Wednesday, July 26, 2023

SANDIWARA ( CHAPTER 1 )


 


Bab 3

 

      Keluar dari bilik air dengan hanya berjubah mandi kaki di bawa melangkah keluar bilik. Pintu bilik Dinar diintai masih lagi tertutup kemas. Kaki aku kembali melangkah ke dapur. Pintu peti ais aku buka, satu tin coke aku bawa keluar. Pintu balkoni aku buka dan labuhkan duduk di buaian.

            Mata memanggung melihat langit yang semakin hilang sinar siang menandakan yang malam bakal menjelma. Apa yang aku harus lakukan sekarang ini? Betapa sunyinya hidup aku. Ketawa halus terbersit. Kau nak salahkan siapa Fa? Kau yang pilih jalan ini.

            Mommy! Papa! Agaknya sampai bila kita bertiga akan begini? Sampai bila kita akan terasing dalam dunia masing-masing. Fa rindukan mommy dan papa walaupun antara kita tidak pernah ada kenangan manis. Bodohkan aku? Mereka, entah ingatkan aku atau pun tidak. Selalu aku pujuk hati yang terluka dengan berkata kepada diri. “Ingati mereka sebagai tanda hormat di atas jasa mereka selama ini.” Hanya dengan sebaris ayat itu aku pujuk diri. Cumanya aku tak tahu sejauh mana aku mampu bertahan dengan bujukan itu.

            Lagu ost dari rancangan Romantic Teacher Kim berkumandang laju. Dengan malas kaki di bawa ke ruang tamu. Melihat saja nama di skrin, bibirnya menguntum senyum senget.

            “Yo babe. Any new job for me?

             “Kalau aku call kau haruslah ada job. Kau free tak malam minggu ni?”

            “Rasanya free. Escort siapa kali ni?” Darwina kalau call memang bukan dengan tangan kosong. Pasti akan ada kerja untuknya. Itu sebablah aku suka Darwina jadi orang tengah untuk mencari sebarang kerja untuk aku. Dia memang terbaik dalam bab mencari kerja ini.

            “Kali ni bukan vip tapi taraf dia lebih kurang vip la.”

            Kening aku dah berkerut. Apa ke berbelit ayat Darwina ni. Bukan vip tapi taraf vip? “Kau nak buat lawak apa ni?”

            “Aku cakap betullah. Dia… lebih gah dari vip. Kau akan ternganga kalau dengar latar belakang dia.”

            Aku dengar tawa Darwina memenuhi corong telefon. Suka hati sungguh minah ni. Kalau dah begini riaksi Darwina, pastinya subjek kali ini memang terbaik. Dan itu membuatkan rasa ingin tahu mencanak naik.

            “Majlis apa?”

            Well, ikut syarat kau. Majlis VVIP untuk semua ahli perniagaan dalam Malaysia. Sebenarnya, lelaki yang kau perlu escort ni taikun dalam perniagaan.”

            Penjelasan ringkas Darwina membuatkan bola mata aku meluas. Taikun dalam dunia perniagaan? Wow! Ini kali pertama aku kena escort orang penting yang lebih penting dari vip bak kata Darwina. Tapi apa jenis business yang dia buat sampai di panggil taikun?

            “Dia buat business apa?”

            “Ini yang akan buat kau melopong babe. Taste kau sangat.”

            Ah, rasa teruja aku mencanak naik. Kalau taste aku maknanya, ala-ala lelaki jahat yang berkarisma. Kalau bahasa elegenya, badboy.  Auch! Dah lama aku tak merasa teruja begini. Kalau dah badboy, haruslah terunakan? Muda? Dan… hensem? Hahaha… kali ini kalau bintang itu boleh dilihat jelas matanya berbling dengan bintang.

            “Kau jangan nak gatal sangat Fa.”

            Amaran Darwina hanya disambut dengan tawa. “Kau dah cetuskan urat gatal aku dengan sebut taste aku. Kau nak aku bayangkan apa babe?” aku hamburkan tawa galak. Aku bangun dari kerusi, membawa langkah kaki ke bilik. Bersembang sambil berbaring lebih enak.

            “Huh! Kau memang. Jangan pula nanti kau jumpa mamat ni terus hilang ‘prinsip escort girl’ kau tu.” Tekan Darwina dan itu aku dapat dengar dengan jelas. Darwina… Darwina… macamlah baru hari ini aku buat kerja ini.

            Aku belum kelabu matalah. Dah berpuluh lelaki kacak dari umur sebaya aku sehingga yang tua tapi gagah, tidak pernah sekalipun aku terbabas. Yang selalu terbabas tu mereka. Merayu mahukan lebih. Uh! Untuk bab ini aku belum cukup bodoh untuk serahkan diri aku kepada mereka biarpun dijanjikan dengan berjuta janji manis. Lelaki, semua sama! Perempuan… kelopak mata terpejam rapat. Bawah bibirku gigit menahan sebak yang membeku di dada mencair dan terzahir di tubir mata.

            Sungguhlah hari ini jiwa aku sensitif!

            “Ceritakan pada aku tentang dia?”

            “Dia dipanggil taikun bukan sebab business dia besar. Tapi sebab dia… samseng dalam dunia korporat ni.”

            “Maksud kau?”

            “Dia tawarkan khidmat kepada peniaga yang memerlukan khidmat dia. Contohnya, untuk dapatkan kontrak atau untuk uruskan musuh dalam dunia perniagaan. Atau dalam bahasa lebih mudah, dia yang tolong selesaikan segala masalah dalam dunia koporat. Dengan cara dia! So, kau tahukan betapa bahayanya lelaki ini.”

            Penjelasan Darwina disambut senyum lebar. “Itu sebab kau cakap taste aku.”

            “Ya dan aku risau kau akan… digulai dia.”

            Meledak tawa aku dengan perkataan digulai Darwina. Ingat aku ni ayam ke? “Hey, ini akulah Wina. Fa, the one only escort girl yang kau boleh sentuh tapi… berpada.” Bangga? Mestilah aku bangga, sudah dua tahun aku jadi escort girl dan sampai sekarang aku masih mampu pelihara dara aku. Bukan takde yang merayu untuk berakhir di atas katil, tapi bagi aku mudah. Sekali kau terjebak kau takkan mampu patah balik. Jadi, untuk apa kau jebakkan diri aku ke dalam lohong yang jelas gelapnya. Cukuplah kebodohan yang telah aku lakukan. Selebihnya biarlah aku cerdik sikit. Hahaha.

            “Kau jangan berlagak. Kau belum tengok dia lagi Fa. Aku bet, bila kau tengok dia… kau akan lupa segalanya. Aku bet kau Fa.”

            Bibir bawah aku gigit kuat. Bila Darwina beria bertaruh begini, aku cuak. Hebat sangatlah lelaki ini sampai Darwina yakin mampu cairkan hati aku? “Kata-kata kau buat aku teruja nak jumpa dia.”

            “Haih. Nanti pembantu dia akan jemput kau kat kondo. Alamat dan nombor telefon kau aku dah bagi pada pembantu dia. Dan… dia juga akan hantar pilihan baju untuk kau pakai malam tu nanti.”

            “Uh! Macam kerek je.” Aku memang jengkel layan sikap renyah begini.

            “Hahaha, kau tengok sendirilah nanti.”

            “Hurm. Dia ada sekali ke nanti?”

            “Aku dah check, dia memang ada.”

            Senyum yang hambar tadi kembali lebar. Tidak kisahlah siapa dan apa jenisnya lelaki yang bakal dia escort nanti, yang penting dia ada. Lagi pun apa yang aku lakukan sekarang untuk buktikan pada dia, yang dia silap. Aku… mampu berdiri tanpa dia. Aku mampu membentuk hidup aku tanpa bayangan dia.

            Perbualan dengan Darwina telah lama tamat namun akal aku masih lagi ligat berfikir. Memikirkan dia. Bibir aku melakar senyum. Hanya dengan penjelasan Darwina dia sudah mampu menembusi akal aku agaknya apa yang akan jadi bila aku bertemu dia nanti? Apakah seperti yang Darwina katakan, yang aku akan tewas pada dia?

            Bingkas bangun dari katil aku melangkah ke depan cermin. Biasan tubuh di cermin aku pandang lama. Disebalik jubah mandi ini terdapat susuk tubuh yang menjadi idaman lelaki berhidung belang. Ya, aku akui yang aku cantik. Tuala yang membaluti kepala dibuka membiarkan rambutnya lepas bebas. Kaki di atur melangkah lebih dekat. Lama aku memandang biasan tubuh aku di cermin hingga datang satu bisikan.

            ‘Apa yang kau banggakan dengan tubuh kau ni? kau mampu jadikan tubuh kau ni perisai dari api neraka?’

            Kaki aku terundur ke belakang. Kepala aku menoleh ke kiri dan kanan, bisikan tadi terasa sangat nyata di cuping telinga. Detak jantungku semakin laju. Liur yang aku telan terasa sangat berpasir. Punggungku labuhkan dibirai katil. Otak ligat berfikir dan nyata aku sangat terkesan dengan bisikan tadi. Malas mahu terusan memikirkan, aku naik ke atas katil. Selimut aku tarik menutupi seluruh tubuh. Mata dipejam rapat agar lena datang menjemput.

  ‘Inikah maksudnya Nailah?’ bibir aku kertap kuat sehingga terasa pedihnya. Resah sendiri Fa tolak selimut, turun dari katil kaki diatur kembali ke ruang tamu. Terpaku di situ, sunyi! Sangat sunyi. Akhirnya aku hanya mampu dengar keluhan yang keluar dari mulut aku.

‘Beginikah akhirnya?’

Mata aku pejam rapat. Kembali ke bilik tidur aku hempas tubuh atas katil.

‘Beginikah akhirnya?’

Tangan naik menekup telinga. Berharap segala bisikan itu tidak lagi menjamah telingaku. Seketika semuanya kembali normal dan aku…

‘Bawalah aku pergi.’


No comments: