Bab 4
Dia menggeliat kecil. Membetulkan urat yang tegang. Terasa segar tubuhnya pagi ni. Semalaman dia tidur dengan lena. Senyuman terukir dibibirnya. Gebar yang melitupi tubuhnya ditolak ketepi. Dia turun dari katil, dicapai tuala dan terus menuju ke bilik air.
Air pancuran yang turun membasahi tubuhnya dinikmati sebaiknya. Dia membiarkan saja tubuhnya dibelai oleh air yang mencurah-curah membasahi tubuhnya. Pili air ditutup. Tuala yang tersangkut dicapai seraya membaluti tubuhnya.
Dia berdiri di depan almari bajunya. Tanganya beralih dari satu baju ke satu baju. Hai, kenapa susah sangat nak pilih baju ni? Entah kenapa baju yang penuh satu almari tu tidak menarik minat Qasyrina.
Jauh dia termenung sebelum mencapai dress warna hijau. Dress kembang separas lutut disarung ke tubuhnya. Terdedah dibahagian dadanya. Menampakan leher jinjang dan bahagian dada yang putih melepak.
Qasyrina duduk dihadapan cermin. Hari ni dia hanya bermekap natural bersesuaian dengan warna baju pagi tu.
``Awal kau keluar hari ni?’’ Tegur Ardz Riena.
``Haah, aku ada janji nak jumpa client.’’ Qasyrina kenyit mata. Dia senyum.
``Hai, kau ni dah kenapa? Sengih aje.’’ Soal Ardz Riena lagi.
``Kau ni aku sengih pun salah.’’ Qasyrina menyuap nasi goreng yang disediakan oleh sahabatnya itu.
``Eh, duduklah dulu. Anak dara apa ni makan sambil berdiri.’’ Tegur Ardz Riena.
``Tak nak lah. Aku nak cepat ni. Eh, Amanda balik tak semalam?’’ Qasyrina matikan langkahnya apabila teringatkan sahabatnya itu.
``Tak kut. Sebab aku tak nampak batang hidung dia pun. Kereta dia pun takde kat luar tu.’’ Ardz Riena menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya.
Qasyrina mengangguk tanda faham. Kalau minah tu tak balik maknanya dia tidur kat rumah sewa pekerjanya. Dan kalau Amanda tidak balik itu maknanya dia ada event atau tempahan catering yang memerlukan dia berada di sana.
``Kau tak kerja ke hari ni?’’ Soal Qasyrina sambil menyarungkan stiletto warna hitam ke kakinya.
``Aku buka tadika Zara, kau ingat senang ke aku nak tutup dan buka sesuka hati aku. Apa kata mak ayah budak-budak tu nanti. Dia orang bayar upah guna perkhidmatan aku walaupun kadang kala aku bengang juga dengan sikap sesetengah mak ayah ni.’’ Ardz Riena mengeluh.
``Kenapa?’’
``Yer laa, dia anggap tadika ni sebagai pusat asuhan barangkali. Dia orang hantar seawal jam 6.30 pagi, kau rasa? Ada staf aku kena marah sebab buka tadika lewat. Katanya dah berjam dia tunggu kat situ nak hantar anak dia. Siap cakap yang kita orang makan gaji buta kau. Terima bayaran tapi perkhidmatan hampeh. Huh! Masa dengar staf aku cerita tu, berangin aje hati aku. Mujurlah dia bukan cakap direct dengan aku, kalau tidak… Memang aku ceramahkan dia kaw-kaw. Dia orang ambil anak lewat, aku tak berkira pun. Sudah memangnya jadual tadika ni buka paling awal 7 pagi.’’ Panjang lebar Ardz Riena meluahkan rasa hatinya.
Itulah risiko buka perniagaan begini. Namun inilah yang dia suka. Dia minat pada budak-budak. Disebabkan itulah dia masih bersabar dengan karenah sesetengah ibu bapa yang kerek. Namun jauh disudut hati dia, rasa kasihan dengan anak-anak yang masih muda. Di usia 5 tahun hingga 6 tahun sudah di ajar hidup dengan orang. Segalanya diuruskan oleh pengasuh. Kasihan!
Qasyrina senyum. Simpati dengan sahabatnya itu. Tapi itulah risiko yang perlu ditanggung sebagai seorang peniaga. Contoh macam dia ni, hari-hari jumpa dengan client yang cerewet.
Hakikat sebuah negara moden, penduduknya juga sudah semakin moden. Di mana, lelaki dan wanita sama-sama bekerjaya. Ya, menjadi seorang yang berjaya dan bekerjaya itu tidak salah. Namun apabila sehingga mengenepikan tanggungjawab yang ada itu merupakan suatu yang tidak patut. Tanggungjawab sebagai ibu bapa tidak semua dapat rasai. Ada yang bertahun menunggu masih belum juga dikurniakan cahaya mata.
Dan sesungguhnya amatlah rugi apabila seorang ibu bapa terlepas waktu membesar si manja. Apa tidaknya, semuanya diserahkan kepada pengasuh. Dalam bab Ardz Riena ni, di sebabkan kasihan dengan salah seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang didera pengasuh, dia sanggup membuka peraturan baru untuk tadikanya. Di mana ibu bapa boleh ambil anak selewatnya jam 8 malam.
Ardz Riena ada bagitahu dia yang kasihan kanak-kanak itu. Mula-mula elok saja budak tu ke tadika. Seminggu kemudian, kanak-kanak itu jadi pendiam. Entah macam mana, mungkin Allah nak tunjuk suatu hari Ardz Riena nampak kesan pukulan di kaki kanak-kanak tersebut. Puas dia memujuk tanya barulah kanak-kanak itu beritahu yang dia dipukul oleh orang gajinya. Mak ayah tidak tahu kerana selalu out station.
``Okay lah babe. Aku gerak dulu.’’ Qasyrina menghantar ciuman buat sahabatnya itu. Ardz Riena sengih. Dah biasa sangat dengan lagak gedik minah sorang ni.
Qasyrina tarik nafas. Hai, semangat semacam pulak aku hari ni. Hahaha. Kali pertama dapat client muda kut. Tapi kalau ingat kan hal semalam macam… Hampeh. Kalau poyo, tak dapatlah aku nak test market. Weyy, kau ni nak buat business ke nak menggatal? Sambil menyelam minum air la. Qasyrina senyum penuh makna.
Qasyrina ambil meja yang tersorok sedikit. Mencipta sedikit ruang privacy antara dia dengan pelanggannya. Dia melirik jam dipergelangan tangan. Awal lagi. Eh, tapi ada ke aku cakap nak jumpa pukul berapa? Erkk… Ada ke tak? Hai laaa, dah kenapa aku sekarang ni asyik lupa saja. Omel Qasyrina dalam hati.
Tak apalah aku mesej ajelah. Bukan salah pun. Tapikan mesti mamat tu, kutuk aku kaw-kaw macam semalam. Hurmmm, nak mesej ke tak nak? Di buatnya mamat tu melengah, datang tengah hari… Macam orang bodoh aje lah aku kat sini. Lantaklah apa dia nak kata, dari aku bodohkan diri aku menunggu sini.
Qasyrina taip mesej, lalu ditekan butang. Dia mencapai pensel dan kertas. Meneliti lakaran yang dibuat semalam, manalah tahu ilham datang.
Iqram mendengus. Hai, minah ni! Semalam bukan nak cakap pun nak jumpa pukul berapa. Dia lihat mesej dari Qasyrina.
Saya dah sampai – Qasyrina Izzara
Eh, salah minah tu aje ke? Kau tak salah? Siapa yang letak telefon dulu? Konon nak berlagak serius la. Bengang dengan sikap cuai minah tu la. Huh! sekarang kau jugak yang susah. Ego sangat!
Dengan malasnya Iqram beralih dari meja tulisnya. Baru saja dia nak buat seni khat. Baru dapat ilham seni. Terpaksa dia kuburkan hasrat hatinya. Dia menukar baju T-shirt yang dipakai dengan baju T-shirt adidas warna hijau.
Pakaiannya santai hari ni. Dia meluru keluar bilik.
``Nak ke mana Iqram?’’ Soal Hajjah Sofea yang sedang menjahit butang baju kemeja suaminya.
``Nak jumpa designer yang mak ngah dan pak ngah lantik untuk reka restoran dia orang tu.’’ Iqram mendekati Hajjah Sofea. Dia tunduk menyalami ibunya.
Hajjah Sofea terangguk tanda faham. ``Hati-hati bawa kereta tu.’’
``Iya bu. Assalamualaikum.’’ Iqram bergegas ke keretanya. Enjin kereta dipanaskan sebelum dia kereta itu meluncur meninggalkan perkarangan rumahnya. Tiba-tiba jantung Iqram berdebar kuat. Gementar. Haisy, apa kes lelaki gementar. Tak macho la bro. Hai!
Iqram parkir keretanya dihadapan restoran yang dipilih Qasyrina. Dia melangkah masuk ke dalam restoran tersebut. Perghh, mewah juga restoran ni. Kalau tengok dari luar biasa-biasa aje. Matanya melilau mencari kelibat orang yang dia tak pernah jumpa. Hai, mana satu minah nyanyuk ni? Iqram garu kepala.
Qasyrina melambai tangan. Dia main teka aje, melihatkan cara lelaki tu.
Iqram bergerak meja gadis berbaju hijau sama sepertinya itu.
``Cik Qasy.’’
``Encik Iqram.’’
Serentak pula mereka bertanya. Dan serentak jugak mereka mengangguk, iyakannya. Hai, sehati sejiwa nampak. Belum apa-apa lagi dah tunjukkan keserasian. Power betul!
Syhh, diam wahai hati! Iqram dan Qasyrina menegur hati masing-masing.
``Jemput duduk.’’ Pelawa Qasyrina.
``Awak ni memang buat kerja macam ni ek?’’ Tembak Iqram.
Qasyrina cengang. Apa pula maksud mamat ni? Dia tunduk atas meja yang selerak dengan kertas. Dia tepuk dahi seraya mengemaskan meja itu.
``Maksud saya bukan meja ni tapi cara awak berurusan dengan pelanggan awak. Last minute bagitahu nak jumpa pukul berapa? Macam ni cara kerja awak, boleh makan pasir awak.’’ Kasar ayat Iqram. Yang pasti ada nada sinis yang menyakitkan.
Iqram jeling. Dia mencebik bibir. Pakaian minah ni… Allah. Terlebih miskin atau terlebih kaya ni. Kutuk Iqram dalam hatinya.
Qasyrina masih cuba maniskan wajahnya dengan senyuman. Hati yang bergolak cuba ditenangkan sedaya mungkin. Bimbang jugak dilanda badai. Dia bukanlah seorang penyabar. Fikirkan periuk nasi kau Qasyrina. Jangan biarkan hal kecil ni mengacau rezeki kau. Sabar.
``Saya minta maaf. Salah saya. So, Encik Iqram nak minum apa?’’ Qasyrina menggamit pelayan.
``Cik Zara nak order apa? Encik?’’ Soal gadis itu. Sopan. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.
``Bagi I fresh orange.’’Qasyrina pandang Iqram.
``Bagi I kiwi juice.’’ Iqram nyatakan pesannya.
``Makan?’’ Soal gadis tu lagi.
Qasyrina pandang Iqram, seolah bertanya lelaki itu mahu makan apa. Iqram geleng kepala.
``Takpe Aida. Minum saja.’’ Qasyrina putuskan.
``Awak dah biasa kat sini ke?’’ Soal Iqram. Nampak gaya macam minah ni dah biasa dengan restoran ni. Pelayan tu pun tahu nama dia.
``Ooo, ni restoran kawan saya.’’ Qasyrina senyum mesra. Dia menghulurkan kertas lakaran yang dia buat semalam. Belakang disandar ke kerusi.
Iqram telan liur. Bahagian dada yang terdedah tu memang menguji imannya. Tidak putus dia beristighfar dalam hati.
``Awak ni memang pakai macam ni ek? Atau gaji kerja interior designer ni tak cukup untuk awak beli baju yang lebih indah mata hati nak tengok?’’ Sinis suara Iqram. Matanya masih menatap lakaran Qasyrina. Apa yang minah ni lukis? Satu apa pun aku tak faham. Hai, ni semua salah mak ngah. Suka hati saja suruh aku ambil alih tugas dia.
``Hah!’’ Bulat mata Qasyrina pandang Iqram. Berdesing telinga dia. Ini kali pertama orang sentuh soal pakaian dia. Indah di mata hati? Apa maksud mamat ni?
``Apa hah-hah? Tak payah buat muka macam tu. Ni, apa punya lakaran ni? Dah macam cakar ayam pun ada. Satu apa pun saya tak boleh nak tangkap apa yang awak lukis ni.’’ Iqram lempar kertas atas meja.
Bertambah berdesing telinga Qasyrina. Berasap-asap kepalanya saat ni. Fuh! Sabar Qasyrina Izzara. Sabar. Dia tarik nafas dalam-dalam. Kemudian dihembus perlahan. Cuba meneurtalkan kembali hati yang sedang mengelegak itu.
Boleh tahan pedas juga mulut mamat ni. Mengalahkan orang perempuan. Kutuk Qasyrina.
``Awak ni pandai buat kerja ke tak? Dah la pakaian, haisy!’’ Iqram merengus. Dijeling sekilas pada gadis itu. Sakit mata dia melihat pakaian si gadis.
``Hello, bro! Apa masalah dengan pakaian aku? Apa yang menyakitkan kau sangat? Indah mata hati, apa?! Lagi satu, ini pun namanya lakaran, memang lah tak sempurna. Aku belum lagi lihat lokasi dan keadaan restoran, tup-tup Datuk Aril cakap dia passing kat kau. Kau pulak nak tengok design aku. Kau ingat otak aku ni otak mesin. Boleh buat tang tu jugak apa yang kau orang request.’’Kembang kuncup hidung Qasyrina. Dadanya berombak. Suka suki mak tiri dia aje mengutuk aku. Tidak ada dah ayat sopan santun. Hati tengah bengkak babe. Huh!
Iqram tenangkan diri. Dia terkejut juga dengan tindak balas Qasyrina. Tak sangka yang gadis tu akan naik angin. Nampak macam tidak kisah aje.
``Kenapa kau marah? Betul apa aku cakap. Pakaian kau tu macam tak cukup kain tau. Mata aku ni memang la suka tengok perempuan bertelanjang macam kau ni, tapi mata hati aku ni seksa tau. Bertambah dosa aku.’’Iqram juga sama naik. Tiada dah panggilan sopan santun tadi.
Aida tertegun. Dia tidak jadi mendekati meja Qasyrina apabila melihat situasi hangat itu. Rasa takut nak dekati dua makhluk itu. Jelas situasi tegang di situ.
Qasyrina kacip gigi. Dia pejam mata. Hangat! Bukan takat hangat dah hangit ni dek terbakar dengan amarah.
``Kau nak terima atau tak lakaran ni? Ke nak aku buat yang baru?’’ Qasyrina mengawal getar bibirnya. Dia alih topik.
``Tadi kau kata kena tak tengok lagi keadaan kedai apa semua. Kalau aku minta kau buat yang lain, lebih elok dari ni ke hasilnya?’’ Iqram senyum senget.
Qasyrina bengkak. Melihat senyuman senget mamat tu menyakitkan hatinya. Dia tahu sangat lelaki tu mempersendakan dirinya.
``Kalau macam tu, kau bawa aku tengok lokasi restoran dulu. Aku tengok ini sesuai ke tak dengan tempat tu. Kalau sesuai aku akan jelaskan apa yang aku lukis ni kat kau. Sekali aku siapkan lukisan lengkap!’’ ujar Qasyrina. Dingin dan tegas. Apa dia ingat boleh main-mainkan aku.
Qasyrina cuak. Perbincangan kali ni tiada kemesraan langsung. Hanya kedinginan dan kesakitan hati saja. Mahu tak sakit hati. Kali pertama dia ditegur kerana pakaiannya. Oleh lelaki! Lelaki kau! Panas hati tak usah cakaplah. Kalau ikutkan hati dia, ni… Tumit kasut ni aku sumbat dalam mulut mamat tu. Biar dia rasa. Arghh! Benci!
Hai, yang kau nak angin sangat kenapa Zara? Macamlah takde yang pernah kutuk cara kau berpakaian. Datuk Aril pun pernah tegur, tidak pula kau angin macam ni. Selar hatinya.
Errkkk… Ikut suka akulah!
Amanda tepuk bahu Aida. Dia angkat kening.
Aida muncung ke arah meja Qasyrina.
Amanda ambil dulang ditangan Aida. Dia mendekati meja Qasyrina dan pelangganya. Perghh, hensem mamat ni. Untung kau Qasyrina asyik dapat pelanggan hensem aje. Amanda senyum manis sambil tanganya meletakkan air atas meja.
Tapi dia perasan muka tegang keduanya. Mesti ada yang tidak kena ni.
``Hai, saya Amanda. Pemilik dan chef restoran ni. Awak tak nak makan ke? Kami ada masakkan barat dan kampung. Kalau masakkan kampung, buffet. Tapi kalau nak yang barat, order kami akan masakkan.’’ Petah Amanda memperkenalkan menu restorannya. Satu persatu dia kenalkan makanan yang popular dikedainya.
Iqram senyum. ``Terima kasih Amanda. Tapi saya masih kenyang lagi.’’ Sopan Iqram menolak.
Qasyrina jeling. Huh! Dengan Amanda boleh pula cakap lembut-lembut. Dengan aku ni entah apa masalah dia nak meroyan saja.
Amanda angguk.
``Enjoy your drink.’’ Amanda jeling sekilas kepada Qasyrin. Sahabatnya itu sedang menahan perasaan. Dia tahu sangat bila gadis tu asyik mengutil jarinya.
Iqram pandang gadis depannya ni. Memang cantik. Wajahnya indah. Tahit lalat di bibir pemanis wajah gadis tu. Iqram meratah wajah manis Qasyrina dalam diam. Wah! Banyaknya tahit lalat kat muka dia. Patutlah manis semacam aje rupa minah ni. Kat dagu dan hidung paling menawan!
Dia sembunyi senyum. Sayangnya satu aje, keindahan yang ada dipertontonkan sesuka hati. Membiarkan lelaki bermata keranjang menikmati hingga menimbulkan satu rasa yang tidak elok. Macam manalah kita nak bendung kes rogol, kalau yang empunya badan tidak menjaganya. Sengaja mempertontonkan aset mereka hingga menaikkan syahwat lelaki.
Qasyrina merengus. Dia perasan lelaki itu perhatikanya. Kata aku buat dia tambah dosa. Ini yang dia tengok aku sampai tak berkelip mata tu, apa kes? Gila!
``Kau nak bawa aku tengok lokasi restoran tu atau tak?’’ Soal Qasyrina lagi. Dia rasa semacam bila asyik ditenung lelaki tu. Ada sesuatu yang mengusik hatinya. Apakah? Hai, aku pun tak tahu. Lantaklah!
``Qasy.’’ Lembut Iqram panggil nama Qasyrina.
Qasyrina terpana. Bukan kerana kelunakkan suara lelaki itu tapi… Panggilan tu. Nama Qasy hanya seorang saja memanggilnya dengan nama tu. Hanya arwah ibu. Hatinya dipagut sayu.
Iqram perasan perubahan riak wajah Qasyrina. Hai, aku salah cakap ke? Aku rasa aku panggil nama dia aje. Bukan kutuk dia pun. Aduh! Susahnya perempuan ni. Mudah sangat terasa hati.
``Qasy!’’ Panggil Iqram lagi.
``Erkk… Mmm, apa dia.’’ Qasyrina betulkan duduk dan suaranya. Matanya terpaku apabila bertembung dengan anak mata Iqram.
``Sebenarnya pasal lokasi tu, aku pun tak tahu. Nanti aku tanya mak ngah dan bagitahu kau.’’ Seronok la pula bahasakan kau-aku. Takdelah nampak formal sangat. Iqram sengih.
Qasyrina angguk. Lidahnya kelu.
``Qasy, aku minta maaf. Bukan nak mengutuk kau, tapi keindahan yang ada pada kau tidak seharusnya dipertontonkan.’’ Ujar Iqram tenang seraya menyedut air kiwi miliknya.
Kelembutan kata-kata lelaki tu melekat dihatinya. Namun cepat-cepat dia menghalau rasa selesa tu. Huh! Lelaki memang wajib bermanis mulut. Ayat nak memikat kononnya. Boleh blah ar. Macamlah aku tak biasa di ayat begini.
``Kau tak takut ke kalau suatu masa nanti… Ini kalau saja ek. Kau jadi mangsa rogol. Sudah lah kena rogol, dibunuh pula. Kau tak takut? Sekarang banyak dalam akhbar mahu pun televisyen, berkisah tentang hal ini,’’ ujar Iqram lagi. Masih dengan intonasi yang sama. Lembut. Tidak seperti di awal pertemuan mereka tadi.
Qasyrina terdiam. Terdetik juga rasa seram dihatinya. Tapi kalau dah namanya Qasyrina Izzara tunduk pada lelaki tidak sesekali.
``Hmmm, yang tutup litup pun spesies kau rogol juga. Jadi, dimana jaminanya kalau aku tutup tubuh aku, aku terselamat dari semua yang kau cakap tadi? Ya, dalam akhbar, televisyen banyak siarkan hal begini. Dan latar belakang mangsa bukan hanya perempuan seperti aku, tapi yang berjubah, bertudung labuh jugak. Hakikatnya, bukan pada pakaian tapi pada akal dan hati. Pada iman.
Lelaki dilahirkan untuk melindungi wanita insan yang lemah. Tapi, lelaki jugalah yang menyakiti. Okay, kita luaskan sikit skop ni ek. Bayangkan, kalau ayah, abang dan suami tempat bergantung tanpa ragu-ragu meragut hak melindungi, ia masih salah kami ke? Di mana salah kami? Cara kami berpakaian? Apa pula salah mereka yang bertudung litup, berjubah? Fikir dulu sebelum bercakap Encik Iqram. Jangan bersuara jika banyak lompongnya. Jangan menunding jari jika, berat sebelah. Kesalahan di dua belah pihak. Bukan hanya kami perempuan,’’ Qasyrina mendengus. Berbincang topik ini hanya mengembalikan kenangan yang tidak mahu dia kenang. Menyakitkan!
Dia akui cara pemakaian dia salah. Bukan cara wanita islam. Dan dia tidak akan sesekali menyatakan yang dia benar. Tapi janganlah menuding jari pada kami yang tidak menutup aurat ini. Apa yang terjadi bukan hanya salah kami. Hanya kerana kami memakai pakaian menjolok mata, dan kami menjadi mangsa nafsu serakah lelaki maka ia salah kami!
Tidak ada wanita meminta menjadi mangsa nafsu serakah lelaki. Tidak kira bagaimana penampilan wanita itu. Namun jika hidup bertunjangkan nafsu, yang terdedah mahu pun yang bertutup sama saja di mata mereka. Akal sudah hilang warasnya. Jika tidak, tidak akan adalah kes sumbang mahram. Lihat saja di dada akhbar dank aca televisyen kini, makin hari makin banyak kes sumbang mahram. Sampai mengandung dikerjakanya.
Malahan bukan setakat bapa, datuk, bapa saudara dan… Allah! Apa salah budak itu? Masih salahkan pemakaian merekakah? Masih salah pergaulan merekakah? Yang merogol bukan orang lain tapi ahli keluarga. Keluarga yang di harapkan dapat berlindung dari kejahatan luar tapi… ahli keluarga sendiri yang membuat onar.
Nafas berat terhela dari dua ulas bibir Qasyrina. Lemah jiwa dia dengan fenomena dunia sekarang. Nasib anak yang tidak berdosa hancur di tangan ahli keluarga sendiri. Paling pedih ada yang menunding jari pada si mangsa. Konon tidak menjaga aurat di dalam rumah. Bagaimana pula si bapa yang mengajar Al-Qur’an bisa merogol anak sendiri? Masih salah si anakkah? Kejam! Dunia ini memang kejam. Melontar buah fikiran tanpa memikirkan buruk baiknya. Barangkali jika aib itu terpalit pada mereka barulah mereka akan menunduk ke bumi dan menginsafi lidah dalam menghukum.
``Aku bukan nak kata yang aku betul. Tapi kau ada baca akhbar baru-baru ni yang bapa, atuk, baap saudara rogol budak umur 12 tahun. Lepas tu bapa liwat dan perkosa anak berusia 15 tahun. Kau rasa salah siapa tu? Salah si anak yang menjadi mangsakah? Terkadang kita ni suka menghukum orang tanpa mengenal. Sejujurnya tidak ada perempuan yang ingin jadi mangsa perkosa lelaki. Tidak ada yang mahu menjual maruah diri dengan rela hati. Kau pergilah tanya mana-mana GRO atau pelacur, apakah sebab mereka menjual tubuh mereka? Apa sebab mereka terlantar di situ tanpa mampu pusing kembali? Sedangkan mereka punya pilihan lain. Jika kau selongkar sampai ke dasar, aku yakin kau takkan tanya soalan tadi pada aku.’’ Lembut bicara Qasyrina namun sarat dengan luka. Hatinya pedih.
Lidah Iqram kelu. Apa yang baru dia dengar dari mulut manis Qasyrina ingin disangkal namun lidahnya kelu. Kata-kata gadis tu bagaikan datang dari hatinya. Bagaikan mengandung sejuta rahsia. Lagi pula apa yang dikatakan gadis itu ada benarnya.
``Sayang,’’ tiba-tiba Alif Zarith muncul.
Qasyrina angkat wajah yang menunduk dari tadi. Hai, macam mana mamat ni tahu aku ada kat sini. Aku sengaja tak masuk pejabat malas nak jumpa dia dan Adam. Nak hidup aman satu hari pun tak boleh. Susah sangat nak faham bahasa aku, kenapa? Aku bercakap bahasa melayu kut, bukan tamil!
``Awak nak apa lagi ni?’’ Qasyrina menyusun kertas yang bersepah atas meja. Haih, baru dia nak jernihkan salah faham Iqram pada dia, datang pula mamat ni. Entah apalah pula yang Iqram fikir pasal dia. Eh, kejap! Kenapa pula kau risau apa yang Iqram fikir? Dia nak salah faham ke apa, biarlah dia!
Iqram terpinga-pinga. Drama apa ni? siapa lelaki ni pula. Siap panggil sayang bagai ni? suami dia ke? tunang? Tapi kat jari dia takde sebarang cincin pun. Wah! Dalam tak suka boleh kau perhati dia ek Iqram.
``Sayang. Tolonglah dengar apa yang I nak cakap ni. I minta maaf. I tahu salah I sebab bersikap kebudak-budakkan. I…’’
Qasyrina angkat tangan. Dia tidak mahu dengar apa-apa lagi. Dia dah muak. Bukan setakat itu saja yang buat dia nak jauhkan diri dari Alif Zarith. Lelaki itu terlalu mengongkong. Kalau boleh setiap masa nak berkepit denganya. Ingat aku ni anak ikan ke nak kelek aje. Huh!
Dia bangun tinggalkan Iqram yang masih bingung. Dia atur langkah menuju kereta. Baru saja tanganya hendak membuka pintu kereta, lengannya direntap dari belakang. Terabur habis kertas yang dalam peganganya.
Qasyrina mendengus. Satu kerja pula aku nak kena kutip kertas ni semua. Hai, memang mamat ni cari masalah sungguh.
``Kau nak apa hah? Aku dah cakap dengan jelas yang kita berdua dah takde apa-apa hubungan! Apa lagi yang kau tak faham ni?’’ Hilang sudah kelembutan Qasyrina. Kesabaran sudah ditahap paling rendah.
``Saya sayangkan awak. Kita kahwin.’’ Tiba-tiba Alif melamar.
Qasyrina ketawa. Mula-mula perlahan selepas tu makin kuat. Geli hati bila dia dilamar. Dia geleng kepala beberapa kali.
``Kenapa awak gelak? Lucu ke?’’ Soal Alif. Bingung. Malu satu hal. Semua orang pandang kut.
Qasyrina masih lagi dengan tawanya.
``Qasyrina Izzara!’’ Alif cengkam lengan gadis tu.
Qasyrina berhenti ketawa. Dia pandang Alif dengan pandangan yang tajam.
``Sorry.’’ Perlahan lelaki itu menuturkan kata-kata maaf. Cengkaman dilepaskan.
``Aku bukan untuk kau, Alif. Kau mampu dapat yang lebih baik seperti Adela.’’ Qasyrina kutip kertas yang berteraburan tu lalu memboloskan diri dalam kereta.
Alif terpempam. Macam Zara boleh tahu pasal Adela. Tidak pernah sekali pun dia sebut pasal Adela. Ya, Adela… Pilihan keluarganya. Keluarga dia memang tidak suka Qasyrina. Pelbagai alasan dicipta keluarganya. Dia meraup muka. Kali ni dia akan kehilangan cinta hatinya.