BAB 1
“Bullshit!” jerit
Ayesha. Anak matanya mencerun memandang lelaki itu. Pandangan redup yang
memayungi sepasang mata itu langsung tidak menjentik hatinya. Jika dengan menjerit mampu menghilangkan
bayangan lelaki ini, memang itu yang dia lakukan. Dia mahu lelaki ini hilang
dari pandanganya sekarang ini juga.
Kemarahan yang membusung semakin
menenggelamkan rasa kasih yang selama ini terhimpun di dalam dada. Sungguh dia
tak sangka apa yang di dengarinya tadi datang dari mulut Ashish. Dia sayangkan
lelaki ini sepenuh hatinya malah dia telah berikan segalanya kepada lelaki ini.
Kehidupanya, jiwanya waima masa depanya juga dia telah serahkan pada lelaki
ini.
Hamparan anyaman indah masa depan
yang dihulurkan Ashish tak mampu dia tolak; terlalu indah. Namun siapa jangka,
panas yang di sangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Yang basah
di timpa hujan, dialah.
“Sha, dengar dulu penjelasan Ash.”
Lengan Ayesha dilelar kemas menghalang gadis itu berlalu.
“Aku tak nak dengar apa-apa lagi
dari mulut kau. Semuanya… Dusta!”
“Sha, jangan terburu-buru macam ni.
Dengarkan dulu apa yang Ash mahu katakan.” Rayu Ashish.
“Kau boleh pergi mampus dengan
penjelasan kau!” dia kerling ke belakang. Senyuman sinis di bibir Razif
menyatakan segalanya. Malah renungan jengkel Rina, buat dia kertap gigi
kuat-kuat. Ratu? Dia tak tahu apa masalah gadis itu dengan dia sedangkan
seingat dia, dia tak pernah bermusuh dengan gadis itu. Bercakap jauh sekali.
“Lepas!” dia merentap lenganya dari
pegangan Ashish. Terlepas saja dia laju memacu langkah meninggalkan ruangan
itu. Bimbang semakin lama dia di situ semakin kurang ajar dia pada Ashish. Air
mata yang jatuh diseka perlahan.
‘Jangan menangis Ayesha. Ini hanya
sementara.’ Pujuk hatinya.
Sampai hati awak Ashish lakukan ini
kepada saya? Apa kurangnya cinta saya? Rintih hatinya.
Ashish meluru ke meja. Mengemas
segala barangan miliknya. Dia perlu mengejar Ayesha dan menjelaskan keadaan
sebenar. Mana boleh dia biarkan gadis itu dengan salah faham begitu. Dia
sayangkan Ayesha. Dan dia tulus sayangkan hubungan mereka. Bukan mudah dia mahu
memiliki Ayesha samatelah dia masih pelajar dan gadis itu sudah memiliki
kerjaya yang tetap. Dia terpaksa merendahkan egonya semata mahu memiliki cinta
Ayesha.
Mengenali Ayesha, seorang gadis yang
tenang dan merendah diri tak mungkin dia lepaskan gadis itu ke tangan orang
lain.
“Kau nak kejar perempuan tu ke bro?”
selamba Razif menuturkan kata. Seolahnya dia tidak pernah lakukan kesalahan
kepada Ashish.
Mahu marah namun tiada guna. Dia
yang bodoh percayakan Razif bila lelaki itu ajak dia ulangkaji bersama.
Sudahlah keberadaan Rina hanya diketahui setelah dia berada di sini. Sepatutnya
dia boleh agak, ajakan Razif beragenda. Lelaki itu sentiasa licik akalnya. Dia
patut faham ragam Razif; lelaki itu sudah berjaya mencipta salah faham antara
dia dengan Ayesha.
“Kau sengaja ajak aku ke sini untuk
perangkap akukan?”
“Kau lupa janji kita?” Razif menjeling Ashish.
“Perjanjian antara kita dah lama aku
selesaikan Zif. Kalau ada pun, ia takde kena mengena dengan Ayesha!” keras
lantunan nada Ashish. Tajam pandanganya menikam wajah selamba Razif. Tidakkah
ada walaupun sekelumit rasa bersalah dalam diri lelaki itu?
Razif letak telefon atas meja. Dia
dongak kepala menentang pandangan Ashish. “Antara kau dan aku memang telah
selesai tapi… antara aku dengan Ayesha, takkan pernah selesai. Dia tak
sepatutnya menolak aku.” Rahang Razif jelas tegang.
Ashish hilang sabar. Dia meluru
mendapatkan Razif. Kolar baju lelaki itu dicekak kuat. Senyuman sinis yang
tersungging di bibir Razif menghangatkan lagi hatinya. Cekakan pada kolar baju
Razif makin diketatkan sehingga timbul urat biru di dahi lelaki itu. Dia mahu
Razif tahu yang dia tak main-main bila melibatkan Ayesha. Dia silap sebelum
ini, tapi dia tak pernah silap dalam perhubungan mereka.
Ratu dan Rina yang melihat sejak
tadi mula resah. Cuak jika ada sesuatu yang berlaku pada Razif.
“Ashish! Kau nak bunuh Razif ke?”
jerkah Rani.
Ashish menoleh ke belakang bersama
senyum jahat. Kemudian dia kembali menatap Razif yang sudah kelemasan. Perlahan
dia lepaskan cekakan pada kolar baju Razif. Bahu lelaki itu ditepuk perlahan.
“Aku tak pernah main-main dengan
Ayesha Zif. Aku harap kau ingat ni. Ayesha milik aku dan selamanya milik aku.
Dia takkan sesekali jadi milik kau atau sesiapa saja.”
Ratu dan Rani tarik nafas lega.
“Kau rasa dengan apa yang jadi tadi,
dia akan setia di sisi kau.”
Rani jegil mata pada Razif. Kenapa
mahu di pancing lagi ketenangan Ashish. Memang tak sayang nyawa sungguh Razif
ni.
“Itu bukan urusan kau. Urusan kau…
pastikan kau tak ganggu hidup kami lagi.” Tekan Ashish tegas menandakan yang
dia tak akan berganjak dari keputusanya. Langkah di atur meninggalkan ketiga
manusia itu. Dia perlu jejaki Ayesha secepat yang mungkin.
Razif mahu bersuara namun ditahan
oleh Rani. Lelaki itu hanya mampu merengus keras. Namun seketika kemudian
tercungit senyum di bibirnya. Dia tahu semuanya telah berakhir antara Ayesha
dan Ashish. Dia kenal Ayesha, gadis itu memang pantang ditipu.

No comments:
Post a Comment