Friday, August 18, 2023

AYESHA

 



BAB 2


Talianya bersambung tapi tidak diangkat. Ashish mengeluh. Sekali lagi dia cuba memanggil nombor telefon Ayesha, hampa. Kakinya laju melangkah keluar dari universiti menuju ke rumah sewa Ayesha yang tidak jauh dari university mereka.

            Dari berjalan dia berlari. Firasat hatinya tidak enak. Sampai saja di rumah sewa Ayesha, dengan dada tercungap kelelahan dia menolak pagar. Kesunyian yang melingkari rumah itu menambahkan lagi rasa cuak di hati. Kereta Ayesha takde, selipar juga tidak ada sepatutnya itu sudah menjadi petunjuk yang cukup untuk menyatakan yang gadis itu tiada. Namun hatinya tetap berdegil yang gadis itu masih ada. Masih menunggunya.

            “Sha!” panggil Ashish.

            Sepi.

            “Sha, buka pintu ni. Ash tahu Sha ada kat dalam. Tolong Sha, buka pintu ni.” Laungnya lagi namun tetap juga begitu. Sepi.

            Dia terduduk di muka pintu. Kepala menunduk ke bawah. Kenapa mesti ini yang terjadi? Kepala bersandar pada belakang gril. Kelopak mata tertutup rapat. Ke mana perginya Ayesha?

            Derap langkah yang mendekati Ashish buka kelopak matanya.

            “Sha?”

            “Hai, Ashish.” Gadis itu tersenyum tawar.

            “Wan? Mana Ayesha?” lantas Ashish bangun.

            Wan Hasnita menunduk. Tidak menjawab dia hanya menyeluk begnya mengeluarkan kotak lalu dihulurkan pada Ashish.

            “Apa ni?”

            “Ayesha bagi.”

            “Dia ke mana?”

            “Dia dah pergi.”

            “Maksud kau?”

            “Aku tak tahu apa yang dah jadi antara kau dengan dia. Datang jumpa aku dengan pipi yang lencun dengan air mata. Dia suruh serahkan kotak tu pada kau. Dia cakap selebihnya nanti dia akan minta papa dia uruskan. Kenapa Ashish? Kau orang bergaduh ke?”

            Jatuh bahu Ashish. Takkanlah Ayesha tegar lakukan dia begini. Dia boleh jelaskan semuanya. Itu hanyalah salah faham. Bukan dia mahu katakana begitu tetapi provokasi dari Razif. Apatah lagi dia tak anggap itu sesuatu yang serius, hanya gurauan Razif sebaliknya… keluhan melepasi rengkunganya.

            Tubir matanya panas. Jika menangis membuatkan egonya jatuh, menyatakan dia lelaki yang lemah dia tidak peduli kerana ketika ini dia mahu meraung. Dia bakal kehilangan Ayesha. Satu-satunya gadis yang dia ada selepas orang tuanya yang telah pergi lama dulu.

            “Ayesha salah faham Wan. Aku cuba call dia tapi satu pun dia angkat.” Lemah nadanya.

            “Aku tak tahu nak tolong kau macam mana. Kau carilah kat rumah orang tua dia. Kat sini, semua barang dia dah bawa keluar.”

            “Apa?”

            Wan angguk. Dia sendiri tidak sangka nekad begitu sekali Ayesha. Merajuk sungguh gadis itu. Tapi apa yang nak kisah Ayesha ada kerjaya sendiri. Sambung belajar pun kerana mahu kenaikan pangkat. Lainlah Ashish yang masih pelajar. Kadang kasihan juga dia dengan lelaki ini, bukan takde yang mengata hubungan Ayesha dan Ashish namun dia kagum dengan Ashish yang mampu menolak ego ke tahap paling bawah sekali. Berjalan seiring dengan Ayesha.

            Tangan naik meraup muka. Kepalanya kian serabut.

            “Aku rasa lebih baik kau fokus kepada final exam dulu. Tak ke mana pun Ayesha tu. Nanti dia datang juga exam, kau jumpalah dia masa tu.” Cadang Wan tanpa tahu yang sebenar. Keadaan jika semudah itu Ashish takkan kalut begini. Dia takkan resah jika salah faham Ayesha tak membawa ke rajuk.

            “Terima kasih Wan. Aku balik dulu.” Lemah kakinya melangkah meninggalkan kawasan perumahan itu. Melangkah mengikut langkah kaki. Dia tiada daya mahu menghalang. Air mata lelakinya jatuh juga. Dia duduk bersandar pada sebatang pokok. Sungguh kakinya sudah tidak mampu melangkah kaki.

            Tubuhnya terasa ringan, bagaikan kini yang tinggal hanya jasad tanpa roh. Kotak di tangan di tenung lama kemudian di bawa mendekat. Melihat kotak itu saja dia sudah tahu apa di dalamnya.

            ‘Beginikah akhirnya hubungan kita Ayesha?’

 

Friday, August 11, 2023

AYESHA


 


BAB 1



“Bullshit!” jerit Ayesha. Anak matanya mencerun memandang lelaki itu. Pandangan redup yang memayungi sepasang mata itu langsung tidak menjentik hatinya.  Jika dengan menjerit mampu menghilangkan bayangan lelaki ini, memang itu yang dia lakukan. Dia mahu lelaki ini hilang dari pandanganya sekarang ini juga.

            Kemarahan yang membusung semakin menenggelamkan rasa kasih yang selama ini terhimpun di dalam dada. Sungguh dia tak sangka apa yang di dengarinya tadi datang dari mulut Ashish. Dia sayangkan lelaki ini sepenuh hatinya malah dia telah berikan segalanya kepada lelaki ini. Kehidupanya, jiwanya waima masa depanya juga dia telah serahkan pada lelaki ini.

            Hamparan anyaman indah masa depan yang dihulurkan Ashish tak mampu dia tolak; terlalu indah. Namun siapa jangka, panas yang di sangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Yang basah di timpa hujan, dialah.

            “Sha, dengar dulu penjelasan Ash.” Lengan Ayesha dilelar kemas menghalang gadis itu berlalu.

            “Aku tak nak dengar apa-apa lagi dari mulut kau. Semuanya… Dusta!”

            “Sha, jangan terburu-buru macam ni. Dengarkan dulu apa yang Ash mahu katakan.” Rayu Ashish.

            “Kau boleh pergi mampus dengan penjelasan kau!” dia kerling ke belakang. Senyuman sinis di bibir Razif menyatakan segalanya. Malah renungan jengkel Rina, buat dia kertap gigi kuat-kuat. Ratu? Dia tak tahu apa masalah gadis itu dengan dia sedangkan seingat dia, dia tak pernah bermusuh dengan gadis itu. Bercakap jauh sekali.

            “Lepas!” dia merentap lenganya dari pegangan Ashish. Terlepas saja dia laju memacu langkah meninggalkan ruangan itu. Bimbang semakin lama dia di situ semakin kurang ajar dia pada Ashish. Air mata yang jatuh diseka perlahan.

            ‘Jangan menangis Ayesha. Ini hanya sementara.’ Pujuk hatinya.

            Sampai hati awak Ashish lakukan ini kepada saya? Apa kurangnya cinta saya? Rintih hatinya.

            Ashish meluru ke meja. Mengemas segala barangan miliknya. Dia perlu mengejar Ayesha dan menjelaskan keadaan sebenar. Mana boleh dia biarkan gadis itu dengan salah faham begitu. Dia sayangkan Ayesha. Dan dia tulus sayangkan hubungan mereka. Bukan mudah dia mahu memiliki Ayesha samatelah dia masih pelajar dan gadis itu sudah memiliki kerjaya yang tetap. Dia terpaksa merendahkan egonya semata mahu memiliki cinta Ayesha.

            Mengenali Ayesha, seorang gadis yang tenang dan merendah diri tak mungkin dia lepaskan gadis itu ke tangan orang lain.

            “Kau nak kejar perempuan tu ke bro?” selamba Razif menuturkan kata. Seolahnya dia tidak pernah lakukan kesalahan kepada Ashish.

            Mahu marah namun tiada guna. Dia yang bodoh percayakan Razif bila lelaki itu ajak dia ulangkaji bersama. Sudahlah keberadaan Rina hanya diketahui setelah dia berada di sini. Sepatutnya dia boleh agak, ajakan Razif beragenda. Lelaki itu sentiasa licik akalnya. Dia patut faham ragam Razif; lelaki itu sudah berjaya mencipta salah faham antara dia dengan Ayesha.

            “Kau sengaja ajak aku ke sini untuk perangkap akukan?”

             “Kau lupa janji kita?” Razif menjeling Ashish.

            “Perjanjian antara kita dah lama aku selesaikan Zif. Kalau ada pun, ia takde kena mengena dengan Ayesha!” keras lantunan nada Ashish. Tajam pandanganya menikam wajah selamba Razif. Tidakkah ada walaupun sekelumit rasa bersalah dalam diri lelaki itu?

            Razif letak telefon atas meja. Dia dongak kepala menentang pandangan Ashish. “Antara kau dan aku memang telah selesai tapi… antara aku dengan Ayesha, takkan pernah selesai. Dia tak sepatutnya menolak aku.” Rahang Razif jelas tegang.

            Ashish hilang sabar. Dia meluru mendapatkan Razif. Kolar baju lelaki itu dicekak kuat. Senyuman sinis yang tersungging di bibir Razif menghangatkan lagi hatinya. Cekakan pada kolar baju Razif makin diketatkan sehingga timbul urat biru di dahi lelaki itu. Dia mahu Razif tahu yang dia tak main-main bila melibatkan Ayesha. Dia silap sebelum ini, tapi dia tak pernah silap dalam perhubungan mereka.

            Ratu dan Rina yang melihat sejak tadi mula resah. Cuak jika ada sesuatu yang berlaku pada Razif.

            “Ashish! Kau nak bunuh Razif ke?” jerkah Rani.

            Ashish menoleh ke belakang bersama senyum jahat. Kemudian dia kembali menatap Razif yang sudah kelemasan. Perlahan dia lepaskan cekakan pada kolar baju Razif. Bahu lelaki itu ditepuk perlahan.

            “Aku tak pernah main-main dengan Ayesha Zif. Aku harap kau ingat ni. Ayesha milik aku dan selamanya milik aku. Dia takkan sesekali jadi milik kau atau sesiapa saja.”

            Ratu dan Rani tarik nafas lega.          

            “Kau rasa dengan apa yang jadi tadi, dia akan setia di sisi kau.”

            Rani jegil mata pada Razif. Kenapa mahu di pancing lagi ketenangan Ashish. Memang tak sayang nyawa sungguh Razif ni.

            “Itu bukan urusan kau. Urusan kau… pastikan kau tak ganggu hidup kami lagi.” Tekan Ashish tegas menandakan yang dia tak akan berganjak dari keputusanya. Langkah di atur meninggalkan ketiga manusia itu. Dia perlu jejaki Ayesha secepat yang mungkin.

            Razif mahu bersuara namun ditahan oleh Rani. Lelaki itu hanya mampu merengus keras. Namun seketika kemudian tercungit senyum di bibirnya. Dia tahu semuanya telah berakhir antara Ayesha dan Ashish. Dia kenal Ayesha, gadis itu memang pantang ditipu.

 

 

 

Thursday, August 3, 2023

SANDIWARA ( CHAPTER 2 )


 



Bab 30

 

 

            Seperti hari lain aku buat kerja gila ekori dia. Memang gilakan? Mana pernah Hans Reza buat kerja bodoh macam ni. Tetapi kerana dia, aku sanggup bodohkan diri aku. Cinta? Mustahillah. Aku anggap ini tarikan antara lelaki dan perempuan sahaja. Hahaha, well, kau orang tahukan tarikan yang bagaimana? Aku lelaki normal kut. Kau orang jangan nak spekulasi sangat. Dan dia perempuan yang sangat sempurna di mata aku walaupun pelbagai gosip tak elok tentang dia yang aku dengar. Haa, jangan nak kata, dah suka kentut yang busuk pun wangi. Kes aku dengan dia ni lain tau. Bukan seperti kisah cinta tangkap leleh Romeo Juliet.

            Aku kerut kening melihat dia masuk simpang ke Titiwangsa. Jogging kat sini ke? Namun aku tetap juga mengekori dengan setia. Mengekalkan jarak selamat antara kami agar tidak ketahuan si dia yang aku mengekorinya. ‘Sekali lagi, Hans betul ke apa yang kau buat ni? Kenapa kau tak terus berdepan dengan dia approach dia? Apa yang kau lakukan sekarang dah tak serupa diri kau. Mana Hans yang serius, dingin dan muka ketat tu. Kalau bercakap dengan orang muka tak pernah manis. Sebaliknya sekarang mudah kau tersenyum. Tengok bontot kereta dia pun kau dah senyum.’

            Aduh! Rasa nak hantuk kepala ke stereng. Duhai hati, janganlah menempelak sebiji-sebiji kena atas kepala aku. Daun pintu aku tolak sebaik aku lihat dia turun dan sedia untuk berlari. Aku ambil laluan berbeza. Risau juga nanti dia perasan yang dia diekori waima aku yakin dia tak pernah perasan. Sejak tadi aku nampak dia seperti dalam dunianya sendiri. Entah apalah yang mengganggu fikiranya. Sebenarnya ini bukan kali pertama aku ekori dia. Entahlah, sejak aku jumpa dia kembali ketika majlis Dato Junaidi, aku jadi gila. Perasaan aku membuak untuk dekat dengan dia.

            Aku memerhatikan dari jauh, aku lihat dia sedang menekan perutnya. Sakit? Tidak betah hanya melihat aku memutuskan untuk menegur. Sebenarnya dah berapa kali aku melintasi dia, cumanya tidak menegur. Dan dia aku rasa tak perasan pun akan aku.

            Are you okay?” tegurku. Aku simpan senyum melihat dia yang terpaku memandang aku. Kemudian matanya meliar kiri dan kanan barangkali tidak menyangka ditegur oleh lelaki asing yang kacak pula tu. Aku tak perasan okay? Hakikatnya kekacakan aku selalu dipuji oleh perempuan. Jadi tidak mengapa rasanya aku berbangga dengan apa yang dikurniakan pada aku. Sepertimana aku sedang mengagumi keindahan di depan mata aku ni.

            Jika dia terpaku pada aku begitu jugalah aku. Cumanya, takkanlah aku nak tunjuk yang aku berminat padanya. Haruslah aku menjaga rahsia diri dengan kemas. Buktinya, aku bertanya dengan suara dingin. Wajah aku pun tak mesra dengan senyuman. Namun hati aku terdetik cuak juga. Kerutan di dahi dia menyatakan yang dia sedang menahan sakit.

            Miss, are you okay?” sekali lagi aku bertanya namun aku menerima riaksi yang sama. Takkanlah sampai macam ni sekali dia kagum dengan aku. Hahaha, tak nak perasan tapi terpaksa perasan juga bila ada yang tengok aku seperti ini.

            Well, to me you looked okay.” Aku senyum nipis dan mulakan larian kembali. Sampai satu simpang aku melencong pusing ke arah dia. Aku lihat dia masih terpegun kemudian berbaring. Macam pelik pula tingkah dia? Kesurupan ke?

            Jangan nak bodohkan diri sampai ke tahap maksima Hans! Selar hatinya. Sebaris senyum senget aku pamerkan. Kaki yang berlari aku tukar kepada jalan kaki. Lagi pun dah lima pusingan aku berlari. Peluh pun sudah membasahi baju aku. Berhenti di hadapan kerusinya tidak terus menegur. Aku hanya berdiri memandang dia yang sedang baring dengan mata terpejam. Aku perasan ada mata-mata yang memandang pelik pada aku, namun peduli apa. Aku belum gila nak buat benda tak senonoh pada anak dara orang di siang hari ni.

            “Kat sini bukan tempat untuk tidur.” Aku menegur dingin. Suara cukup kuat untuk mengejutkan dia yang bersantai di situ. Bila dia buka mata soalanya di tanya…

             “Bukan you dah pergi ke?”

            Aku lorek senyum nipis sekejap kemudian aku layang wajah dingin. Memandangnya dengan pandangan dingin. Namun pandangan dia, aku nampak kekosongan yang sangat dalam di situ.

            “I… terpanggil untuk duduk di sini. You look so puzzled.” Aku sembunyi senyum. Comel lihat dia kertap bibir geram dengan bicara aku rasanya. Dan ia terbukti dengan bicara yang keluar dari mulut itu.

             “I tak perlukan simpati you.”

            Kan dah kata, dia marah. Suara tegang. Memandang aku dengan pandangan tak puas hati. Bila masa pula aku cakap yang bersimpati denganya? Aku cuma cakap dia seperti hilang arah saja. Tapi malas aku mahu menjelaskan sebalik aku sengaja menduganya lagi.

 Tank top with tight pants and puzzled, what do you think miss?”

            Bulat mata dia memandang aku. Ah, aku yakin dia semakin marah mendengar bicara aku tadi. Betul apa aku cakap. Dengan baju kecil, seluar ketat nak mati, terbaring di kerusi ini, kau orang rasa apa yang orang akan fikir bila lihat dia begitu. Lagi pula memang dah ada lelaki-lelaki yang memandang dengan senyuman penuh muslihat.

            “Ikut suka hati I nak pakai apa pun.” Aku lihat dia yang berlari meninggalkan aku. Marah sangat tu. Marah pun cantik juga. Malah dia lebih cantik dengan wajah tanpa mekap. Peluh kecil yang tumbuh di dahinya, lebih membuatkan wajahnya manis. Ah, kau dah gila apa Hans? Orang kalau dah angau memang lupa diri.

            Aku hanya memandang susuk yang semakin jauh meninggalkan aku. Punggung aku labuhkan di kerusi yang duduki gadis tadi. Bola mata melihat mereka yang melintasi tempat duduknya dengan sapaan senyum nipis.

            Akal dia menggembara ke beberapa tahun yang dulu.

            Help me.’

            Sejak aku dengar sebaris ayat itu aku tak pernah tenang. Wajah yang basah dengan air mata, hidung yang merah dan pandangan yang hopeless, semua itu masih segar dalam ingatan aku. Bertahun aku cuba jejak si dia namun tidak pernah berhasil. Ketika aku mahu mengalah takdir mempertemukan kami kembali. Sejak itulah aku putuskan dia… perlu ada di sisi aku tidak kira dengan alasan apa sekalipun.

           


Sunday, July 30, 2023

SANDIWARA (CHAPTER 2)


 


Bab 29

 

            “Hans!”

            “Dah jumpa?” Aku nampak Keith mengangguk. Lengan baju aku lipat sampai siku kemudian bersandar pada badan kereta. “Shoot.”

            “Aku dapat tahu, kebanyakan business dia kat Thailand semua beroperasi dengan cara tak sah.”

            Aku senyum senget mendengar penjelasan Keith. Tak pelik sebenarnya maklumat yang Keith sampaikan itu. Dunia sekarang asal kau ada duit, apa pun kau boleh lakukan. Duit lebih berkuasa dari apa pun. Tangan aku bawa naik mengusap dagu. Walaupun perniagaan lelaki itu dijalankan secara tidak sah, aku yakin setiap inci perjalanan perniagaan itu diatur dengan teliti.

            “Kau jumpa apa-apa yang mencurigakan?”

            “Susah Hans. Walaupun perniagaan dia melalui cara yang tidak sah, aliran wang keluar masuk akuan dia tidak ada yang pelik. Lagi satu, aku rasa kau akan terkejut dengar ini.”

            “Apa dia?” aku bersuara teruja. Pasti Keith ada maklumat yang berharga.

            “Duit yang dia dapat, dia akan tukarkan kepada aset dan dipindahkan ke atas nama anak dia. Begitu juga dengan perniagaan dia kat sana.”

            “Hah? Anak dia tahu ke?”

            “Aku bet dia tak tahu langsung.”

            Aku pandang Keith lama. Ini berita yang aku baru tahu. Kalau semuanya di atas nama anak dia, macam mana nak kaitan lelaki itu dengan segala kegiatan haram dia. Licik! Tan Sri Marzuki memang lelaki yang licik.

            “Kau nak aku buat apa sekarang?”

            “Kau follow saja plan asal kita. Yang lain aku inform balik nanti.” Terus aku teringat kata-kata Damien hari itu. “Kau ada jumpa Damien?”

            “Kau tak tahu ke?”

            “Apa pula ni? banyak aku ketinggalan sejak kebelakangan ni.”

            “Jack, anak buah Lim buat hal dengan Damien. Aku rasa tak lama lagi…”

            Telefon aku yang berdering meminta di angkat. Terus termati bicara Keith. “Ajwa.” Aku beri isyarat sekejap kepada Keith. “Kenapa Aj?” aku diam mendengar bicara Ajwa. Dahi aku mengerut tebal. “Kau hantar lokasi kepada aku.” Talian terus aku putuskan. Kembali menoleh kepada Keith aku berikan arahan ringkas. “Kau siasat lagi. Aku pasti dia orang akan buat silap, cumanya tak tahu di mana. Tidak ada benda yang sempurna di atas dunia ini.

            Bahu Keith aku tepuk. Langkah kaki aku atur masuk kembali ke dalam rumah. Niat tadi mahu keluar sekejap berjumpa dengan Ajwa tapi apa yang disampaikan Ajwa buat dia terkejut. Ajwa ni memang nak kena!

            Bunyi pesanan masuk, aku tarik telefon. Pesanan dari Ajwa. Kaki aku laju berlari naik bilik. Menukar pakaian serta kunci motor. Helmet disarungkan ke kepala. Enjin motor dihidupkan, tidak menunggu aku terus memecut. Tidak mahu menunggu lebih lama, bimbangkan keadaan Damien.

            Sampai ke alamat yang diberikan oleh Ajwa, aku terus turun dari motor. Mata melilau melihat rumah banglo yang sudah usang itu. Ada lagi orang jadikan rumah usang sebagai tempat persembunyian. Mahu tergelak namun aku tahankan.

            “Hans.”

            Aku menoleh. Dari dalam semak aku nampak Ajwa yang menggamit. Laju kaki aku mendapatkan perempuan itu.

            “Kau dengan Damien buat apa ni?”

            “Jangan banyak cakaplah.”

            Eh, nak marah aku pula. Patut aku yang marah dia dengan Damien. Buat keputusan tak libatkan aku bila ada masalah pandai pula cari aku. Ini kalau aku cakap begitu, mesti ada yang merajuk cakap aku suka mengungkit.

            Now, talk!”

            “Jack. Beberapa hari lepas dia ada call aku, ugut nak cederakan Ikmal dan ahli keluarga mertua aku yang lain dengan syarat, dia mahukan kau.”

            “Aku?” jari aku tuding pada diri sendiri. “Siapa Jack?”

            “Aku tak tahu. Aku bagitahu hal ini kepada Damien sebab kau tengah sibuk dengan hal Mr Lee. Mana aku tahu Damien nak menyamar jadi kau.”

            Hans garu kepala tak gatal. “Yang aku pelik macam mana Damien boleh tertangkap. Dia tu juara taekwando.”

            “Dia nak selamatkan aku.”

            Hurm… inilah masalahnya kalau melibatkan hati. Damien tu sampai sekarang masih sukakan Ajwa walaupun adik dia ni sudah berkahwin dan bakal dapat anak. “Yang kau pun, aku dah pesan banyak kali jangan libatkan diri dengan benda macam ni lagi.”

            “Hans! kau nak membebel ke sekarang? Damien tu yang perlu kau bimbangkan.”

            “Ya, aku tahulah. Kau pergi duduk dalam kereta. Tunggu isyarat dari aku.” Aku tinggalkan Ajwa. Berjalan masuk ke dalam rumah usang tu dengan lagak macho. Bukan cara aku serang secara sembunyi.

            Di bahagian bawah aku nampak beberapa orang lelaki sedang berkawal. Semua mata tertoleh kepada aku. Barangkali tak sangka aku datang ke sini.

            “Kau siapa?”

            “Aku nak jumpa ketua kau.” Ujar aku kepada lelaki berambut kerinting itu. “Bagitahu dia, Hans Reza datang.” Tukas aku lagi tenang. Langsung tidak terjejas dengan pandangan helang mereka. Huh! mereka belum tengok aku bertukar jadi helang lagi.

            “Han… Hans…”

            “Kenapa? Takut?” aku senyum senget. Jelas lelaki yang jerkah aku tadi kelihatan goyah. “Bagitahu bos kau, aku tunggu kat sini. Bawa sekali kawan aku.” Suara aku tegas dan tajam. Masa bermain sudah tamat.

            Bergegas lelaki itu berlari naik ke atas. Aku hanya tegak berdiri memerhati tangga. Walau begitu aku tetap bersiaga.

            WellWell.. dah muncul Hans Reza.”

            Aku dongak kepala. Objek pertama yang mata aku cari, Damien. Lelaki itu kelihatan biasa-biasa saja. Tidak ada luka yang teruk pun sekadar pecah bibir, mata bengkak dan pipi bengkak saja.

            “Ya, aku. Aku dengar kau nak jumpa aku.” Nada aku lontar angkuh.

            “Ya, tapi mamat bodoh ni mengaku dia Hans Reza.”

            Aku senyum melihat lelaki itu menolak kepala Damien. Rahang Damien bergerak-gerak menahan marah. “Kau nak apa?”

            “Kawasan di Pelabuhan Klang.”

            Jeda. “Kawasan tu bukan aku punya. Kenapa kau minta dengan aku?”

            “Sebab kau boleh dapatkan untuk aku.”

            Meledak tawa Hans. Jadinya lelaki ini nak dapatkan kawasan tu. “Tapi… kau dah sentuh salah orang bro.” Aku betulkan tangan. Kaki aku orak mendekati lelaki yang bernama Jack itu. “Kau… dah sentuh adik aku! Keluarga adik aku.” Suaraku dengan nada tertahan. Terus berubah wajah lelaki itu. Tangan aku naik mencekak leher Jack. “Kau patut datang jumpa aku terus.” Tajam mata aku menentang pandangan Jack.

            “Aku…”

            “Kau dah buat silap,” pintas aku seraya menggeleng kepala. 

            “Aku…”

            Tubuh Jack aku angkat tinggi. “Kau dah buat silap!” aku lempar tubuh Jack ke lantai. Menoleh ke Damien, dua lelaki yang sedang pegang Damien meluru ke arah aku. Kaki aku terdorong ke belakang. Mata aku picing memerhati pihak lawan. Mudah saja dia mahu jatuhkan mereka. Tersangat mudah!

            Lelaki berbaju kuning menerpa ke arah aku, tangan aku angkat dua jari aku luruh ke depan mendarat di bahagian atas di tengah antara leher dan dada, mengunci pergerakan lelaki itu. Kemudian aku menoleh ke belakang bila telinga aku mendengar derap langkah yang laju berlari ke arah aku. Terus aku sengetkan tubuh, tangan aku hayun menghentak belakang si penyerang.        

            Mengerling ke arah Damien aku lirik senyum bangga. Lelaki itu hanya mencebik. Satu persatu jatuh dikerjakan aku. Bukan beria pun aku lawan sekadar mengunci pergerakan mereka sahaja. Lagi pula aku tahu mereka ni semua bukan tahu asas pertahanan diri.

            “Aku tak rasa kau yang menjadi dalang semua ni kan?” aku betul curiga. Jika benar lelaki ini mahukan kawasan Pelabuhan Klang, kenapa tidak upah samseng yang lebih berpengalaman.

            “Aku…”

            “Siapa upah kau?”

            “Aku…”

            “Siapa?” jerkah aku. “Atau kau nak aku bisukan lidah kau baru kau nak cakap siapa yang upah kau?” sengaja aku gertak begitu. Mana ada orang yang sanggup menjadi bisu.

            “Tan Sri Marzuki.”

            Aku senyum senget. Lelaki itu… memang licik. Depan aku bukan main baik lagi tapi belakang aku, kau pasang perangkap ya. “Kau bagitahu dia, jangan jolok harimau yang sedang tidur. Aku lepaskan kau kali ni. Tapi untuk kali kedua, sama ada nyawa kau atau nyawa aku yang melayang.”

            Berdesup lelaki itu lari. Aku kembali mendapatkan Damien. “Kau kenapa sampai kena tangkap?”

            “Yang lawan aku semalam bukan Jack.”

            “Maksud kau?”

            “Aku tak tahu siapa, tapi dia ada Ajwa. Dia ugut aku nak apa-apakan Ajwa. Kau rasa aku nak biarkan?”

            Aku tarik nafas dalam. “Kau bermain dengan api bro.”

            “Mana Ajwa?”

            “Aku suruh dia tunggu dalam kereta.”

            “Jom!”

            Aku hanya mengikuti Damien dari belakang. Agaknya aku nanti akan jadi seperti Damien? Setia dengan cinta sehingga sanggup korbankan nyawa sendiri.

           


Wednesday, July 26, 2023

SANDIWARA ( CHAPTER 2 )


 

BAB 28


Suatu masa dulu…

          Langkah kaki aku terhenti. Bunyi suara tangisan yang mendayu membawa kaki aku mengubah haluan. Kaki aku automatik mengikut bunyi tangis itu. Kepala menoleh ke kiri dan kanan, tiada sesiapa di kawasan ini. Peluh kecil mula tumbuh di dahi aku. Jantung pula sudah berdetak lain macam. Waktu masih siang, takkanlah ada yang…

            “Wey, kau nak ke mana ni?”

            Aku urut dada yang terkejut. Terus aku layangkan pandangan tajam ke arah Damien. Lelaki ini suka sangat sergah aku. Ingat jantung aku ni diperbuat daripada konkrit agaknya.

            “Kau dengar tak?”

            “Apa?”

            “Bunyi tangisan tu.” Aku toleh ke arah Damien. Lelaki itu mengerutkan dahi barangkali sedang memikirkan soalan aku atau sebenarnya dia tak dengar apa yang aku dengar. Entahlah, malas nak tunggu jawapan Damien langkahku buka semakin laju. Telinga aku picing agar dapat mendengar dengan jelas arah datangnya tangisan itu.

            Berhenti di satu lorong, aku lihat satu susuk sedang duduk bersila sambil memeluk beg. Gadis kecil dengan rambut tocang. Bahu dia bergerak-gerak mengikut alunan tangis. Kena rompak ke? Itu telahan pertama yang masuk ke dalam kepala aku. Perlahan-lahan aku melangkah mendekatinya. Mahu bertanya dan melihat dengan lebih dekat. Entah kenapa, hati aku begitu meronta untuk aku dekati dia.

            “Hans…”

            “Kejap. Aku nak tanya budak perempuan tu, kenapa dia menangis?”

            Damien mendecit, aku dengar itu. Salah satu peraturan hidup kami, jangan masuk campur perkara yang bukan urusan kami. Tapi aku sedang pecahkan tradisi itu.

            “Ehem.” Aku berdehem kuat agar dapat menarik perhatian gadis itu. Terus suara tangis tadi terhenti. Aku sendiri jadi kaku. Keras sangat ke nada suara aku tadi sehingga gadis itu ini terus terdiam tangisnya.

            “Kau okay?” soal aku lagi. Melihat diamnya gadis itu aku mahu mengalah. Mungkin gadis itu hanya mengalami masalah biasa. Ya, gadis muda yang putus cinta.  Kaki yang mahu melangkah pergi terbantut hanya dengan sebaris ayat dari gadis itu.

            “Help me.”

            Aku menoleh. Terpanar. Sinar mata gadis itu yang kelam. Raut wajah yang basah dengan air mata. Lirih nada gadis itu masuk ke dalam hati dan menapak di situ. Aku… terus kelu. Pandangan kami bertautan sehinggalah gadis itu bangun dan berlalu. Aku masih juga begitu. Berdiri dan terkaku.

            Help me… berdengung sebaris ayat itu dalam kepala aku. Apa maksud gadis itu?

 

 

Masa kini…

Buku lima aku genggam dan aku hujani wajah lelaki itu dengan tumbukan padu aku. Bercakap banyak tapi satu pun tidak berguna. Entah macam manalah Datuk Hamidi boleh ambil lelaki ini jadi adik iparnya. Sudahlah bercakap tak gunakan otak lepas tu tangan tu…

“Ni, tangan yang tak guna!” aku pijak dan penyek semahu aku.

“Argh!” raungan yang melangsi kuat tidak aku hiraukan.

“Lain kali, jadi manusia jangan bongkak. Hidup ni biar miskin harta tapi adab jangan miskin sama.” Aku larikan kaki dari tangan lelaki itu. Tuala kecil atas meja aku capai lalu dilap tangan aku yang penuh darah.

“Setan kau Dragon.”

Aku senyum sinis. Dalam nyawa-nyawa ikan mulut masih lagi berani bersuara. Memang bebal sungguh. “Kau tak takutkan?”

“Buat apa aku takut dengan kau! Kau… hanyalah anjing Datuk Hamidi.”

Bersirap darah aku mendengar kejian itu. Aku ni anjing Datuk Hamidi? Hello, anjing hanya diberi makan tapi aku dapat duit. Dan bukan sikit tau. Nak juga aku hamburkan begitu tapi takde guna. Bercakap dengan manusia bebal ni hanya akan membuatkan aku ikut sama bebal macam dia.

“Kau tahu apa aku akan buat kalau aku marah?” pisau rambo atas meja aku capai. Aku pusing kembali ke arah lelaki tadi. Duduk bertinggung di hadapanya, pisau rambo aku mainkan pada jari jemari lelaki bodoh ini. Dapat aku lihat betapa gigil tangan dia. “Aku tak pernah bunuh orang. Dan aku tak nak kau orang pertama yang sebabkan aku jadi pembunuh!” aku menyelar tajam padanya. Mentanglah sejak tadi aku bersikap baik hati hanya membelasah muka dia saja. Naik tocang kau ek? “Untuk makluman kau, setakat patahkan kaki dan tangan kau sehingga lumpuh seumur hidup, itu bukan satu hal besar bagi aku.”

“Cukuplah tu.” Damien muncul bersama Keith. Aku jeling keduanya. Pandai pula suruh aku berhenti. Tapi nak handle mamat sorang ni pun tak dapat.

“Kau bawa apa yang aku suruh tu?”

“Hmm.” Sampul coklat Damien hulurkan. Aku senyum lebar. Ini lagi satu, suruh cari maklumat tentang ni pun lama.

“Keith, kau uruskan dia. Atas meja surat tukar hak milik saham dia dah tanda tangan. Kau bagi kat Datuk Hamidi.” Aku turun ke tingkat bawah. Dahaga pula aku rasa.

“Kau nak buat apa dengan maklumat tu semua?”

Aku pandang Damien. Aku tahu dari nada Damien dia seperti menyimpan curiga. Halaa, macamlah aku pernah buat jahat pada perempuan. Hey, bab perempuan ni dia memang jaga sikit. Aku tak pernah berlebihan dengan perempuan walhal mereka yang datang menyerah diri.

Rimas bila melibatkan perempuan. Merengek konon manja, fuh! Itu bukan cara aku. Jenis yang lembut macam jeli, acah-acah manja itu bukan selera aku. Tapi yang ini… sampul coklat aku pandang penuh minat. Di dalam terdapat maklumat tentang dia yang mampu membuatkan aku senyum seperti sekarang.

“Kau dah uruskan dia untuk aku malam nanti?

“Keith dah uruskan. Kau dah tahu siapa dia. Yang kau suruh aku siasat lagi buat apa?”

Aku menoleh kepada Damien yang memandang aku pelik. Betul la tu, sebenarnya aku dah tahu siapa dia. Bukanya susah pun nak tahu tentang dia. Dia sangat terkenal di kalangan ahli perniagaan yang baru bina nama atau mereka yang sudah lama dalam dunia perniagaan.

“Aku nak tahu apa hubungan dia dengan Tan Sri Marzuki.”

“Maksud kau?”

“Aku pernah nampak dia bercakap dengan Tan Sri Marzuki.”

“Skandal dia?”

“Tak. Kau dah siasatkan Damien. Mesti kau tahukan?”

“Aku rasa kau pun dah tahu hubungan mereka.” Damien mencebik dan aku hanya menyambutnya dengan tawa besar. Memang aku dah tahu hubungan Tan Sri Marzuki dan dia. Tak sangka sebenarnya. Bagaimana orang boleh tak tahu tentang hubungan keduanya? Dah mereka pun pandai berlakon. Sungguh ketika aku mula-mula dengar kenyataan tu, aku terkejut. Kenapa?

“Sebab kau lambat buat kerja.”

“Aku pula.”

Damien duduk atas bean bag. Aku hanya perhatikan tingkah sahabat baik aku itu. Lama aku pandang wajah Damien dan aku tahu ada sesuatu yang mahu dikatakan oleh lelaki itu.

Sampul tadi aku letak atas island table. Langkah aku atur menyertai Damien dia santai atas bean bag menghadap laman belakang. Bunga-bunga sedang berkembang mekar. Tidak langsung duduk aku bukakan pintu kaca itu. Mahu wangian bunga tersebut menyerbu masuk ke dalam rumah dan membiarkan haruman segar menyerikan isi rumahnya.

Idea tanam bunga kat belakang ni, idea Ajwa. Rindu pula dia dengan Ajwa. Rumah ini kosong sejak Ajwa kahwin dengan Ikhmal. Hanya Damien yang menemaninya di rumah ini itu pun hanya sesekali. Sebab Damien ada tugas lain yang telah dia serahkan pada lelaki itu.

“Serius aku nak tanya kau ni.”

“Apa Damien?”

“Kau nak buat apa dengan budak tu?”

“Hey, dia bukan budaklah. Dia… kalau aku…” sengaja aku gantung ayat dan melirik nakal pada Damien. Lelaki juihkan bibir sahaja. Menyampahlah tu. “Dah boleh mengandung tau.”

So?”

So?” sengaja aku ulang soalan Damien.

“Kau jangan bermain dengan api Hans.”

“Kau masih bermain dengan api Damien?” sengaja aku berikan soalan itu kembali kepada Damien. Ala, bukan aku tak tahu sampai sekarang Damien masih menyimpan perasaan pada Ajwa. Siapa suruh lambat luahkan perasaan, sekali Ajwa terlepas ke tangan orang lain.

“Aku main api terbakar sendiri. Kau… lain Hans. Kalau kau tahu kisah hidup dia, aku yakin kau takkan sanggup lukakan dia.”

“Siapa cakap aku nak lukakan dia Damien?”

“Dah tu untuk apa kau cari maklumat tentang dia? Nak jadikan skandal supaya kau dapat balas dendam pada Tan Sri Marzuki? Atau kau nak buat dia jatuh cinta dengan kau lepas tu kau buang dia macam sampah? Kau rasa itu akan menyakitkan hati Tan Sri Marzuki?

Aku pandang Damien. Jauh sungguh pemikiran Damien. Keluhan aku lepaskan berat. Bukan salah Damien juga jika lelaki itu beranggapan demikian. Ini kali pertama dia bersungguh suruh Damien siasat tentang perempuan. Hendak pula perempuan tu ada kaitan dengan Tan Sri Marzuki. Haruslah Damien salah faham.

“Kau nampak aku sejahat tu ke?”

“Hati manusia bukan boleh di duga.”

“Hati aku… jernih Damien. Kau pun tahu. Kau boleh nampak terus ke dasar melalui hati aku.”

Aku dengar keluhan yang keluar dari mulut Damien. “Aku tahu kau risau. Aku cuma mahu berkenalan dengan dia. Kau jangan bimbang.”

“Kau kena ingat hati manusia berbolak balik. Jangan sampai kau yang terduduk nanti.”

Damien bangun meninggalkan aku sendirian memikirkan kata-kata akhir lelaki itu. Tangan naik meraup wajah. Jujur aku mahu kenali dia bukan kerana dendam atau apa. Aku cuma mahu melihat wajah indah itu lagi. Senyuman yang manis walaupun hanya lakonan semata. Pandangan mata yang mesra walaupun dia tahu itu juga lakonan. Untuk kali pertamanya, dia merasakan begitu pada seorang perempuan.

 

SANDIWARA ( CHAPTER 1 )


 


Bab 3

 

      Keluar dari bilik air dengan hanya berjubah mandi kaki di bawa melangkah keluar bilik. Pintu bilik Dinar diintai masih lagi tertutup kemas. Kaki aku kembali melangkah ke dapur. Pintu peti ais aku buka, satu tin coke aku bawa keluar. Pintu balkoni aku buka dan labuhkan duduk di buaian.

            Mata memanggung melihat langit yang semakin hilang sinar siang menandakan yang malam bakal menjelma. Apa yang aku harus lakukan sekarang ini? Betapa sunyinya hidup aku. Ketawa halus terbersit. Kau nak salahkan siapa Fa? Kau yang pilih jalan ini.

            Mommy! Papa! Agaknya sampai bila kita bertiga akan begini? Sampai bila kita akan terasing dalam dunia masing-masing. Fa rindukan mommy dan papa walaupun antara kita tidak pernah ada kenangan manis. Bodohkan aku? Mereka, entah ingatkan aku atau pun tidak. Selalu aku pujuk hati yang terluka dengan berkata kepada diri. “Ingati mereka sebagai tanda hormat di atas jasa mereka selama ini.” Hanya dengan sebaris ayat itu aku pujuk diri. Cumanya aku tak tahu sejauh mana aku mampu bertahan dengan bujukan itu.

            Lagu ost dari rancangan Romantic Teacher Kim berkumandang laju. Dengan malas kaki di bawa ke ruang tamu. Melihat saja nama di skrin, bibirnya menguntum senyum senget.

            “Yo babe. Any new job for me?

             “Kalau aku call kau haruslah ada job. Kau free tak malam minggu ni?”

            “Rasanya free. Escort siapa kali ni?” Darwina kalau call memang bukan dengan tangan kosong. Pasti akan ada kerja untuknya. Itu sebablah aku suka Darwina jadi orang tengah untuk mencari sebarang kerja untuk aku. Dia memang terbaik dalam bab mencari kerja ini.

            “Kali ni bukan vip tapi taraf dia lebih kurang vip la.”

            Kening aku dah berkerut. Apa ke berbelit ayat Darwina ni. Bukan vip tapi taraf vip? “Kau nak buat lawak apa ni?”

            “Aku cakap betullah. Dia… lebih gah dari vip. Kau akan ternganga kalau dengar latar belakang dia.”

            Aku dengar tawa Darwina memenuhi corong telefon. Suka hati sungguh minah ni. Kalau dah begini riaksi Darwina, pastinya subjek kali ini memang terbaik. Dan itu membuatkan rasa ingin tahu mencanak naik.

            “Majlis apa?”

            Well, ikut syarat kau. Majlis VVIP untuk semua ahli perniagaan dalam Malaysia. Sebenarnya, lelaki yang kau perlu escort ni taikun dalam perniagaan.”

            Penjelasan ringkas Darwina membuatkan bola mata aku meluas. Taikun dalam dunia perniagaan? Wow! Ini kali pertama aku kena escort orang penting yang lebih penting dari vip bak kata Darwina. Tapi apa jenis business yang dia buat sampai di panggil taikun?

            “Dia buat business apa?”

            “Ini yang akan buat kau melopong babe. Taste kau sangat.”

            Ah, rasa teruja aku mencanak naik. Kalau taste aku maknanya, ala-ala lelaki jahat yang berkarisma. Kalau bahasa elegenya, badboy.  Auch! Dah lama aku tak merasa teruja begini. Kalau dah badboy, haruslah terunakan? Muda? Dan… hensem? Hahaha… kali ini kalau bintang itu boleh dilihat jelas matanya berbling dengan bintang.

            “Kau jangan nak gatal sangat Fa.”

            Amaran Darwina hanya disambut dengan tawa. “Kau dah cetuskan urat gatal aku dengan sebut taste aku. Kau nak aku bayangkan apa babe?” aku hamburkan tawa galak. Aku bangun dari kerusi, membawa langkah kaki ke bilik. Bersembang sambil berbaring lebih enak.

            “Huh! Kau memang. Jangan pula nanti kau jumpa mamat ni terus hilang ‘prinsip escort girl’ kau tu.” Tekan Darwina dan itu aku dapat dengar dengan jelas. Darwina… Darwina… macamlah baru hari ini aku buat kerja ini.

            Aku belum kelabu matalah. Dah berpuluh lelaki kacak dari umur sebaya aku sehingga yang tua tapi gagah, tidak pernah sekalipun aku terbabas. Yang selalu terbabas tu mereka. Merayu mahukan lebih. Uh! Untuk bab ini aku belum cukup bodoh untuk serahkan diri aku kepada mereka biarpun dijanjikan dengan berjuta janji manis. Lelaki, semua sama! Perempuan… kelopak mata terpejam rapat. Bawah bibirku gigit menahan sebak yang membeku di dada mencair dan terzahir di tubir mata.

            Sungguhlah hari ini jiwa aku sensitif!

            “Ceritakan pada aku tentang dia?”

            “Dia dipanggil taikun bukan sebab business dia besar. Tapi sebab dia… samseng dalam dunia korporat ni.”

            “Maksud kau?”

            “Dia tawarkan khidmat kepada peniaga yang memerlukan khidmat dia. Contohnya, untuk dapatkan kontrak atau untuk uruskan musuh dalam dunia perniagaan. Atau dalam bahasa lebih mudah, dia yang tolong selesaikan segala masalah dalam dunia koporat. Dengan cara dia! So, kau tahukan betapa bahayanya lelaki ini.”

            Penjelasan Darwina disambut senyum lebar. “Itu sebab kau cakap taste aku.”

            “Ya dan aku risau kau akan… digulai dia.”

            Meledak tawa aku dengan perkataan digulai Darwina. Ingat aku ni ayam ke? “Hey, ini akulah Wina. Fa, the one only escort girl yang kau boleh sentuh tapi… berpada.” Bangga? Mestilah aku bangga, sudah dua tahun aku jadi escort girl dan sampai sekarang aku masih mampu pelihara dara aku. Bukan takde yang merayu untuk berakhir di atas katil, tapi bagi aku mudah. Sekali kau terjebak kau takkan mampu patah balik. Jadi, untuk apa kau jebakkan diri aku ke dalam lohong yang jelas gelapnya. Cukuplah kebodohan yang telah aku lakukan. Selebihnya biarlah aku cerdik sikit. Hahaha.

            “Kau jangan berlagak. Kau belum tengok dia lagi Fa. Aku bet, bila kau tengok dia… kau akan lupa segalanya. Aku bet kau Fa.”

            Bibir bawah aku gigit kuat. Bila Darwina beria bertaruh begini, aku cuak. Hebat sangatlah lelaki ini sampai Darwina yakin mampu cairkan hati aku? “Kata-kata kau buat aku teruja nak jumpa dia.”

            “Haih. Nanti pembantu dia akan jemput kau kat kondo. Alamat dan nombor telefon kau aku dah bagi pada pembantu dia. Dan… dia juga akan hantar pilihan baju untuk kau pakai malam tu nanti.”

            “Uh! Macam kerek je.” Aku memang jengkel layan sikap renyah begini.

            “Hahaha, kau tengok sendirilah nanti.”

            “Hurm. Dia ada sekali ke nanti?”

            “Aku dah check, dia memang ada.”

            Senyum yang hambar tadi kembali lebar. Tidak kisahlah siapa dan apa jenisnya lelaki yang bakal dia escort nanti, yang penting dia ada. Lagi pun apa yang aku lakukan sekarang untuk buktikan pada dia, yang dia silap. Aku… mampu berdiri tanpa dia. Aku mampu membentuk hidup aku tanpa bayangan dia.

            Perbualan dengan Darwina telah lama tamat namun akal aku masih lagi ligat berfikir. Memikirkan dia. Bibir aku melakar senyum. Hanya dengan penjelasan Darwina dia sudah mampu menembusi akal aku agaknya apa yang akan jadi bila aku bertemu dia nanti? Apakah seperti yang Darwina katakan, yang aku akan tewas pada dia?

            Bingkas bangun dari katil aku melangkah ke depan cermin. Biasan tubuh di cermin aku pandang lama. Disebalik jubah mandi ini terdapat susuk tubuh yang menjadi idaman lelaki berhidung belang. Ya, aku akui yang aku cantik. Tuala yang membaluti kepala dibuka membiarkan rambutnya lepas bebas. Kaki di atur melangkah lebih dekat. Lama aku memandang biasan tubuh aku di cermin hingga datang satu bisikan.

            ‘Apa yang kau banggakan dengan tubuh kau ni? kau mampu jadikan tubuh kau ni perisai dari api neraka?’

            Kaki aku terundur ke belakang. Kepala aku menoleh ke kiri dan kanan, bisikan tadi terasa sangat nyata di cuping telinga. Detak jantungku semakin laju. Liur yang aku telan terasa sangat berpasir. Punggungku labuhkan dibirai katil. Otak ligat berfikir dan nyata aku sangat terkesan dengan bisikan tadi. Malas mahu terusan memikirkan, aku naik ke atas katil. Selimut aku tarik menutupi seluruh tubuh. Mata dipejam rapat agar lena datang menjemput.

  ‘Inikah maksudnya Nailah?’ bibir aku kertap kuat sehingga terasa pedihnya. Resah sendiri Fa tolak selimut, turun dari katil kaki diatur kembali ke ruang tamu. Terpaku di situ, sunyi! Sangat sunyi. Akhirnya aku hanya mampu dengar keluhan yang keluar dari mulut aku.

‘Beginikah akhirnya?’

Mata aku pejam rapat. Kembali ke bilik tidur aku hempas tubuh atas katil.

‘Beginikah akhirnya?’

Tangan naik menekup telinga. Berharap segala bisikan itu tidak lagi menjamah telingaku. Seketika semuanya kembali normal dan aku…

‘Bawalah aku pergi.’