Wednesday, July 31, 2019

H.U.D

Bab 2

  Asma’ lempar dulang atas meja kaunter. Panas hati dengan adegan yang dia lihat tadi. Tidak adakah rasa malu di antara keduanya? Bercumbuan di khalayak ramai! Ikutkan hati hendak saja dia simbah dua makhluk tadi dengan air coke. Memikirkan ini tempat dia mencari rezeki ditahan amukan hati.
``Kau kenapa ni?’’ tegur Azyan.
``Tu… Kau tengok tu. Sakit mata aku ni tahu!’’ muncung Asma’ di hala ke arah Hud dan pasanganya.
Azyan ketawa.  ``Macamlah kau tak biasa tengok. Memang itulah tujuan dia orang datang sini. Enjoy dan enjoy,’’ jelas Azyan. Tak faham dengan sikap Asma’. Nak kata baru kerja tapi dah dua minggu di sini. Takkanlah masih malu lagi? Atau ada sesuatu yang dia tidak tahu? Bukan dia tidak perasan, adakalanya mata kecil Asma’ akan mencuri pandang Hud setiap kali lelaki itu datang ke sini. Dan setiap kali itulah, wajah Asma’ akan hilang seri dan pandangan mata sahabatnya itu bagaikan satu kesalan melihat Hud begitu. Agak-agak kenapa ek? Mahu tanya pada tuan empunya badan dia masih tidak berkesempatan.
Hud? siapa tidak kenal lelaki kacak itu. Memiliki aura yang buatkan mata tidak akan mengalih dari memandangnya. Susuk tubuh yang tegap, serta bentuk wajah Hud yang bujur; rahang terbentuk elok. Mata yang redup, tajam tapi memikat. Kening yang tidak tebal. Ditambah pula hidung yang mancung. Bibir? Bibir nipis Hud membuatkan setiap memandang mahu menyentuh bibir merah itu. Bukankah itu satu gambaran sempurna bagi seorang Hud?
``Yer la, enjoy… enjoy juga. Dibuatnya tengah bercemolot tu Allah ambil nyawa, haaa… Tak ke niaya aje? Mati sebelum bertaubat!’’ selar Asma’. Geram! Ini bukanlah kali pertama dia melihat adegan seperti itu. Malah, bukan lelaki itu saja yang berkelakuan seperti ini, hampir kesemua pengunjung kelab ini begitu. Tidak kira umur! Tua… yang kubur dah panggil kembali pun tetap mengunjungi tempat jahanam ini.
Azyan senyum senget. ``As, jangan kata orang. kita ni… Kalau tengah angkat gelas arak ni, Allah tarik nyawa… kau rasa kita mati dalam iman ke? arak ni dosanya bukan hanya mereka yang meneguk tapi yang menjualnya pun berdosa!’’ tempelak Azyan. Bukan mahu menunjuk alim tapi menyedarkan sahabatnya itu bahawa mereka juga sama seperti pengunjung kelab ini.
Asma’ diam. Pegun. Apa yang dikatakan Azyan itu betul, tepat mengena hatinya. Dia terlupa yang dia juga sama. Kerana mahu mencari rezeki, dia sanggup bekerja sebagai pelayan di kelab ini sedangkan dia sendiri sedar bahawa ini semua salah. Niat tidak menghalalkan cara! Astaghfirullah, siapa dia hendak persoalkan apa yang dilakukan lelaki itu? Bukan sesiapa pun dengan dia. Dosa pahala pun masing-masing yang tanggung.
Dia melangkah ke bahagian belakang. Baju seragam kerja dia buka berganti baju lain. Waktu kerja dia sudah tamat. Rasanya selepas ini dia harus pertimbangkan balik untuk terus kerja di sini. Rezeki yang dicari dengan cara yang tidak halal, maka hasilnya juga tidak halal. Apakah dengan duit yang tidak halal dia mahu membayar hutang orang tuanya?
``Kau nak balik dah?’’ tegur Azyan lagi.
``Ya. Waktu kerja aku pun dah habis ni. Lagi pun kau tahukan, pagi esok aku shift aku kerja kat seven eleven tu. Kalau aku balik sekarang sempatlah lelapkan mata sejam dua.’’ Ujar Asma’ bersama senyum tawar.
Azyan tepuk dahi. Baru dia teringat yang Asma’ banyak lakukan kerja part time! Sahabatnya ini bukan tidak ada ijazah, ada! Tapi sudah banyak kerja yang di pohon namun masih belum menjadi jodoh rezekinya. Sekarang untuk bayar hutang PTPTN dia perlu lakukan apa saja kerja. Mak ayah dah lama tiada. Dia anak tunggal. Susah senang dia sendiri yang tanggung.
``Hati-hati balik tu,’’ pesan Azyan. Mereka tinggal serumah. Tapi jadual kerja mereka tak sama. Kadang selisih jalan, seorang keluar; seorang balik rumah.
``Ya, bye.’’ Dia melangkah keluar ikut pintu belakang. Gila dia hendak keluar ikut pintu depan. Jelik mata dia melihat aksi lepas bebas pasangan-pasangan kat dalam tu.
Beg silang ditarik kemas. Dia pandang kiri kanan, kawasan belakang kelab ini juga sama meriah seperti di dalam; ada kumpulan merokok tidak kurang juga yang melakukan projek terlarang. Nafas berat dilepaskan. Entah sampai bila dia harus kerja sebagai pelayan di kelab ini? dia sudah rasa muak melihat aksi-aksi melampau manusia-manusia ini. Lemas malah bahunya terasa sangat berat. Dia melihat kemungkaran namun dia tidak dapat menegurnya, bagaikan dia juga turut bersubahat. Untuk menegur dengan hati, dia sendiri sedang melakukan dosa. Menjadi pelayan menghidangkan arak, satu dosa! Keluhan berat dilepaskan.
Tambahan pula, dia terpaksa mengorbankan tudung yang menjadi pakaianya. Rasa berdosa mendedahkan aurat tidak pernah tinggalkanya, menghantui dirinya bagaikan bayang-bayang. Rasa bersalah pada arwah orang tuanya kian menebal.
Kaki yang berat diangkat gontai meninggalkan lorong yang kelam ini. Ya Allah, kenapa aku masih belum beroleh pekerjaan yang lebih baik? Aku mahu mencari rezekiMU yang halal bukan yang begini. Aku bimbang hilang keberkatan dalam rezekiku. Sedang kepala melayang memikirkan nasib diri tiba-tiba tubuhnya dilanggar dari arah depan.

``Auch!’’ mujur dia sempat menyambar baju orang yang melanggarnya menahan dari dia terjatuh.

Prak! Bunyi seperti benda terkoyak.

Bulat mata Asma’ memandang belahan di bahagian depan baju tersebut. Menyerlahkan dada bidang si pelanggarnya. Kalau ikutkan ukuran dada ini mesti… Lelaki! Oh my! Makin luas mata Asma’ mengenang hakikat itu. Perlahan-lahan dia angkat matanya memandang susuk di hadapanya ini.

``Awak!’’ naik seoktaf nada Asma’. Laju tanganya melepaskan pegangan tadi.
Hud pegun. Matanya memandang gadis di hadapanya. Bukankah ini gadis yang sama tadi? Pelayan di kelab ni? Matanya tajam menikam anak mata si gadis yang kelihatan kalut.

``Err, saya minta maaf sebab koyakkan baju awak. Hmm… Nanti dapat gaji saya ganti baru. Maaf!’’ pinta Asma’ laju. Hanya itu yang terlintas dalam kepalanya ketika ini. Jantung sudah tidak keruan melihat pandangan tajam lelaki itu. Kenapa hati aku ni?

``Saya Hud. Nama awak?’’ soal Hud tanpa hiraukan apa yang dikatakan gadis tadi. Gadis cantik depan mata; senyum nakal Hud terbit.

``Hah?’’
``Saya tanya nama awak, apa?’’ soal Hud lagi.
``Untuk apa?’’ soal Asma’ pula.
``For this,’’ Hud tarik bajunya yang koyak.

``Ooo, takpe. Saya kerja kat sini. Saya pun tahu awak pelanggan tetap sini. Jadi, jangan risau. Saya takkan tipu. Awak akan jumpa saya setiap masa kat sini. Maaf, saya minta diri dulu,’’ ujar Asma’. Laju dia mengatur langkah meninggalkan Hud. Panggilan lelaki itu dibiarkan begitu saja.

Bukan mahu mengelak tapi hatinya! Entah kenapa melihat renungan tajam lelaki itu hatinya bergetar. Gila! Kau dah gila Asma’.
Hud hanya memerhatikan langkah tergesa-gesa si gadis itu dengan muka bingung.  Setelah jauh susuk tubuh itu menghilang dia melangkah ke keretanya. Melihat pada keadaan bajunya ketika ini, lebih baik dia balik ke rumah saja. Gila nak masuk kelab tu balik dengan baju rabak begini.

No comments: