Monday, August 15, 2016

menggapai sirna


Menggapai Sirna

 

                                Bahagian 1

 

 

            Aku panggung kepala atas meja. Membuang pandang ke dalam pekat malam. Sepekat ruang dihati aku tika ini. Penat memanggung kepala aku sandar di belakang kerusi. Mata aku dongak ke langit. Kali ini mata aku membelah dada langit yang indah berteman bintang. Walau tanpa bulan langit masih ceria disinari bintang.

            Untung kau langit hilang bulan berteman bintang. Hilang bulan dan bintang di siang hari kau bertemankan matahari. Bukan macam aku, hilang tidak akan berganti. Hidup aku yang kosong terus kosong wal hal sudah sehabis daya aku berusaha mengisinya. Mungkin tiada ruang untuk aku di dunia ini untuk merasa terisi. Usahkan sekelumit secebis pun susah.

            Keluhan aku lepaskan. Begitu sekalikah malangnya hidup aku ni. Apa yang aku harapkan tidak menjadi milik aku. Iyer, aku tahu… Allah tidak memberi apa yang kita perlu kerana dia lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-NYA. Namun apa yang aku inginkan ini bukan luar biasa kehendaknya. Tapi satu rasa asas sebagai manusia. Sebagai makhluk yang punya hati dan perasaan. Tapi kenapa? Kenapa aku dilayan bagaikan aku ni patung? Bagaikan hati aku ranting yang bisa dipatahkan sesuka hati.

            Aku tidak menyalahkan takdir. Hmm… Betul ke aku tak menyalahkan takdir? Ah! Tipulah aku tidak pernah menyalahkan takdir. Sejujurnya, ketika perit itu terlalu menghimpit memang aku salahkan takdir. Hidup yang kucar kacir, dibelenggu kedengkian tapi aku hairan aku masih mampu berdiri. Dalam luka yang parah.

            Aku raup muka. Allah! Kenapa hati aku mengungkit semua ini? Kerana peristiwa tu? Duhai hati kenapa kau tak mampu move on? Itu bukan kali pertama hati kau dilukai. Dipersiakan. Bukan kali pertama mahu pun kedua, tapi sudah berkali. Sepatutnya kau sudah lali duhai hati, lepaskanlah. Aku memujuk hati sendiri. Lazimnya begitulah. Siapa lagi yang aku harapkan untuk memujuk diri aku yang terluka ini melainkan diri aku sendiri.

            ``Woi! Kau buat apa kat luar ni?’’

            Aku angkat kepala memandang suara yang amat aku kenali tu. Suara siapa lagi kalau bukan teman baik aku. Mahani! Sahabat yang memahami aku lebih dari keluarga aku sendiri. Malah lebih dari aku sendiri. Tak percaya? Hahaha… Sebetulnya aku sendiri pun tidak faham akan diri aku ni. Baik atau jahat?

            ``Takde apalah. Saja tengok bintang. Indah.’’ Kaki aku angkat melunjur atas meja. Aku nampak Mahani menggeleng namun aku buat tak endah. Aku tahu dia tidak percaya dengan alasan aku tadi. Iyer, kalau dah dia lebih memahami dan mengenali aku, tipulah macam mana pun dia boleh tahu.

            ``Kau tak payah nak beralasan dengan aku. Bagitahu apa yang menganggu kau?’’

            Aku pejam mata. Ah! Aku tak cukup kuat hendak ceritakan semua. Luka tu masih merah. Luka yang lama ditindan dengan luka yang baru, apa lagi aku mampu lakukan? Tolonglah jangan desak aku Mahani. Aku tak mahu air mata ini mengalir lagi. Cukuplah! Aku dah penat merintih. Merayu.

            ``Dania, kau…’’

            ``Aku masuk dulu Ani. Selamat malam.’’ Aku bangkit dari kerusi. Mungkin lama lagi aku disitu, makin goyah hati aku.

            ``Jangan lari dari masalah Dania.’’

            Kaki aku terhenti. Lari dari masalah? Pernah  ke aku lari? Pernah ke?

            ``Aku tak pernah lari dari masalah Ani. Cuma aku dah penat. Terlalu penat untuk menanggung perit ni. Kau tak tahu apa yang aku alami Ani. Kesakitan di hati ini, tidak pernah pudar. Tapi aku pilih untuk simpan didalam ni. Biar selamanya disini. Bibir aku, aku ukirkan senyuman walaupun hati aku parah. Tapi hakikatnya aku hanya manusia biasa Ani. Aku punya hati yang bisa sakit bila dilukai lagi. Mungkin mereka lakukan tanpa sengaja, luka tetap luka.’’ Aku menahan pedih di hati. Mata yang panas aku tahan sedayanya.

            Aku rasa tangan aku hangat. Sentuhan seorang sahabat menghangatkan tangan dan hati aku. Allah! Kenapa kehangatan ini tidak aku miliki dari keluarga aku? Kenapa?

            ``Lepaskan apa yang terbuku dihati kau. Aku ada untuk dengar luahan kau.’’

            Aku diam. Aku dengah keluhan yang terbit dari bibir Mahani. Dan aku tahu kenapa keluhan itu terbit. Tidak lain kerana kedegilan aku untuk menyimpan kesakitan ini.

            ``Dania, jangan kau pendam. Lagi kau pendam lagi menyakitkan.’’

            Mahani masih memujuk aku. Aku terduduk. Air mata menitis sedikit demi sedikit. Aku kalah jugak untuk kesekian kalinya.

            ``Kenapa episode hidup aku tidak sebahagia insan lain Ani? Aku punya keluarga, keluarga yang besar tapi kenapa aku rasa sendiri? Aku merasakan aku tersisih tapi kenapa mereka masih dengki dengan aku. Masih menganggap aku merampas bahagia mereka. Mengukur aku jahat kerana sikap lepas bebas aku. Aku senyum Ani namun jauh di sudut hati aku… Aku menangis. Merintih. Aku…’’ Air mata aku makin laju menuruni pipi aku.

            Aku tunduk. Pelukan Mahani yang kemas melingkari bahu, aku biarkan. Sesungguhnya aku amat perlukan itu. Sadis sungguh hidup aku. Orang luar lebih rela meminjamkan bahunya sedangkan keluarga aku… Hmmm… Inilah hidup aku. Nak dibangga? Entahla…

            ``Kau kena kuat Dania. Aku tahu kau kuat. Aku tahu kau mampu hadapi semua ni. Jangan menyerah! Aku ada bersama kau.’’

            Mendengar pujukan Mahani hati aku makin lirih. Inilah kata-kata yang aku harapkan akan keluar dari bibir tua ayah aku. Kata-kata ini lah yang aku harapkan keluar dari bibir lancang adik beradik aku. Hanya kata-kata ini… Ternyata sukar. Apa yang aku terima kebaikan yang dalamnya tersimpan seribu rasa yang aku tidak mengerti. Yang pasti bukan rasa yang baik. Itu aku yakin! Kenapa aku yakin? Jangan tanya. Kerana aku yang alaminya.

            ``Kuatkah aku Ani? Sejak dari aku kenal dunia, hinggalah aku dah terlampau mengenali dunia, layanan masih sama. Layanan yang memberikan rasa kasih, sungguh jauh untuk aku rasa. Mungkin salah aku jugak. Aku meminta dengan-Nya, kebahagian hanya sekali. Dan aku merasakan hanya sedetik. Rupanya aku silap, aku manusia bisa jadi tamak.’’

            Memang aku merasa tamak. Sebab aku sudah lama ketandusan kasih seorang ayah. Prihatin seorang kakak. Perlindungan seorang abang. Rindukan belaian manja seorang ibu.

            Arghhh!!! Kenapa aku Ya Allah? Kenapa aku? sememangnya bahagia itu haramkah menjengah hidup aku? tidak layakkah aku mendapat kasih sayang seorang ayah. Kasih ibu? Memang tidak akan mampu aku gapai sudah. Kembalinya dia kepada pencipta mengheret aku ke kancah penyesalan yang tiada tepi. Kerana itu aku menagih rasa kasih dari mereka yang masih ada, hmmm… Hanya kelukaan yang aku dapat. Kelukaan yang tiada tepi.

            Aku kesat air mata. Pelukkan Mahani aku leraikan. Duduk juga aku betulkan. Nafas aku tarik dalam sebelum menghembus. Seolah aku menarik segala kedukaan dan aku humbang ke dasar paling dalam sebelum melepaskan bayangnya.

            ``Salahkah aku lahir dikalangan mereka Ani? Aku dituduh liar. Aku dilarang bergaul dengan anak buah aku kerana ditakuti menpengaruhinya. Hahaha… sejahat itu aku dimata saudara mara aku Ani? Dan aku… di mata ayah aku… Itu lebih memeritkan Ani. Aku anak dia Ani. Dari air mani dia. Darah dia yang mengalir dalam tubuh aku ni. Tapi kenapa? Kenapa kasih dia tak sama Ani. Begini aku kerana dia. Apa yang aku lakukan hanya inginkan sedikit perhatian darinya.

            Aku selalu disajikan dengan cerita, bahawa aku anak kesayanganya. Huh! dimana bukti aku anak kesayanganya? Kalau dengan memberi aku kebendaan itu bukti kasih sayang dia, aku tak nak Ani. Aku tak nak! Aku hanya nak kasih sayang dia yang sampai ke hati aku. Hati aku masih tak mampu merasa dan aku tak pernah merungut. Kau tahu, 26 tahun aku hidup… Tidak pernah sekali pun aku merungut pada dia. Tapi dia tetap tak nampak. Hahaha…lawakkan hidup aku.’’ Aku sapu kasar air mata yang derhaka. Lagi aku tahan lagi laju ia mengalir.

            Aku pandang Mahani. Aku nampak air mata mengalir dipipinya. Mungkin dia merasa sedih dengar luahan hati aku. Aku tepuk bahu Mahani. Senyuman semanisnya cuba aku ukirkan buatnya.

            ``Dah laa… Lupakan apa yang aku cakap tadi. Jom kita masuk.’’ Aku tarik tangan Mahani supaya mengikuti aku. Malam kian berlabuh larut. Embun jantan juga mula menghadirkan diri. Nanti tak pasal-pasal kita orang jatuh sakit pula sebab berembun. Cukup-cukuplah berdrama ditengah laman. Nanti ada pula gosip. Hidup berjiran beginilah.

           

 

No comments: