Bila rasa cemburu menguasai diri,
hilang semua kewarasan diri. Hanya rasa
amarah yang menghuni hati. Dan saat itu
yang amat dibenci Dhia. Benci dirinya
yang dalam amarah kerana tika itu dia mampu bertukar menjadi apa pun.
Dhia sedang mencuba untuk mengawal
rasa marah yang beraja di hatinya. Tapi
dia juga hanya manusia biasa. Dia hanya
mampu mencuba dan mencuba. Kini apa yang
dilihatnya semalam mencetuskan kembali rasa marah yang telah lama dikekangnya.
Dia bangun dari duduknya menuju ke
bilik air. Mengambil wuduk. Sebagaimana yang diajar dalam Islam,` apabila
seseorang itu sedang marah dalam keadaan berdiri, duduklah. Jika duduk berdirilah. Sekiranya belum reda berwuduklah. Sesungguhnya wuduk mampu membersihkan hati yang
dalam kemarahan.’
Sejadah dibentangkan. Takbir diangkat, lantas niat dipusatkan dalam
hatinya. Solat sunat dua rakaat menjadi
pilihannya saat hatinya sarat dengan hasutan syaitan. Salam kiri dilafazkan tanda menyudahi
solatnya.
Lama dia berteleku di tikar
sejadah. Setiap lafaz zikir taubat meniti
halus di bibirnya. Istaghfar
dialunkannya. Menitis air matanya tika
mengalunkan zikir Istaghfar. Mengingati
dosa lalu amat memilukan hatinya.
Sebagai manusia dia tidak lepas daripada melakukan dosa. Dan segalanya berlaku kerana amarah yang
bersarang di dada.
``Ya Allah… aku khilaf dalam melalui
hari-hariku. Aku alpa dalam setiap
tingkah aku. Aku lalai dalam mengasuh
emosiku. Ya Allah… ampunilah setiap dosaku, setiap perkataan yang terhambur
daripada mulutku, setiap apa yang meniti atas lidahku. Berilah aku kekuatan untuk meluputkan rasa
marah ini. Berilah aku petunjuk dan
kekalkan iman aku pada-Mu Ya Allah.’’
Dhia menekup mukanya. Laju saja
air matanya menitis setitik demi titik.
Dia melihat jam loceng di atas meja
lampu. Sudah hampir jam empat pagi. Kerana keresahan hatinya, Dia tidak mampu
melelapkan mata. Lantaran itu di sujud diri
pada Yang Esa memohon ketenangan diri.
Di buang pandangan ke luar tingkap biliknya. Meneliti pekatnya malam dalam biasan cahaya
bulan. Serta merta fikirannya terarah
pada peristiwa petang tadi.
``Dhia!’’ Suri menepuk lengannya. Cuba menunjuk adegan mesra tahap petala yang
ada di hadapannya tika ini.
``Apa?’’ soalnya.
Dia yang sedang mencari kunci keretanya langsung tidak pedulikan
Suri. Dia terus menyelongkar beg
tangannya. Apa tidaknya, dia bimbang tidak sempat maghrib di rumah. Biasalah jalan di Kuala Lumpur, masuk ceruk
mana pun mesti berhadapan dengan jem.
``Oi… berhentilah dulu cari kunci tu!
Kau tengok tu…’’ Suri memuncungkan
mulutnya ke arah pasangan yang berhadapan dengannya. Kebetulan pula dia meletakkan keretanya berhadapan dengan
restoran D’ Tomyam Seafood.
Mahu tidak mahu di palingkan mukanya
seketika setelah didesak berkali-kali oleh Suri. Bulat mata Dhia memandang sebatang tubuh
lelaki yang amat dikenalinya. `Tapi
siapa perempuan yang bersamanya itu? Manja? Memang manja betul. Tangan mereka kejap
bersatu. Dia sebagai tunangan pun tak
pernah memegang tangan lelaki itu.’
Ngomel hati Dhia.
Terasa bagai di siat-siat
hatinya. Tanpa sedar kakinya melangkah
laju menuju ke meja pasangan itu.
``Assalamualaikum!’’ keras suara Dhia. Matanya dah naik juling menyaksikan kemesraan
yang terpamer di depannya.
``Wa…alaikummusalam.’’ Kaget Iqram
seketika. Tidak dia menyangka akan
terserempak dengan tunangnya. Menjawab salam pun tersangkut-sangkut.
Dia yang sedang menahan rasa marah
yang berkabung di dada, mengepal tangannya.
Mahu saja di taekwando-nya Iqram saat itu juga.
``Dhia…’’ perlahan nama itu disebut.
``Yang… siapa perempuan ni?’’ Dengan
manjanya perempuan gedik itu bertanya.
Berasap telinga Dhia mendengar
perkataan `Yang’ yang baru sahaja meniti di bibir perempuan itu. Mahu saja dia muntah keloyaan tahap petala
langit ke tujuh. `Ya Allah! Sabarkanlah hatiku.’ Sempat lagi dia meminta daripada Yang Di Atas
untuk kesabaran yang makin menipis.
Iqram bingung. Dia tidak menjangka keadaan ini. Apa yang harus dia lakukan? Lagi seminggu majlis pernikahan mereka. Iqram
menolak tangan Mas yang melingkari lengannya.
Sebal di rasa. Menyesal pula
menerima ajakkan Mas. Tambahan pula
memang Iqram mata keranjang. Kena goda
sikit dengan Mas automatik mencair.
``Iqram! Dhia masih menanti
penjelasan Iqram.’’ Jelas nada ketegasan
dalam kenyataan Dhia.
``Dhia, ini bukan macam yang Dhia
lihat. Kami kawan saja,’’ jelas Iqram.
``Huh! Kawan awak cakap? Eh, kawan apa sampai berpelukkan di khalayak
ramai. Terliang liuk macam pokok buluh
nak patah saja. Siap ber`yang’
bagai. Kawan ke tu Encik Iqram?!’’ Dhia meninggikan suaranya.
Dasar lelaki tak guna! Masih lagi
nak menafikan. Sudah terang lagi bersuluh. Bukannya dia rabun. Tak tahu bezakan apa yang
baru disaksikan tadi. Marah sungguh
hatinya.
``Dhia…’’ lembut suara Iqram memanggil
nama Dhia. Menagih simpati.
``No Dhia… Dhia… dengar sini!’’ jari telunjuknya tepat memanah batang hidung
Iqram. Matanya yang merah bersaga
menahan marah, sedih dalam satu mengalih pandang pada perempuan yang belum
diketahui namanya. ``Kalau perempuan
gedik tak cukup pakai ni yang awak
pilih, baik! Awak boleh teruskan.
Tapi pertunangan kita putus!’’
keras suara Dhia menuturkan perkataan PUTUS itu.
Tak senang duduk Mas bila dikutuk
Dhia. Mas mengetap gigi. ``Wei! Perempuan perasan bagus. Ikut suka hati kau saja kutuk aku. Kau… mari sini…’’ Mas cuba menarik tudung Dhia. Panas betul hati Mas.
Iqram bingkas bangun. Belum lagi hilang rasa terkejut dengan
keputusan Dhia, dia dikejutkan lagi dengan tindakkan berani Mas. Iqram cuba
menahan Mas. Suri yang menjadi pemerhati
dari tadi, turut masuk campur
Pang!!! Satu tamparan singgah di
pipi Mas. `Ambik kau!’ cemuh Suri dalam hatinya. Meluat dia melihat perempuan gedik itu.
``Mas…’’ Iqram memandang Dhia.
``Kau! Dengar sini. Kau boleh ambil jantan tak guna ni. Aku tak ingin pun! Dan kau Iqram. Nah! Ambik balik kau punya cincin ni. Jangan kau tunjukkan muka kau depan aku lagi.’’ Dhia mencampakkan cincin pertunangan mereka
tepat ke muka Iqram. Hatinya bergelegak
menahan taufan angin monsun ini.
``Dhia! Dhia! Dhia!’’ berulang kali Iqram memanggil. Dhia berlalu tanpa berpaling. Iqram terduduk.
Azan subuh yang berkumandang
mengejutkan Dhia dari lamunanya yang panjang.
Air matanya menitis laju. Kenapa
dia di uji di saat dia mula mengawal marah ini?
Rasa sakit hati masih bersisa.
Dengan wuduk yang masih ada Dhia mengerjakan solat sunat subuh dan solat
fardu subuh.
*****
``Dhia… kamu ok ke ni?’’ Puan Ana bertanya. Kasihan dia melimpah dengan apa yang menimpa
anak daranya itu. Sampai hati Iqram
menipu Dhia. Memang lelaki itu tidak
menunjukkan mukanya di hadapan Dhia.
Muncullah kalau berani. Tiada
siapa yang mampu menjangka apa yang akan dilakukan Dhia jika berjumpa dengan
Iqram.
Dhia pernah memaki hamun jiran
sebelah kerana menabur fitnah pada dia.
Habis pasu bunga rumah jiran itu dipecahkannya. Mujur saja bukan kepala Mak Senah itu
dipecahkan sama. Memang mujurlah sebab
papa Dhia sempat tahan. Kalau tidak,
mungkin dah jadi `arwah’ Mak Senah.
Sampai sekarang Mak Senah tidak berani masuk campur hal Dhia. Sebut nama Dhia pun tidak pernah.
``Dhia ok lah mama. Jangan risau.
Selagi mamat tu tak tunjukkan mukanya dia depan Dhia, Dhia ok.’’ Dhia memeluk lengan mamanya. Nak bermanja lagaknya. Puan Ana mengusap lembut ubun-ubun anaknya.
``Dhia.’’ Lembut Puan Ana memanggil nama Dhia.
``Ya mamaku sayang…’’ meleret-leret
suara Dhia menyahut panggilan mamanya.
Senyuman manis dihadiahkan buat insan yang telam banyak berbudi
dengannya itu. Menjaga dan mendidiknya
dari kecil.
``Apa kata kita pergi melancong,’’
usul Puan Ana.
``Ke mana?’’ Dhia bertanya, teruja.
`` Makkah.’’ Hanya itu saja nama tempat yang terpahat
dalam kepala Puan Ana.
``Nak-nak… tapi kenapa tak buat
umrah saja,’’ tanya Dhia lagi.
``Umrah kan dah buat. Haji pun sama. Kali ni kita pergi untuk jelajah seluruh
ceruk Makkah dan Madinah. Boleh?’’ Puan Ana bertanya persetujuan Dhia lagi.
``Ok. Papa ikut juga?’’ memang tempat itu yang amat diidami
Dhia. Bila berada di Tanah Haram hatinya
tenang. Terasa ingin saja berada di sana
untuk seumur hidupnya.
``Mestilah. Nanti mati beragam papa kamu kalau tinggal
sorang-sorang kat rumah.’’ Puan Ana tersenyum.
Dhia senyum juga. Gembira hatinya dengan kebahagian yang
ditunjukkan mama papanya. Ingin sekali
hatinya mendambakan keluarga bahagia seperti ini. Makin berumur makin romantik. Ada juga ketikanya mereka bertikam lidah tapi
papa bijak menyelesaikan masalah mereka.
Mama pula seorang yang mudah
bertolak ansur. Lembut tapi tegas. Papa pandai melembutkan hati mama. Sikap romantik papa barangkali yang mampu
mencairkan hati mama. Dhia tersenyum
sendiri memikir sikap romantik papanya.
Manalah nak cari lelaki yang seakan papanya. Paling utama mampu menjadi imam solatnya dan
mampu menjadi tulang belakang untuk dia menjadi wanita solehah.
``Aik… anak dara mama ni menungkan
siapa agaknya.’’ Puan Ana mencuit hidung
Dhia.
Dhia tergelak. ``Mana ada menungkan siapa.’’
Dhia merenung Kaabah yang indah di
matanya. Dapat menunaikan solat di Masjidil
Haram melahirkan kebahagian yang sukar digambarkan. Terasa seolah-olah DIA dekat dengannya.
Sedang dia meneliti setiap seni bina
masjid itu, Dhia di sapa seseorang.
``Assalamualaikum.’’
``Waalaikummusalam,’’ jawab Dhia.
``Saya Fikri. Awak?’’
Fikri memperkenalkan.
``Saya Dhia.’’ Malu pula Dhia bila di sapa jejaka handsome
ni. Memang handsome betul. Kulitnya putih mulus. Wajah bujur sireh. Bila senyum terserlah lesung pipit Fikri.
``Seorang kat sini?’’ tanya Fikri lagi. Sudah dua tiga hari dia nampak Dhia ulang
alik ke Masjidil Haram. Hatinya terasa
terpanggil untuk menegur gadis cantik molek itu.
``Eh, taklah. Dengan mama dan
papa. Tapi diaorang stay kat
hotel,’’ jelas Dhia.
Perkenalan secara kebetulan berlarutan. Fikri seorang pelajar yang menyambung
pangajian di Makkah. Belajar ilmu agama
dengan para guru mursyid yang masih tinggal beberapa kerat saja. Sudah ramai yang kembali bertemu penciptaNYA.
Tanpa di duga perkenalan yang baru
melewati usia dua minggu itu, melahirkan rasa cinta di hati masing-masing.
Semua itu tidak mustahil jika Allah yang mengkehendakinya. Allah mampu membolak balikkan hati
manusia-manusia mengikut aturanNYA.
Petang itu Fikri nekad untuk melamar
Dhia. Dia tidak mahu menangguhkan suatu
yang baik. Lagi pula kalau selalu
bersama Dhia tanpa ikatan akan menimbulkan fitnah orang ramai. Jika Dhia menolak lamarannya, maka dia akan
menjauhkan dirinya dari gadis itu.
Dhia mendekati Fikri yang sedang
menunggu di kaki lima Masjidil Haram.
``Assalamualaikum. Maaf, lambat sikit.’’ Dhia memohon kemaafan atas kelewatannya.
``Waalaikummusalam. Takpe, saya pun baru sampai.’’ Fikri membalas senyuman Dhia. Wajah ini yang sering menganggu malam sejak
dua menjak ini. Solat istikharah telah
dilakukan, firasat yang diilhamkan ALLAH adalah Dhia.
``Dhia…’’ Fikri berhenti seketika. Mengumpul kekuatan
untuk meluahkan apa yang terpendam.
``Ya.’’ Dhia menanti dengan sabar. Debaran berombak kasar di dadanya.
``Dengan lafaz bismillah, saya ingin
melamar awak menjadi suri hidup saya.
Saya tak tahu bagaimana perasaan ini terlahir tapi ia datang kerana
Allah. Dan saya ingin kekalkan cinta ini
kerana Allah dengan melafazkan ijab keatas awak. Sudikah awak terima lamaran saya ini?’’ Fikri menghelakan nafas lega. Akhirnya dapat juga dia meluahkan apa yang
terbuku di hati. Kini hanya menunggu
keputusan dari Dhia. Fikri redha jika
Dhia menolak cintanya.
Dhia memejamkan mata sejurus selesai
Fikri berbicara. Menyusun kata yang terbaik.
``Dengan lafaz bismillah juga, saya
Dhia Ariani menerima huluran cinta Mohd Fikri kerana Allah.’’
Fikri melafazkan syukur. Senaskah Al-quran di hulurkan kepada
Dhia. ``Terimalah Al-quran ini sebagai
tanda Dhia milik Fik.’’
Dhia menyambut pemberian Fikri
dengan linangan air mata. Jika orang
lain melamar dengan cincin, Dhia lebih bahagia dirinya dirinya dilamar dengan
Al-quran yang Agung. Dengan harapan
perhubungan yang bakal di bina ini akan dirahmati DIA. Siapa menjangka jodoh Dhia berada di Masjidil Haram.
No comments:
Post a Comment