”

“Maksud kau?”

“Aku pernah nampak dia bercakap dengan Tan Sri Marzuki.”

“Skandal dia?”

“Tak. Kau dah siasatkan Damien. Mesti kau tahukan?”

“Aku rasa kau pun dah tahu hubungan mereka.” Damien mencebik dan aku hanya menyambutnya dengan tawa besar. Memang aku dah tahu hubungan Tan Sri Marzuki dan dia. Tak sangka sebenarnya. Bagaimana orang boleh tak tahu tentang hubungan keduanya? Dah mereka pun pandai berlakon. Sungguh ketika aku mula-mula dengar kenyataan tu, aku terkejut. Kenapa?

“Sebab kau lambat buat kerja.”

“Aku pula.”

Damien duduk atas bean bag. Aku hanya perhatikan tingkah sahabat baik aku itu. Lama aku pandang wajah Damien dan aku tahu ada sesuatu yang mahu dikatakan oleh lelaki itu.

Sampul tadi aku letak atas island table. Langkah aku atur menyertai Damien dia santai atas bean bag menghadap laman belakang. Bunga-bunga sedang berkembang mekar. Tidak langsung duduk aku bukakan pintu kaca itu. Mahu wangian bunga tersebut menyerbu masuk ke dalam rumah dan membiarkan haruman segar menyerikan isi rumahnya.

Idea tanam bunga kat belakang ni, idea Ajwa. Rindu pula dia dengan Ajwa. Rumah ini kosong sejak Ajwa kahwin dengan Ikhmal. Hanya Damien yang menemaninya di rumah ini itu pun hanya sesekali. Sebab Damien ada tugas lain yang telah dia serahkan pada lelaki itu.

“Serius aku nak tanya kau ni.”

“Apa Damien?”

“Kau nak buat apa dengan budak tu?”

“Hey, dia bukan budaklah. Dia… kalau aku…” sengaja aku gantung ayat dan melirik nakal pada Damien. Lelaki juihkan bibir sahaja. Menyampahlah tu. “Dah boleh mengandung tau.”

So?”

So?” sengaja aku ulang soalan Damien.

“Kau jangan bermain dengan api Hans.”

“Kau masih bermain dengan api Damien?” sengaja aku berikan soalan itu kembali kepada Damien. Ala, bukan aku tak tahu sampai sekarang Damien masih menyimpan perasaan pada Ajwa. Siapa suruh lambat luahkan perasaan, sekali Ajwa terlepas ke tangan orang lain.

“Aku main api terbakar sendiri. Kau… lain Hans. Kalau kau tahu kisah hidup dia, aku yakin kau takkan sanggup lukakan dia.”

“Siapa cakap aku nak lukakan dia Damien?”

“Dah tu untuk apa kau cari maklumat tentang dia? Nak jadikan skandal supaya kau dapat balas dendam pada Tan Sri Marzuki? Atau kau nak buat dia jatuh cinta dengan kau lepas tu kau buang dia macam sampah? Kau rasa itu akan menyakitkan hati Tan Sri Marzuki?

Aku pandang Damien. Jauh sungguh pemikiran Damien. Keluhan aku lepaskan berat. Bukan salah Damien juga jika lelaki itu beranggapan demikian. Ini kali pertama dia bersungguh suruh Damien siasat tentang perempuan. Hendak pula perempuan tu ada kaitan dengan Tan Sri Marzuki. Haruslah Damien salah faham.

“Kau nampak aku sejahat tu ke?”

“Hati manusia bukan boleh di duga.”

“Hati aku… jernih Damien. Kau pun tahu. Kau boleh nampak terus ke dasar melalui hati aku.”

Aku dengar keluhan yang keluar dari mulut Damien. “Aku tahu kau risau. Aku cuma mahu berkenalan dengan dia. Kau jangan bimbang.”

“Kau kena ingat hati manusia berbolak balik. Jangan sampai kau yang terduduk nanti.”

Damien bangun meninggalkan aku sendirian memikirkan kata-kata akhir lelaki itu. Tangan naik meraup wajah. Jujur aku mahu kenali dia bukan kerana dendam atau apa. Aku cuma mahu melihat wajah indah itu lagi. Senyuman yang manis walaupun hanya lakonan semata. Pandangan mata yang mesra walaupun dia tahu itu juga lakonan. Untuk kali pertamanya, dia merasakan begitu pada seorang perempuan.

 

SANDIWARA ( CHAPTER 1 )


 


Bab 3

 

      Keluar dari bilik air dengan hanya berjubah mandi kaki di bawa melangkah keluar bilik. Pintu bilik Dinar diintai masih lagi tertutup kemas. Kaki aku kembali melangkah ke dapur. Pintu peti ais aku buka, satu tin coke aku bawa keluar. Pintu balkoni aku buka dan labuhkan duduk di buaian.

            Mata memanggung melihat langit yang semakin hilang sinar siang menandakan yang malam bakal menjelma. Apa yang aku harus lakukan sekarang ini? Betapa sunyinya hidup aku. Ketawa halus terbersit. Kau nak salahkan siapa Fa? Kau yang pilih jalan ini.

            Mommy! Papa! Agaknya sampai bila kita bertiga akan begini? Sampai bila kita akan terasing dalam dunia masing-masing. Fa rindukan mommy dan papa walaupun antara kita tidak pernah ada kenangan manis. Bodohkan aku? Mereka, entah ingatkan aku atau pun tidak. Selalu aku pujuk hati yang terluka dengan berkata kepada diri. “Ingati mereka sebagai tanda hormat di atas jasa mereka selama ini.” Hanya dengan sebaris ayat itu aku pujuk diri. Cumanya aku tak tahu sejauh mana aku mampu bertahan dengan bujukan itu.

            Lagu ost dari rancangan Romantic Teacher Kim berkumandang laju. Dengan malas kaki di bawa ke ruang tamu. Melihat saja nama di skrin, bibirnya menguntum senyum senget.

            “Yo babe. Any new job for me?

             “Kalau aku call kau haruslah ada job. Kau free tak malam minggu ni?”

            “Rasanya free. Escort siapa kali ni?” Darwina kalau call memang bukan dengan tangan kosong. Pasti akan ada kerja untuknya. Itu sebablah aku suka Darwina jadi orang tengah untuk mencari sebarang kerja untuk aku. Dia memang terbaik dalam bab mencari kerja ini.

            “Kali ni bukan vip tapi taraf dia lebih kurang vip la.”

            Kening aku dah berkerut. Apa ke berbelit ayat Darwina ni. Bukan vip tapi taraf vip? “Kau nak buat lawak apa ni?”

            “Aku cakap betullah. Dia… lebih gah dari vip. Kau akan ternganga kalau dengar latar belakang dia.”

            Aku dengar tawa Darwina memenuhi corong telefon. Suka hati sungguh minah ni. Kalau dah begini riaksi Darwina, pastinya subjek kali ini memang terbaik. Dan itu membuatkan rasa ingin tahu mencanak naik.

            “Majlis apa?”

            Well, ikut syarat kau. Majlis VVIP untuk semua ahli perniagaan dalam Malaysia. Sebenarnya, lelaki yang kau perlu escort ni taikun dalam perniagaan.”

            Penjelasan ringkas Darwina membuatkan bola mata aku meluas. Taikun dalam dunia perniagaan? Wow! Ini kali pertama aku kena escort orang penting yang lebih penting dari vip bak kata Darwina. Tapi apa jenis business yang dia buat sampai di panggil taikun?

            “Dia buat business apa?”

            “Ini yang akan buat kau melopong babe. Taste kau sangat.”

            Ah, rasa teruja aku mencanak naik. Kalau taste aku maknanya, ala-ala lelaki jahat yang berkarisma. Kalau bahasa elegenya, badboy.  Auch! Dah lama aku tak merasa teruja begini. Kalau dah badboy, haruslah terunakan? Muda? Dan… hensem? Hahaha… kali ini kalau bintang itu boleh dilihat jelas matanya berbling dengan bintang.

            “Kau jangan nak gatal sangat Fa.”

            Amaran Darwina hanya disambut dengan tawa. “Kau dah cetuskan urat gatal aku dengan sebut taste aku. Kau nak aku bayangkan apa babe?” aku hamburkan tawa galak. Aku bangun dari kerusi, membawa langkah kaki ke bilik. Bersembang sambil berbaring lebih enak.

            “Huh! Kau memang. Jangan pula nanti kau jumpa mamat ni terus hilang ‘prinsip escort girl’ kau tu.” Tekan Darwina dan itu aku dapat dengar dengan jelas. Darwina… Darwina… macamlah baru hari ini aku buat kerja ini.

            Aku belum kelabu matalah. Dah berpuluh lelaki kacak dari umur sebaya aku sehingga yang tua tapi gagah, tidak pernah sekalipun aku terbabas. Yang selalu terbabas tu mereka. Merayu mahukan lebih. Uh! Untuk bab ini aku belum cukup bodoh untuk serahkan diri aku kepada mereka biarpun dijanjikan dengan berjuta janji manis. Lelaki, semua sama! Perempuan… kelopak mata terpejam rapat. Bawah bibirku gigit menahan sebak yang membeku di dada mencair dan terzahir di tubir mata.

            Sungguhlah hari ini jiwa aku sensitif!

            “Ceritakan pada aku tentang dia?”

            “Dia dipanggil taikun bukan sebab business dia besar. Tapi sebab dia… samseng dalam dunia korporat ni.”

            “Maksud kau?”

            “Dia tawarkan khidmat kepada peniaga yang memerlukan khidmat dia. Contohnya, untuk dapatkan kontrak atau untuk uruskan musuh dalam dunia perniagaan. Atau dalam bahasa lebih mudah, dia yang tolong selesaikan segala masalah dalam dunia koporat. Dengan cara dia! So, kau tahukan betapa bahayanya lelaki ini.”

            Penjelasan Darwina disambut senyum lebar. “Itu sebab kau cakap taste aku.”

            “Ya dan aku risau kau akan… digulai dia.”

            Meledak tawa aku dengan perkataan digulai Darwina. Ingat aku ni ayam ke? “Hey, ini akulah Wina. Fa, the one only escort girl yang kau boleh sentuh tapi… berpada.” Bangga? Mestilah aku bangga, sudah dua tahun aku jadi escort girl dan sampai sekarang aku masih mampu pelihara dara aku. Bukan takde yang merayu untuk berakhir di atas katil, tapi bagi aku mudah. Sekali kau terjebak kau takkan mampu patah balik. Jadi, untuk apa kau jebakkan diri aku ke dalam lohong yang jelas gelapnya. Cukuplah kebodohan yang telah aku lakukan. Selebihnya biarlah aku cerdik sikit. Hahaha.

            “Kau jangan berlagak. Kau belum tengok dia lagi Fa. Aku bet, bila kau tengok dia… kau akan lupa segalanya. Aku bet kau Fa.”

            Bibir bawah aku gigit kuat. Bila Darwina beria bertaruh begini, aku cuak. Hebat sangatlah lelaki ini sampai Darwina yakin mampu cairkan hati aku? “Kata-kata kau buat aku teruja nak jumpa dia.”

            “Haih. Nanti pembantu dia akan jemput kau kat kondo. Alamat dan nombor telefon kau aku dah bagi pada pembantu dia. Dan… dia juga akan hantar pilihan baju untuk kau pakai malam tu nanti.”

            “Uh! Macam kerek je.” Aku memang jengkel layan sikap renyah begini.

            “Hahaha, kau tengok sendirilah nanti.”

            “Hurm. Dia ada sekali ke nanti?”

            “Aku dah check, dia memang ada.”

            Senyum yang hambar tadi kembali lebar. Tidak kisahlah siapa dan apa jenisnya lelaki yang bakal dia escort nanti, yang penting dia ada. Lagi pun apa yang aku lakukan sekarang untuk buktikan pada dia, yang dia silap. Aku… mampu berdiri tanpa dia. Aku mampu membentuk hidup aku tanpa bayangan dia.

            Perbualan dengan Darwina telah lama tamat namun akal aku masih lagi ligat berfikir. Memikirkan dia. Bibir aku melakar senyum. Hanya dengan penjelasan Darwina dia sudah mampu menembusi akal aku agaknya apa yang akan jadi bila aku bertemu dia nanti? Apakah seperti yang Darwina katakan, yang aku akan tewas pada dia?

            Bingkas bangun dari katil aku melangkah ke depan cermin. Biasan tubuh di cermin aku pandang lama. Disebalik jubah mandi ini terdapat susuk tubuh yang menjadi idaman lelaki berhidung belang. Ya, aku akui yang aku cantik. Tuala yang membaluti kepala dibuka membiarkan rambutnya lepas bebas. Kaki di atur melangkah lebih dekat. Lama aku memandang biasan tubuh aku di cermin hingga datang satu bisikan.

            ‘Apa yang kau banggakan dengan tubuh kau ni? kau mampu jadikan tubuh kau ni perisai dari api neraka?’

            Kaki aku terundur ke belakang. Kepala aku menoleh ke kiri dan kanan, bisikan tadi terasa sangat nyata di cuping telinga. Detak jantungku semakin laju. Liur yang aku telan terasa sangat berpasir. Punggungku labuhkan dibirai katil. Otak ligat berfikir dan nyata aku sangat terkesan dengan bisikan tadi. Malas mahu terusan memikirkan, aku naik ke atas katil. Selimut aku tarik menutupi seluruh tubuh. Mata dipejam rapat agar lena datang menjemput.

  ‘Inikah maksudnya Nailah?’ bibir aku kertap kuat sehingga terasa pedihnya. Resah sendiri Fa tolak selimut, turun dari katil kaki diatur kembali ke ruang tamu. Terpaku di situ, sunyi! Sangat sunyi. Akhirnya aku hanya mampu dengar keluhan yang keluar dari mulut aku.

‘Beginikah akhirnya?’

Mata aku pejam rapat. Kembali ke bilik tidur aku hempas tubuh atas katil.

‘Beginikah akhirnya?’

Tangan naik menekup telinga. Berharap segala bisikan itu tidak lagi menjamah telingaku. Seketika semuanya kembali normal dan aku…

‘Bawalah aku pergi.’


Tuesday, July 25, 2023

SANDIWARA ( CHAPTER 1)


 

Bab 2

           

            Perlahan-lahan pintu bilik Dinar aku tutup. Lama aku berdiri kaku di depan pintu bilik Dinar. Aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan sekarang? Bagaimana mahu menolong Dinar? Dengan langkah yang longlai aku masuk bilik. Tubuh direbahkan atas tilam empuk. Mata kembali terpejam. Dahinya mengerut, telinga bergerak-gerak. Degungan yang sedang memasuki telinga aku ketika ini bukan yang pertama kali. Tetapi acap kali dan aku sudah kalih. Kenangan pahit itu memang sukar untuk aku luputkan maka aku akur. Akur dengan permainan takdir hidup aku.

            “Kau ingat aku nak berkawan sangat ke dengan perempuan tu? Kalau bukan sebab mak ayah dia sanggup bayar duit untuk aku jadi kawan dia, memang tak ingin aku. Dah la manja lepas tu suka bercakap sorang-sorang.”

            Terus mata yang terpejam dicelik kembali bersama air hangat yang membasahi pipi. Bibirku melorek senyum nipis. Itu harga kasih sayang orang tuaku. Sanggup membayar orang untuk menjadi kawan walhal mereka terlupa yang aku mahukan adalah kasih sayang mereka. Keprihatinan mereka.

            Aku pernah mengadu pada papa tentang Salwa namun maklum balas papa sangat mengecewakan. Pedihnya terasa sehingga kini.

            “Pa, kenapa papa sanggup bayar Salwa kawan dengan Fa?” aku nampak kerutan di dahi papa. Tandanya papa terkejut dengan soalan aku.

            “Mana Fa ambil cerita ni? Tak baik tuduh kawan macam tu. Tuduh papa juga.”

            Hendak saja aku hamburkan tawa sekuat hati aku. Lucu! Sangat lucu permainan papa ini. Apakah papa ingat aku ni budak perempuan hingusan yang senang di tipu. Ya, dulu mungkin tapi tidak sekarang! Dulu asalkan aku dapat apa yang aku mahukan, aku tidak kisah mummy atau papa ada di rumah atau tidak. Apa yang mereka hendak lakukan langsung aku tak kisah.

            “Fa dengar sendiri pa. Dia mengaku pada kawan baik dia yang papa bayar dia untuk jadi kawan Fa. Kenapa pa?” nada aku makin lirih. Bosan sebenarnya dengan kehidupan aku yang dikawal sepenuhnya oleh papa. Aku tidak ada kawan bukan salah aku, mommy dan papa yang terlalu prejudis dengan mereka yang nak berkawan dengan aku. Setiap kali aku bawa balik kawan, papa akan soal macam-macam sehingga esoknya mereka akan hindarkan aku. Pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada aku.

            “Fa, papa sibuk. Kita bincang hal ni lain kali ya.”

            Aku kertap bibir kuat. Aku nampak papa sedang mengemaskan kot di badan dan mama… muncul dengan menarik bagasi besar. Sekali lagi aku akan ditinggalkan sendirian di rumah besar ini! Poor Fa.

            “Apa yang bising ni abang?”

            “Awak tanya anak kesayangan awak tu la. Bising sebab kita bayar Salwa untuk berkawan dengan dia. Benda kecil pun nak bising. Bukan kita guna duit dia pun.”

            Bebelan papa menyentap hati aku. Benda kecil papa cakap? Ya, mungkin kecil bagi papa sebab bukan papa yang kena hadap semua ini. Di kolej semua orang memandangnya pelik. Semua orang… yang cuba rapat dengan aku hanya kerana mahu mengambil tempat Salwa. Pokoknya, semua yang datang hulurkan persahabatan tidak dibawa keikhlasan bersama.

            “Fa…” sentuhan mommy tidak aku rasakan. Kosong. Apakah hati aku yang hitam atau memang sentuhan mommy yang kosong tanpa kasih? “Apa yang kami buat semua untuk kebaikan Fa.” Pujukkan yang kedengaran seperti alasan di telinga aku.

            Kali ini tubuh aku didakap mommy, masih juga seperti tadi. Aku tidak merasakan apa-apa. Aku tidak temui nikmat dipeluk ibu sendiri. Sekali lagi aku bertanya, apakah hati aku yang hitam untuk menilai atau sememangnya perbuatan mommy itu tidak ikhlas. Keluhan terlepas tanpa sengaja dan itu mengundang jelingan tajam mommy. Memang pantang bagi mommy kalau aku mengeluh ketika bercakap dengan dia. Sudahnya, aku ini patungkah? Mahu bersuara dihalang. Mahu mengeluh juga dihalang. Mujur saja aku mahu bernafas tidak dihalang.

            “Apa yang tak cukup lagi Fa? Kami berikan semua. Dalam bank, duit beribu untuk Fa guna. Kad kredit sentiasa penuh untuk Fa guna juga. Apa lagi yang tak cukup sampai mengeluh? Belajar bersyukur. Belajar berterima kasih pada orang tua.”

            Teguran mommy aku sambut tawar. Patutnya pesanan itu mommy guna untuk diri sendiri. Rasanya mommy dan papa yang lupa bersyukur dan berterima kasih. Hendak saja aku hamburkan begitu meski begitu rasa hormat aku buat mereka masih ada. Lagi pula aku tahu, kalau aku katakan begitu harus banyak lagi ungkitan yang akan disebut mommy dan papa. Ada ketika aku merasakan, mereka tidak ikhlas dalam menjaga aku. Jika mereka ikhlas mengapa perlu mengungkit?

            “Jes, cepat. Kita dah lewat ni.”

            Coming. Sepanjang mommy takde jangan buat hal. Jangan ajak kawan datang rumah.”

            Setelah pipi aku dicium mommy berlalu. Dan aku masih diam membisu. Memandang pintu agam yang menenggelamkan tubuh mommy. ‘Jangan buat hal’. ‘Jangan ajak kawan datang rumah’. Aku ketawa kuat, sungguhlah hidup aku sangat melucukan.

            Aku ingatkan mommy mahu pesan, ‘jaga diri.’ Tapi kalau difikirkan balik bila masa mommy meninggalkan pesanan begitu padanya. Paling tidak, ‘jaga rumah ni elok-elok’ mommy lebih risaukan harta bendanya dari aku.

            Dentingan jam menyentak lamunan aku. Terus aku bingkas bangun tangan meraup wajah. Jauh tenggelam ke dalam masa lalu. Jam di dinding dikerling, hampir 6 petang. Berendam di dalam tab harus menyegarkan.

 


Sunday, July 23, 2023

SANDIWARA (CHAPTER 1)

 


BAB 1

Asap rokok aku sedut dalam-dalam. Membiarkan asap yang aku sedut tadi masuk ke dalam setiap rongga tubuh aku; merosakkan sistem paru-paru atau jantung? Ah, aku tidak peduli. Kerana apa? Hati aku sendiri sudah rosak bukan kerana rokok tapi kerana aku sendiri. Orang kata hidup ini tentang pilihan. Ada dua cabang yang perlu dipilih, dan aku telah lama memilih hidup aku. Aku biarkan diri aku berterusan hanyut dalam dunia ciptaan aku sendiri. Ya, itulah yang aku pilih… dunia ciptaan aku sendiri. Aku yang melorekan perjalanan hidup aku sendiri. Aku bahagia begini.

            Sekali lagi aku sedut asap itu bersama tarikan panjang dalam cubaan menarik rasa tenang juga. Tenang? Hahaha… berapa banyak penipuan yang aku mahu tebarkan untuk diri aku sendiri, aku juga tidak tahu. Gila apa dengan hisap rokok tenang akan datang. Sama juga dengan  menelan segala pil tu, bodoh! Di mana datangnya tenang jika kau memilih jalan yang bengkok!

            Oh, kau sedar rupanya yang kau sedang berjalan yang bengkok Fa. Tapi kenapa kau tidak betulkan jalanan kau? Kenapa harus kau masih berjalan di jalan yang bengkok? Tubir mata mula bergenang. Alangkah indah jika aku mampu betulkan perjalanan hidup aku semudah tempelakan hati aku. Alangkah bahagianya jika aku… mampu menolak segala yang mendatang semudah aku menyedut asap rokok ini. Hakikatnya ia tak mudah.

            Batang rokok yang masih berbaki aku tenyeh dalam tray. Rambut yang serabai dikirai dengan jari lalu disanggul tinggi. Kaki dibawa melangkah ke balkoni. Melempar pandangan luas ke depan menggamit kenangan pahit dalam diri. Apatah lagi bila duduk sendirian begini. Mulalah pelbagai hal masuk ke dalam fikiran.

            Apakah kesudahanya hidup aku nanti? Beginikah; kelam tanpa sinar atau akan datang satu masa cahaya yang menyuluh perjalanan hidup aku? Yang bakal menarik aku di dasar lembah ini, kembali ke muara? Masih adakah ruang untuk aku kembali ke pangkal jalan? Dosa manusia bernama Nailah Farafisya masih bisa diampunkan ke?

            Kepala menunduk ke bawah. ‘Kegilaan apakah ini Fa. Sejak bila kau membina impian menjadi wanita bahagia? Sejak bila kau mula fikirkan taubat? Atau kau sudah mula takut dengan bayangan maut Nailah Farasfisya?’ Senyum sinis terbentuk di bibir. Menyinis kepada diri sendiri. Siapa saja tidak takut akan mati. Aku juga begitu, aku takut akan mati. Hanya dengan menyebut perkataan mati saja, aku rasa kering darah dalam tubuh aku. Gementar sekujur tubuh aku yang masih bernyawa ini namun aku tetap juga begini. Tetap juga berada dalam dunia yang aku cipta. Tetap juga bergelumang dengan noda yang aku pilih.

            “Fa!”

 Teguran tiba-tiba membuat bahu aku terangkat. Terkejut disergah begitu lantas kepala menoleh ke sisi. Kelihatan Dinar sedang memandang ke arah aku dengan senyum lebar. Aku tarik senyum nipis seraya menggeleng kepala. Melihat kepada senyum Dinar aku tahu dia bawa pulang sesuatu.

            “Kau bawa apa pula kali ni?”

            Fifty Shades.”

            Aku lihat Dinar sengih tapi aku geleng kepala. Apa ke gilanya Dinar ni, sejak semalam marathon cerita 18sx ni. Bila aku suruh dia kahwin, tak nak pula. Katanya menyusahkan. Nanti hidup jadi macam arwah mak dia. Jadi hamba seks suami sendiri! alasan tak menahan langsung. Seks merupakan perkara kedua terpenting dalam hidup selepas wang ringgit.

            “Kau tak muak ke Dinar? Dari semalam kau menggila. Sangap sangat ke?” selarku. Dengan Dinar ni tak payah nak cakap ayat cover atau lembut. Serang dengan ayat terus terang lebih cepat sampai kepada otak dia yang bengong tu.

            “Amboi, mulut kau! Aku sumbat juga dengan tin air ni kan.”

Jelas nada Dinar marah tapi ada aku kisah. Betul apa? Kalau tak sangap gila apa menonton cerita 18SX tu sampai berkeping dvd. Apa yang Dinar nak cari? Kepuasan? Kepuasan apa yang dapat dicapai dengan melihat aksi erotik orang lain. Jujur, aku sendiri tak faham apa faedah menonton cerita begini melainkan menyeksa diri sendiri.

            “Betul apa? Kalau dah sangap kahwin la beb. Aku tengok Adli tu kemain mengurat kau. Kau tak layan kenapa?”  buai besi yang sengaja aku letakkan di balkoni menjadi tempat aku labuhkan punggung. Malas aku nak duduk di ruang tamu dengan Dinar.

            Senyap! Mungkin Dinar dah selamat melayan cerita Fifty Shade dan aku menutup kelopak mata. Terasa panas kelopak mata dah hati disapa sendu. Ada rindu yang terpendam namun aku tak pasti rindu itu untuk siapa. Huh! kenapa hati jadi tisu pula hari ini?

            Aku kembali membuka mata bila terasa ada buaian itu dihenyak sesuatu. Tak perlu lihat siapa aku tahu orangnya Dinar. Namun setelah lama Dinar diam, aku menoleh. Wajah yang manis dengan senyuman tadi sudah bertukar muram. Pandangan Dinar juga jauh ke depan seperti ada sesuatu yang menganggu dia. “Kau ada masalah?”

                “Bila masa hidup aku takde masalah Fa.”

Tawa kecil Dinar kedengaran namun aku tahu ia sangat hambar. Seperti hambarnya raut wajah Dinar ketika ini. “Aku ada kalau kau nak kongsi.” Lebih baik aku begitu saja dari mendesak. Menunggu dia bercerita dan aku tahu dia akan bercerita. Kerana kami hanya ada satu sama lain.

            “Ayah aku cari aku.”

Kenyataan itu menarik Fa menoleh kepada Dinar. Dalam debar dia menanti sambungan bicara Dinar. Dua tahun ayah Dinar menghilangkan diri selepas arwah mak Dinar meninggal tiba-tiba sekarang muncul kembali. Kalau raut wajah Dinar gembira itu satu cerita yang lain. Ini… raut wajah Dinar sekarang raut yang selalu dia nampak ketika arwah mak Dinar masih hidup. Janganlah Dinar bagitahu si ayah tak guna itu datang kerana hal yang sama.

            “Dia nak aku ikut dia ke Thailand.”

            What?” rasanya memang suara aku melengking kuat. Sebab aku dapat dengar gema suara aku sendiri. “Pergi Thailand? Buat apa kat sana?”

            “Kau rasa?”

            Nada pertanyaan Dinar sungguh buat aku rasa nak hantuk kepala ke dinding. Apa lagi ke sana kalau bukan untuk jual tubuh sendiri. “Kau kahwin dengan Adli, semua ni akan selesai.”

            “Kau ingat semudah itu ke Fa?”

Pandangan redup Dinar menyentak aku. Ya, tak semudah itu. Hidup aku dan Dinar lebih kurang sama saja. Kalau aku masih tersangkut pada lembah yang dalam itu apatah lagi Dinar. Tetapi untuk membiarkan Dinar pergi mengikut ayahnya, tak mungkin!

            “Kenapa takdir hidup kita begini Fa? Sejak aku kenal dunia, aku lihat kekejaman dunia pada manusia miskin seperti aku. Aku diherdik, dimaki malah dicaci hanya kerana aku miskin. Dipulau juga kerana aku miskin. Kenapa perlu ada sikap mendrikminasikan kasta begitu sekali? Aku tak minta dilahirkan miskin. Malah aku yakin mak aku juga tak mahukan kehidupan yang begitu. Jadi salah kamikah kami miskin?”

            Luahan Dinar sangat menyakitkan. Itu bezanya aku dengan  Dinar. Dia miskin, aku kaya. Namun hakikatnya aku juga miskin seperti Dinar. Miskin kasih sayang, miskin agama dan miskin adab walhal aku ada harta yang cukup untuk pelihara aku sepanjang hidup. Bila datangnya kewarasan, aku mula perasan bahawasanya hidup aku kosong. Harta yang aku ada tak mampu mengembalikan apa yang telah aku hilang dulu. Segala-galanya hanya sia-sia.

            “Malah aku lihat kekejaman seorang suami, memperhambakan isterinya… aku nampak setiap malam mak aku dilayan seperti…”

Tubuh Dinar aku tarik ke dalam dakapan. Kisah ini sudah banyak kali aku dengar dan setiap kali itulah, kesakitan yang sama tetap juga aku rasakan. Aku tahu Dinar juga merasakan sakit yang sama. Setiap kali Dinar bercerita, sepasang mata Dinar menyalakan kebencian.

“Belum cukup dia tunggang mak aku dengan nafsu gila dia, dia ajak kawan-kawan dia. Aku nampak Fa. Aku nampak semuanya tapi aku tak mampu buat apa-apa. Mak aku cakap, lebih baik dia yang menjadi mangsanya asalkan bapa aku tak sentuh aku. Mak aku cakap, lebih baik dia yang diperhambakan asalkan bukan. Mak aku suruh aku berdiam diri untuk selamat. Semuanya untuk aku Fa.”

            Belakang tubuh Dinar aku usap perlahan. Jika aku semakin tenggelam dalam dosa aku, Dinar… semakin tenggelam dalam dosa orang tuanya. Bagaimana aku mahu menarik kembali Dinar sekiranya aku juga terkapar-kapar mengharapkan pertolongan.