BAB 1
Kerusi
ditarik lalu dia labuhkan duduk. Peluh hangat membasahi dahi, pasti juga
bajunya. Dari site dia ke restoran ni sebab dah berjanji dengan Johan. Ikutkan
hati dia nak balik rumah saja, mahu mandi dan tukar baju lain. Sungguhlah,
sejak kebelakangan ini cuaca di Malaysia sangat panas. Apakah disebabkan pencemaran
udara yang menyebabkan lapisan ozon kian menipis atau… dosa isi bumi yang
semakin membebankan bumi.
Auch! Itu tipikal sangat Ikhwan.
Sikit-sikit kaitkan dengan dosa. Mana ada manusia yang mahu percaya hakikat apa
yang sedang terjadi pada dunia kini akibat dari perbuatan manusia itu sendiri.
Desis hatinya. Dia angkat tangan menggamit pramusaji. Anak tekak yang perit
perlu dibasahkan dengan air.
“Ya, encik. Nak makan apa?”
“Saya
nak pesan tea o ais limau satu. Makan sekejap lagilah.” Ujarnya dengan senyum
manis. Dia memang belum rasa mahu makan, hanya tekaknya saja yang kekeringan dek
dahaga yang melampau. Matanya meliar sekeliling restoran, ruang restoran
semakin di penuhi orang. Jam di pergelangan tangan diintai, patutlah. Sudah
sampai waktu makan tengah hari. Dan kelibat Johan masih belum kelihatan. Tadi
bukan main lagi si teman menggesa dia supaya cepat. Ingatkan dah siap menunggu
dia kat sini.
Sementara
menunggu Johan sampai dia membuka fail yang dibawa bersama tadi. Bunyi kerusi
ditarik dengan kasar di belakang menganggu pembacaanya namun tidak pula dia
menoleh. Apa lagi yang boleh dia buat? Takkanlah nak marah hanya kerana orang
belakang tarik kerusi kuat sehingga menganggu pembacaan dia. Sudah namanya
restoran tempat makan, haruslah begitu resminya.
“Air encik.”
“Terima kasih.” Masih seperti tadi
senyum manis masih meniti di bibir.
“Kau dah kenapa Balqis?”
Mendengar soalan itu tubuhnya terus
tegak. Bukan mahu mencuri dengar tapi nada yang bertanya tadi menarik
perhatian. Orang perempuan kalau bersembang mana nak pandang depan belakang
dah. Kalau teruja lagilah, suara tu takkan perlahan. Kalau tidak ada yang
menegur memang mereka takkan perasan.
“Apa?”
“Yer la, aku tengok kau bengang
sangat dengan kes Yaya tauke kek bulan tu kenapa? Bukan laki kau pun kan.” Ainatul ketawa kecil. Lucu dengan tingkah
Balqis. Dari pejabat tadi lagi Balqis membebel tak puas hati. Serupa yang
curang itu suami dia pula.
“Memanglah
bukan laki aku. Tapi sebagai perempuan aku turut rasakan apa yang isteri
pertama dia rasakan. Apa kau rasa kalau kawan baik kau sendiri tikam belakang
kau macam tu? Tapi yang paling aku tak boleh nak terima, kenapa asal masuk bab
poligami saja ‘suami-suami’ ni akan guna alasan ikut sunnah Nabi.” Geram
sungguh Balqis rasa. Baru sejuk kisah Daie yang buat onar ceraikan isteri masa
mengandung datang pula isu macam ini. Siapa yang salah? Haruslah perempuan yang
disalahkan.
Tak pandai jaga suamilah. Tak pandai
jaga badanlah. Hey, kalau dah dapat isteri yang cantik, cergas di dapur, subur
dalam berikan zuriat tapi tetap juga curang. Masih salah isteri ke? Itu yang
buat dia berangin sangat. Dapat isteri serba serbi sempurna sebagai seorang isteri,
tetapi juga sibuk makan luar. Apa yang seorang suami mahukan yang sebenarnya?
“Dah dapat isteri yang cantik, dapat
lahirkan zuriat, apa lagi kau suami mahukan? Tak hebat diranjang? Kalau dia
hebat sangat ajarlah isteri tu macam nak jadi hebat di ranjang. Bukan main
berdegar komplain sana sini tapi tunjuk ajar tak diberikan.” Bentak Balqis
sepenuh hati. Berkerut-kerut muka dia menahan geram.
Ainatul mengekek ketawa. Dia ni
kalau tengah marah mulut tu boleh tahan juga. Tapi dia pun setuju dengan apa
yang dikatakan oleh Balqis. Isu poligami bukan lagi isu baru malah sudah jadi
isu taboo, lagi pula memang dalam islam tak menghalangkan poligami. Cumanya,
cara mereka manusia yang bergelar lelaki memperlakukan hukum poligami sesuka
hati mereka menjadi hal yang halal di sisi agama haram di sisi pandangan
wanita. Pantang dicuit dengan hal poligami, perempuan boleh bertukar jadi
raksasa yang menakutkan.
“Ehem.”
Deheman itu menarik fokus Ainatul
dan Balqis. Serta merta wajah Balqis memerah manakala Ainatul sengih lucu.
Semangat sangat meluah perasaan sampaikan tak perasan pramusaji dah ada di
sebelah.
“Mmm, cik berdua nak order sekarang
atau nak habiskan diskusi… di ranjang?” teragak-agak pramusaji lelaki itu
bertanya.
Uhuk! Uhuk! Tersembur air Ikhwan
mendengar soalan si pramusaji. Sinis sangat tu dik! Dia boleh bayangkan wajah dua
gadis tu. Pasti mata menjeling dengan muncung sedepa. Tipikal perempuan kalau
tak puas hati.
Balqis menjeling tapi bukan kepada
pramusaji tetapi kepada lelaki di belakangnya ini. Mesti lelaki ini curi dengar
perbualan dia tadi. Dia hanya biarkan Ainatul membuat pesanan. Hati dia masih
hangat lagi dengan kisah curang. Kenapalah lelaki atau perempuan sekarang sukar
untuk setia? Apa yang mereka cari sebenarnya dalam perhubungan ini? Mengapa
perlu berdua andai mahu berskandal? Bukan hanya menjemput dosa malah mengurung
adab sopan melayu; etika peradaban moral.
“Mesti dia dengarkan?” ujar Ainatul perlahan
turut menjeling ke belakang.
Ikhwan tegakkan tubuh. Bukan dia tak
dengar soalan gadis itu. Namun dia hanya duduk santai seolah dia tidak
melakukan kesalahan langsung. Bagaikan dua gadis di belakangnya ini tidak
wujud.
“Entah. Tapi kalau dia dengar pun
elok juga, biar dia sedar apa yang kaum dia buat kepada perempuan.” Cemuh
Balqis masih bernada geram.
“Dah la tu. Kau ni pun, cuba jangan
emosional sangat. Itukan hal mereka. Bukan hal kau yang perlu kau risaukan.
Atau kau memang berangan nak tubuh persatuan isteri di madukan secara paksa.”
Mengekek tawa Ainatul melihat wajah cemberut Balqis.
“Huh! Ada juga yang bakar
hidup-hidup nanti.” Bengang! Sakit hati dia melihat senyuman Ainatul. Macam
manalah Ainatul boleh optimis begini. Dia juga mahu begitu tapi setiap kali itu
jugalah, asalkan isu curang ni masuk telinga dia, berasaplah dia.
“Kau ni…” Ainatul geleng kepala.
“Kita tak duduk tempat dia orang, kita tak tahu apa yang sebenarnya terjadi.
Kau hanya baca apa yang di viralkan.” Celah Ainatul memberikan pendapatnya.
“Jadi kau nak kata yang isteri
pertama menipulah!” soal Balqis tak puas hati.
“Bukan begitu. Setiap apa yang
terjadi itu pasti ada sebabnya. Dan sebab itu boleh dicipta. Aku cuma tak mahu
kau terlalu ikutkan perasaan. Takut nanti, kalau ada sikit salah kesilapan
dalam info yang diviralkan itu, akan jatuh fitnah.” Jelas Ainatul akan
pendirianya.
Balqis
diam. Ada betul juga apa yang dikatakan oleh Ainatul. Kenapalah dia boleh
beremosi sangat?
“Qis,
kalau suatu hari nanti kau diuji dengan hal sebegini apa yang kau akan buat?”
soal Ainatul tiba-tiba. Tidak ada sebarang niat, sekadar bertanya sahaja.
Memandangkan begini sekali penerimaan Balqis tentang poligami, Ainatul
terpanggil untuk bertanya.
Kali ini soalan gadis itu menarik
minat Ikhwan sepenuhnya. Dia mahu tahu apa jawapan gadis yang seorang lagi.
Entah kenapa dia teringin mahu tahu.
“Aku sunatkan dia sekali lagi. Tak
pun potong terus!” tukas Balqis keras.
Uhuk! Sekali lagi Ikhwan tersedak.
Cuma kali ini lebih keras dari tadi. Tanpa sedar juga tangan sudah naik menutup
asetnya. Bagaikan terasa-rasa ngilu. Aisy! Yang kau nak takut kenapa Ikhwan?
Bukanya kau kenal perempuan ni pun.
Eh, kuat pula batuk orang belakang
ni. Ni sahih menguping perbualan aku dengan Ainatul ni. Tubuh di bawa berpusing
ke belakang. “Hey, awak.” Panggilnya.
Ikhwan tarik nafas dalam. Fail di
tangan dia letak atas meja. Setelah tenang dia pusing ke belakang, sepasang
matanya terpanar menatap seraut wajah yang manis bertudung. Bibir halus dan
keningnya juga halus. Hidung yang sedikit mancung lagi tirus. Eh, kenapa semua
benda yang ada pada wajah gadis ini halus dan tirus? Yang kau pula sempat lagi
meneliti rupa dia?
“Ehem!” dehem Balqis keras.
“Erk, ya. Cik panggil saya?”
soalnya.
“Ya. Awak curi dengar perbualan kami
ek?” tuduh Balqis.
Terkelip-kelip sepasang mata Ikhwan.
Raut wajah dipasangkan riak polos dan pantas pula bertukar riak nakal. “Kalau
awak bercakap tu dengan niat nak seisi restoran ni dengar, jangan salahkan saya
kalau saya terr… terdengar ya Cik Balqis.” Sinis Ikhwan.
Balqis kertap bibir. Mana mamat ni
tahu nama dia ni? Maknanya memang betul mamat ni curi dengar perbualan dia
dengan Ainatul.
“Lagi satu, soal jodoh, ajal maut
tu, kerja Allah. Siapa kita mahu menghalang. Berkahwin satu atau lebih, itu
juga aturan Allah.”
“Eleh, lelaki…”
“Haa, jangan menyampuk! Saya belum
habis cakap lagi.” Tukas Ikhwan. Memang tabiat orang perempuan kali, suka
sangat pintas percakapan orang.
Balqis merengus geram. Ainatul tahan
diri dari ketawa. Rasanya Balqis sudah bertemu buku dan ruas.
“Apa yang saya cakapkan tadi ada
tapinya. Setiap pemberian Allah, bukan sekadar suka-suka melainkan ia sebuah
ujian. Kaya, miskin, cantik, hodoh, semua itu bentuk ujian yang Allah turunkan.
Ketika inilah, manusia itu akan dinilai sejauh mana iman mereka. Lelaki atau
perempuan, hanya satu bentuk jasad yang bertemankan roh yang di dalamnya di isi
dengan nafsu. Nafsu pula bagaikan segerombolan gajah yang perlu di benteng dan
dilawan.” Lama Ikhwan diam. Dia tahu si gadis masih tak mampu menangkap apa
yang dia cuba sampaikan. Jelas terlihat pada kerutan di dahi gadis itu dan dia
malas mahu menerangkan.
“Lagi satu, rupa dah cantik, akan
lebih cantik jika disulami dengan sabar. Jangan jadikan ‘perempuan mendahulukan
emosi dalam perbuatan mereka’ sebagai alasan skeptikal untuk awak menghukum
sesuatu hal. Perempuan ini uniknya mereka bukan hanya pada emosi, tapi akal
dan…” Ikhwan gantung bicara seketika. Pandangan matanya bertaut dengan gadis
yang dipanggil Balqis. Sinar mata gadis itu tidak terlalu terang tapi malap.
“Awak perempuan awak fikir sendirilah apa kelebihan perempuan. Allah dah
nyatakan dalam kitabullah.” Usai menyatakan itu Ikhwan kembali memusingkan
tubuhnya.
Begitu juga dengan Balqis. Dia kembali
memandang Ainatul. Pandanganya bertanya dalam bisu; bingung. Jelas Ainatul juga
tidak mengerti kerana si teman menjungkit bahu. Kepala ligat memikirkan apa
yang dikatakan lelaki itu.
“Argh!” jerit Balqis seraya membetulkan urat leher
yang terasa tegang. Sejak tadi dia sibuk menyiapkan audit lepas tu ditimpakan
pula dengan arahan mandatori Encik Nazmi supaya carikan kontraktor baru bagi
menyiapkan pembinaan Dewan Melur yang hendak digunakan hujung tahun nanti.
“Woi!
Kut ya pun penat janganlah menjerit. Hilang habis keayuan perempuan melayu.”
Selar Firdaus.
Balqis
mencebik. “Kau apa tahu? Aku punya stress nak siapkan audit dengan kepala
fikirkan kat mana aku nak cari kontraktor baru yang Encik Nazmi nak tu.”
“Oh
ya, sebut pasal tu. Aku ada kenal sorang kontraktor ni. Kau nak aku kenalkan
dengan kau?”
Tegak
terus tubuh Balqis. Mata yang layu tadi turut bersinar terang. Dah elok
sangatlah ni tawaran Firdaus. Tak perlulah dia pening kepala mencari lagi. “Mmm, tapi dia terima ke projek kecil ni? Kau
tahukan yang dewan tu dah 50% siap.” Itulah yang dia risaukan apabila Encik
Nazmi keluarkan arahan untuk dia carikan kontraktor baru. Ada ke kontraktor
yang nak sambung kerja terbengkalai orang lain. Lagi pula dewan saja pun kalau
perumahan haruslah ramai yang berebut nak.
Eii,
bila fikirkan kontraktor lama mahu saja dia cekik-cekik. Sudah berbaik hati
memberi bayaran 50%, dibuatnya kita macam ini pula. Macam mana nak menolong
bangsa melayu kalau asyik buat perangai tak senonoh?
“Aku
yakin dia akan terima. Dari yang aku tahu, dia orang tak pernah memilih projek
dan setakat ni syarikat mereka antara yang di cari sebab harga yang mereka
tawarkan lebih berpatutan dengan kualiti yang mereka gunakan. Senang cakap dia
orang memang utamakan kualiti dahulu dari wang.” Jelas Firdaus.
“Sakan
kau melobi. Syarikat kawan kau ke?”
Firdaus
ketawa. “Saudara jauh aku aje. Kau nak tak ni? Kalau nak aku boleh tolong
tanyakan.” Tawar Firdaus sekali lagi.
Lama
Balqis termenung sebelum dia angguk kepala. “Kalau dia free, aku nak
jumpa hari ni la. Lunch hour atau minum petang pun aku okay.” Putus
Balqis.
“Set.”
Firdaus capai telefon lalu mendail nombor saudaranya itu.
“Qis,
nanti dia set appointment. Aku dah pass nombor kau kat dia. Dia cakap
nanti setiausaha dia yang akan call kau.” Jelas Firdaus sebaik panggilan tadi
ditamatkan.
“Yes!
Thank you Fir. Fuh! Bolehla aku tidur lena malam ni.” Dua tanganya di
depang bebas. Memang dia rasa lega sekarang ini. Kurang satu masalah dalam
hidupnya.
Melihat
riaksi Balqis, Firdaus senyum. Dia sekadar angkat ibu jari menjawab kenyataan
gadis itu. Kemudian dia kembali fokus pada kerjanya. Hujung bulan memang waktu
yang sibuk buat mereka yang kerja di bahagian audit ni.

No comments:
Post a Comment