Cinta
aku ibarat mocha
Yang pahit mulanya tetapi
Makin lama makin manis
Makin menarik dan memikat…
Prolog 1
Kita bertemu dan bercinta bukan
kemahuan kita
Namun jika nama hati tidak pernah
menyapa dengan isyarat
Dalam senda hati mengetuk rasa
Dalam benci rindu menyapa
Tanpa diduga cinta kita yang bisu
menjadi satu
Ditakdirkan menjadi satu ikatan yang
kukuh
Dan ia bermula dariku walau engkau
menolak
Percayalah padaku,
Jika aku gadismu maka kau lelakiku
jua syurgaku.
Sejak kali pertama dia lihat wajah
itu hatinya berdegup laju. Hatinya yang selama ini sepi, mula menyanyi riang
hanya mendengar gelak tawa si dia. Dulu bibirnya sukar melakar senyum tetapi
kini tanpa dipinta, bibirnya akan memutik senyum. Tanpa isyarat, tanpa syarat;
hanya kerana dia!
Sepasang matanya melirik ke arah si dia.
Bibirnya menguntum senyum lagi. Kini di setiap genap ruang hanya wajah manis
dia yang menyapa mata. Bagaikan pungguk rindukan bulan, wajah itu seringkali
menjadi teman mimpinya.
Untuk meluahkan rasa, lidahnya
terasa berat untuk berkata. Namun, kadangkala cemburu hampir memusnahkan
kewarasan diri. Setiap hari dia menyulam mimpi yang indah bersama si dia.
Berangan membina mahligai indah. Tanpa dia sedar ada sesuatu yang bakal merubah
hidup mereka.
Jika dulu dia mahukan si dia sentiasa
disisi kini, dia mahu wajah itu pergi jauh darinya. Dia benci melihat mata yang
indah itu memandang sayu padanya. Dia tidak mahu simpati sesiapa. Tambahan lagi
apabila bibir merah itu menyatakan…
``Marry me.’’
Perkataan keramat yang amat dia
ingin tuturkan dahulu kini menjadi sumpah baginya. Tegar sungguh si dia meluahkan
kata-kata itu sedangkan dia kini tidak berdaya. Apakah maksud si dia? Apakah
kerana dia begini, maka si dia sanggup menawarkan diri hidup bersama? Atau itu
hanyalah kerana simpati semata.
``Kau tak nak pertimbangkan
permintaan dia tu?’’
Pandangan tajam jatuh pada tubuh
yang sedang duduk berhadapan dengannya tanpa riak bersalah diwajah itu. Seolah
pertanyaanya tadi tidak membawa apa-apa erti.
``Bodoh! Kau gila nak kau
pertimbangkan permintaan mengarut dia.’’ Dengusnya. Kenapa semua orang memaksa
dia menerima luahan si dia. Tidak tahukah dia hakikat yang dia kini… mustahil
dia mampu berikan kebahagiaan pada si dia sebaliknya dia akan menyeksa si dia.
Dia tidak mahu melihat wajah manis itu di lapisi mendung. Sungguh mencacatkan
pemandangan indah itu.
``Dia cintakan kau!’’
``Dia tak cintakan aku! Dia
kasihankan aku! Dah! Aku tak nak dengar lagi. Kau keluar!’’ jeritnya kuat.
Benci!
Jangan suruh dia lakukan sesuatu
yang akan menyeksa hidup dia dan juga si dia. Dia bukanlah kejam. Ya, memang
dia mahukan si dia tapi bukan dalam keadaan dia yang sekarang. Bukan!

No comments:
Post a Comment