Sunday, July 23, 2023

SANDIWARA (CHAPTER 1)

 


BAB 1

Asap rokok aku sedut dalam-dalam. Membiarkan asap yang aku sedut tadi masuk ke dalam setiap rongga tubuh aku; merosakkan sistem paru-paru atau jantung? Ah, aku tidak peduli. Kerana apa? Hati aku sendiri sudah rosak bukan kerana rokok tapi kerana aku sendiri. Orang kata hidup ini tentang pilihan. Ada dua cabang yang perlu dipilih, dan aku telah lama memilih hidup aku. Aku biarkan diri aku berterusan hanyut dalam dunia ciptaan aku sendiri. Ya, itulah yang aku pilih… dunia ciptaan aku sendiri. Aku yang melorekan perjalanan hidup aku sendiri. Aku bahagia begini.

            Sekali lagi aku sedut asap itu bersama tarikan panjang dalam cubaan menarik rasa tenang juga. Tenang? Hahaha… berapa banyak penipuan yang aku mahu tebarkan untuk diri aku sendiri, aku juga tidak tahu. Gila apa dengan hisap rokok tenang akan datang. Sama juga dengan  menelan segala pil tu, bodoh! Di mana datangnya tenang jika kau memilih jalan yang bengkok!

            Oh, kau sedar rupanya yang kau sedang berjalan yang bengkok Fa. Tapi kenapa kau tidak betulkan jalanan kau? Kenapa harus kau masih berjalan di jalan yang bengkok? Tubir mata mula bergenang. Alangkah indah jika aku mampu betulkan perjalanan hidup aku semudah tempelakan hati aku. Alangkah bahagianya jika aku… mampu menolak segala yang mendatang semudah aku menyedut asap rokok ini. Hakikatnya ia tak mudah.

            Batang rokok yang masih berbaki aku tenyeh dalam tray. Rambut yang serabai dikirai dengan jari lalu disanggul tinggi. Kaki dibawa melangkah ke balkoni. Melempar pandangan luas ke depan menggamit kenangan pahit dalam diri. Apatah lagi bila duduk sendirian begini. Mulalah pelbagai hal masuk ke dalam fikiran.

            Apakah kesudahanya hidup aku nanti? Beginikah; kelam tanpa sinar atau akan datang satu masa cahaya yang menyuluh perjalanan hidup aku? Yang bakal menarik aku di dasar lembah ini, kembali ke muara? Masih adakah ruang untuk aku kembali ke pangkal jalan? Dosa manusia bernama Nailah Farafisya masih bisa diampunkan ke?

            Kepala menunduk ke bawah. ‘Kegilaan apakah ini Fa. Sejak bila kau membina impian menjadi wanita bahagia? Sejak bila kau mula fikirkan taubat? Atau kau sudah mula takut dengan bayangan maut Nailah Farasfisya?’ Senyum sinis terbentuk di bibir. Menyinis kepada diri sendiri. Siapa saja tidak takut akan mati. Aku juga begitu, aku takut akan mati. Hanya dengan menyebut perkataan mati saja, aku rasa kering darah dalam tubuh aku. Gementar sekujur tubuh aku yang masih bernyawa ini namun aku tetap juga begini. Tetap juga berada dalam dunia yang aku cipta. Tetap juga bergelumang dengan noda yang aku pilih.

            “Fa!”

 Teguran tiba-tiba membuat bahu aku terangkat. Terkejut disergah begitu lantas kepala menoleh ke sisi. Kelihatan Dinar sedang memandang ke arah aku dengan senyum lebar. Aku tarik senyum nipis seraya menggeleng kepala. Melihat kepada senyum Dinar aku tahu dia bawa pulang sesuatu.

            “Kau bawa apa pula kali ni?”

            Fifty Shades.”

            Aku lihat Dinar sengih tapi aku geleng kepala. Apa ke gilanya Dinar ni, sejak semalam marathon cerita 18sx ni. Bila aku suruh dia kahwin, tak nak pula. Katanya menyusahkan. Nanti hidup jadi macam arwah mak dia. Jadi hamba seks suami sendiri! alasan tak menahan langsung. Seks merupakan perkara kedua terpenting dalam hidup selepas wang ringgit.

            “Kau tak muak ke Dinar? Dari semalam kau menggila. Sangap sangat ke?” selarku. Dengan Dinar ni tak payah nak cakap ayat cover atau lembut. Serang dengan ayat terus terang lebih cepat sampai kepada otak dia yang bengong tu.

            “Amboi, mulut kau! Aku sumbat juga dengan tin air ni kan.”

Jelas nada Dinar marah tapi ada aku kisah. Betul apa? Kalau tak sangap gila apa menonton cerita 18SX tu sampai berkeping dvd. Apa yang Dinar nak cari? Kepuasan? Kepuasan apa yang dapat dicapai dengan melihat aksi erotik orang lain. Jujur, aku sendiri tak faham apa faedah menonton cerita begini melainkan menyeksa diri sendiri.

            “Betul apa? Kalau dah sangap kahwin la beb. Aku tengok Adli tu kemain mengurat kau. Kau tak layan kenapa?”  buai besi yang sengaja aku letakkan di balkoni menjadi tempat aku labuhkan punggung. Malas aku nak duduk di ruang tamu dengan Dinar.

            Senyap! Mungkin Dinar dah selamat melayan cerita Fifty Shade dan aku menutup kelopak mata. Terasa panas kelopak mata dah hati disapa sendu. Ada rindu yang terpendam namun aku tak pasti rindu itu untuk siapa. Huh! kenapa hati jadi tisu pula hari ini?

            Aku kembali membuka mata bila terasa ada buaian itu dihenyak sesuatu. Tak perlu lihat siapa aku tahu orangnya Dinar. Namun setelah lama Dinar diam, aku menoleh. Wajah yang manis dengan senyuman tadi sudah bertukar muram. Pandangan Dinar juga jauh ke depan seperti ada sesuatu yang menganggu dia. “Kau ada masalah?”

                “Bila masa hidup aku takde masalah Fa.”

Tawa kecil Dinar kedengaran namun aku tahu ia sangat hambar. Seperti hambarnya raut wajah Dinar ketika ini. “Aku ada kalau kau nak kongsi.” Lebih baik aku begitu saja dari mendesak. Menunggu dia bercerita dan aku tahu dia akan bercerita. Kerana kami hanya ada satu sama lain.

            “Ayah aku cari aku.”

Kenyataan itu menarik Fa menoleh kepada Dinar. Dalam debar dia menanti sambungan bicara Dinar. Dua tahun ayah Dinar menghilangkan diri selepas arwah mak Dinar meninggal tiba-tiba sekarang muncul kembali. Kalau raut wajah Dinar gembira itu satu cerita yang lain. Ini… raut wajah Dinar sekarang raut yang selalu dia nampak ketika arwah mak Dinar masih hidup. Janganlah Dinar bagitahu si ayah tak guna itu datang kerana hal yang sama.

            “Dia nak aku ikut dia ke Thailand.”

            What?” rasanya memang suara aku melengking kuat. Sebab aku dapat dengar gema suara aku sendiri. “Pergi Thailand? Buat apa kat sana?”

            “Kau rasa?”

            Nada pertanyaan Dinar sungguh buat aku rasa nak hantuk kepala ke dinding. Apa lagi ke sana kalau bukan untuk jual tubuh sendiri. “Kau kahwin dengan Adli, semua ni akan selesai.”

            “Kau ingat semudah itu ke Fa?”

Pandangan redup Dinar menyentak aku. Ya, tak semudah itu. Hidup aku dan Dinar lebih kurang sama saja. Kalau aku masih tersangkut pada lembah yang dalam itu apatah lagi Dinar. Tetapi untuk membiarkan Dinar pergi mengikut ayahnya, tak mungkin!

            “Kenapa takdir hidup kita begini Fa? Sejak aku kenal dunia, aku lihat kekejaman dunia pada manusia miskin seperti aku. Aku diherdik, dimaki malah dicaci hanya kerana aku miskin. Dipulau juga kerana aku miskin. Kenapa perlu ada sikap mendrikminasikan kasta begitu sekali? Aku tak minta dilahirkan miskin. Malah aku yakin mak aku juga tak mahukan kehidupan yang begitu. Jadi salah kamikah kami miskin?”

            Luahan Dinar sangat menyakitkan. Itu bezanya aku dengan  Dinar. Dia miskin, aku kaya. Namun hakikatnya aku juga miskin seperti Dinar. Miskin kasih sayang, miskin agama dan miskin adab walhal aku ada harta yang cukup untuk pelihara aku sepanjang hidup. Bila datangnya kewarasan, aku mula perasan bahawasanya hidup aku kosong. Harta yang aku ada tak mampu mengembalikan apa yang telah aku hilang dulu. Segala-galanya hanya sia-sia.

            “Malah aku lihat kekejaman seorang suami, memperhambakan isterinya… aku nampak setiap malam mak aku dilayan seperti…”

Tubuh Dinar aku tarik ke dalam dakapan. Kisah ini sudah banyak kali aku dengar dan setiap kali itulah, kesakitan yang sama tetap juga aku rasakan. Aku tahu Dinar juga merasakan sakit yang sama. Setiap kali Dinar bercerita, sepasang mata Dinar menyalakan kebencian.

“Belum cukup dia tunggang mak aku dengan nafsu gila dia, dia ajak kawan-kawan dia. Aku nampak Fa. Aku nampak semuanya tapi aku tak mampu buat apa-apa. Mak aku cakap, lebih baik dia yang menjadi mangsanya asalkan bapa aku tak sentuh aku. Mak aku cakap, lebih baik dia yang diperhambakan asalkan bukan. Mak aku suruh aku berdiam diri untuk selamat. Semuanya untuk aku Fa.”

            Belakang tubuh Dinar aku usap perlahan. Jika aku semakin tenggelam dalam dosa aku, Dinar… semakin tenggelam dalam dosa orang tuanya. Bagaimana aku mahu menarik kembali Dinar sekiranya aku juga terkapar-kapar mengharapkan pertolongan.

 


No comments: