Tuesday, July 25, 2023

SANDIWARA ( CHAPTER 1)


 

Bab 2

           

            Perlahan-lahan pintu bilik Dinar aku tutup. Lama aku berdiri kaku di depan pintu bilik Dinar. Aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan sekarang? Bagaimana mahu menolong Dinar? Dengan langkah yang longlai aku masuk bilik. Tubuh direbahkan atas tilam empuk. Mata kembali terpejam. Dahinya mengerut, telinga bergerak-gerak. Degungan yang sedang memasuki telinga aku ketika ini bukan yang pertama kali. Tetapi acap kali dan aku sudah kalih. Kenangan pahit itu memang sukar untuk aku luputkan maka aku akur. Akur dengan permainan takdir hidup aku.

            “Kau ingat aku nak berkawan sangat ke dengan perempuan tu? Kalau bukan sebab mak ayah dia sanggup bayar duit untuk aku jadi kawan dia, memang tak ingin aku. Dah la manja lepas tu suka bercakap sorang-sorang.”

            Terus mata yang terpejam dicelik kembali bersama air hangat yang membasahi pipi. Bibirku melorek senyum nipis. Itu harga kasih sayang orang tuaku. Sanggup membayar orang untuk menjadi kawan walhal mereka terlupa yang aku mahukan adalah kasih sayang mereka. Keprihatinan mereka.

            Aku pernah mengadu pada papa tentang Salwa namun maklum balas papa sangat mengecewakan. Pedihnya terasa sehingga kini.

            “Pa, kenapa papa sanggup bayar Salwa kawan dengan Fa?” aku nampak kerutan di dahi papa. Tandanya papa terkejut dengan soalan aku.

            “Mana Fa ambil cerita ni? Tak baik tuduh kawan macam tu. Tuduh papa juga.”

            Hendak saja aku hamburkan tawa sekuat hati aku. Lucu! Sangat lucu permainan papa ini. Apakah papa ingat aku ni budak perempuan hingusan yang senang di tipu. Ya, dulu mungkin tapi tidak sekarang! Dulu asalkan aku dapat apa yang aku mahukan, aku tidak kisah mummy atau papa ada di rumah atau tidak. Apa yang mereka hendak lakukan langsung aku tak kisah.

            “Fa dengar sendiri pa. Dia mengaku pada kawan baik dia yang papa bayar dia untuk jadi kawan Fa. Kenapa pa?” nada aku makin lirih. Bosan sebenarnya dengan kehidupan aku yang dikawal sepenuhnya oleh papa. Aku tidak ada kawan bukan salah aku, mommy dan papa yang terlalu prejudis dengan mereka yang nak berkawan dengan aku. Setiap kali aku bawa balik kawan, papa akan soal macam-macam sehingga esoknya mereka akan hindarkan aku. Pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada aku.

            “Fa, papa sibuk. Kita bincang hal ni lain kali ya.”

            Aku kertap bibir kuat. Aku nampak papa sedang mengemaskan kot di badan dan mama… muncul dengan menarik bagasi besar. Sekali lagi aku akan ditinggalkan sendirian di rumah besar ini! Poor Fa.

            “Apa yang bising ni abang?”

            “Awak tanya anak kesayangan awak tu la. Bising sebab kita bayar Salwa untuk berkawan dengan dia. Benda kecil pun nak bising. Bukan kita guna duit dia pun.”

            Bebelan papa menyentap hati aku. Benda kecil papa cakap? Ya, mungkin kecil bagi papa sebab bukan papa yang kena hadap semua ini. Di kolej semua orang memandangnya pelik. Semua orang… yang cuba rapat dengan aku hanya kerana mahu mengambil tempat Salwa. Pokoknya, semua yang datang hulurkan persahabatan tidak dibawa keikhlasan bersama.

            “Fa…” sentuhan mommy tidak aku rasakan. Kosong. Apakah hati aku yang hitam atau memang sentuhan mommy yang kosong tanpa kasih? “Apa yang kami buat semua untuk kebaikan Fa.” Pujukkan yang kedengaran seperti alasan di telinga aku.

            Kali ini tubuh aku didakap mommy, masih juga seperti tadi. Aku tidak merasakan apa-apa. Aku tidak temui nikmat dipeluk ibu sendiri. Sekali lagi aku bertanya, apakah hati aku yang hitam untuk menilai atau sememangnya perbuatan mommy itu tidak ikhlas. Keluhan terlepas tanpa sengaja dan itu mengundang jelingan tajam mommy. Memang pantang bagi mommy kalau aku mengeluh ketika bercakap dengan dia. Sudahnya, aku ini patungkah? Mahu bersuara dihalang. Mahu mengeluh juga dihalang. Mujur saja aku mahu bernafas tidak dihalang.

            “Apa yang tak cukup lagi Fa? Kami berikan semua. Dalam bank, duit beribu untuk Fa guna. Kad kredit sentiasa penuh untuk Fa guna juga. Apa lagi yang tak cukup sampai mengeluh? Belajar bersyukur. Belajar berterima kasih pada orang tua.”

            Teguran mommy aku sambut tawar. Patutnya pesanan itu mommy guna untuk diri sendiri. Rasanya mommy dan papa yang lupa bersyukur dan berterima kasih. Hendak saja aku hamburkan begitu meski begitu rasa hormat aku buat mereka masih ada. Lagi pula aku tahu, kalau aku katakan begitu harus banyak lagi ungkitan yang akan disebut mommy dan papa. Ada ketika aku merasakan, mereka tidak ikhlas dalam menjaga aku. Jika mereka ikhlas mengapa perlu mengungkit?

            “Jes, cepat. Kita dah lewat ni.”

            Coming. Sepanjang mommy takde jangan buat hal. Jangan ajak kawan datang rumah.”

            Setelah pipi aku dicium mommy berlalu. Dan aku masih diam membisu. Memandang pintu agam yang menenggelamkan tubuh mommy. ‘Jangan buat hal’. ‘Jangan ajak kawan datang rumah’. Aku ketawa kuat, sungguhlah hidup aku sangat melucukan.

            Aku ingatkan mommy mahu pesan, ‘jaga diri.’ Tapi kalau difikirkan balik bila masa mommy meninggalkan pesanan begitu padanya. Paling tidak, ‘jaga rumah ni elok-elok’ mommy lebih risaukan harta bendanya dari aku.

            Dentingan jam menyentak lamunan aku. Terus aku bingkas bangun tangan meraup wajah. Jauh tenggelam ke dalam masa lalu. Jam di dinding dikerling, hampir 6 petang. Berendam di dalam tab harus menyegarkan.

 


No comments: