Tuesday, February 18, 2020

Cinta Mamat Sandwich {Bab 2}

BAB 2

Adhia berdiri di satu sudut yang tersorok. Dia kebosanan. Orang yang dicari tidak muncul. Majlis reunion ini amat membosankan. Dia jangka akan majlis tari menari atau pun baskers yang akan menghiburkan mereka. Tapi, dari tadi tak habis dengan makan… makan. Huh! Macam manalah mereka semua ni tak gemuk. Asyik makan saja.
Malas nak bercampur dengan makhluk itu semua. Masing-masing masih busuk hati macam dulu. Menyampah. Buat kering tekak saja berbahas dengan mereka. Lebih baik aku blah saja dari sini.
``Dhia.’’
Kaki yang baru saja ingin melangkah terhenti ketika panggilan itu menyapanya. Suara itu… Ya, suara lelaki itu. Lelaki yang dia cari dari tadi. Pantas Adhia berpaling ke belakang. Kelihatan lelaki itu tersenyum kepadanya.
``Betul la awak yer. Rizki dan Tariq ada bagitahu saya tadi.’’ Ujar  Luqman mendekati  Adhia bersama senyuman manis.
Matanya tidak lepas dari meneroka wajah itu. Sudah jauh berbeza. Makin cantik! Kemudian matanya turun ke bawah, meneliti susuk tubuh Dhia. Menggoda!
Ooo, patutlah dia cam aku.
``Ya, saya. Kenapa? Ada yang pelik ke dengan saya?’’ Suara sengaja dimanjakan. Biar pun soalannya mempunyai maksud yang tersirat.
``Err, takde yang pelik. Cuma… Awak makin cantik dan…’’ Mata Luqman memandang Adhia atas dan bawah. Makin seksi Adhia sekarang.
``Hahaha, biasalah. Masa mengubah manusia dan keadaan.’’ Adhia berjalan keluar. Langkah kaki sengaja dilenggokkan dengan menggoda.
Luqman telan liur. Fuh! Betis putih melepak. Paha gebu. Lenggok gaya… Bikin malam aku sengsara. Omel Luqman. Dia pandang kiri kanan sebelum mengekori langkah Adhia.
Adhia pandang langit malam. Senyuman penuh makna terukir dibibirnya. Senang saja untuk memikat seorang lelaki hidung belang. Hanya perlu menunjukkan sedikit apa yang dimilikinya, suara yang manja, tersungkurlah mereka dikakinya. Angkuh sungguh bicara hati seorang Adhia Adamia.
Perlahan-lahan tanganya menyentuh wajahnya. Terasa garisan kasar melintang dibahagian dagunya. Walau setara mana dia cuba menutup garisan itu, namun ia tetap ada. Dia mendengus.
Kenangan lalu menjelam lagi. Waktu itu cuti sem, dia, ayahnya dan ibunya memutuskan untuk habiskan waktu bersama di Pantai Timur. Puas dia memujuk ayahnya barulah setuju. Dengan syarat destinasi percutian mereka sekitar Malaysia saja. Dan Dhia tidak kisah di mana janji dapat meluangkan masa bersama kedua insan yang amat dia sayang ini.
Perjalanan pagi itu dimulakan dengan senyuman. Ceria. Walau sudah dihalang oleh datuk dan neneknya, kerana ada kejadian tanah runtuh ditempat yang hendak dituju itu tapi demi anak tersayang, Encik Adam teruskan juga perancangan itu.
``Wah, mama… best kan kalau atuk dan nenek ikut sekali,’’ ujar Dhia teruja.
Puan Rene geleng kepala. Anaknya ini walau sudah berumur 20-an lagaknya masih ke anak-anakkan.
``Dhia, tangan tu jangan letak kat luar macam tu. Bahaya sayang,’’ tegur Encik Adam.
``Alaa, ayah. Dhia nak main air hujan ni. Best,’’ manja suara Dhia.
``Dhia, sayang…’’
Pin… Pin… bunyi hon yang agak kuat dari jalan yang bertentangan menganggu pemanduan Encik Adam. Hujan yang lebat menyukarkan lagi pemandangan. Tiba-tiba… Bump!
Adhia tutup muka. Kenangan itu, menyakitkan. Kerana kedegilanya, dia kehilangan insan yang amat dia sayang. Dia sentuh parut di dagu itu. Parut ini bisa ditutup dengan mekap tapi parut di hati… keluhan dilepaskan.
Jika begini jalan hidupnya, dia rela memilih mati. Dia terselemat dari kemalangan itu tapi jiwanya mati. Luka di wajah yang disebabkan oleh cermin kereta yang pecah, di sentuh lagi. Kerana parut ini dia terseksa. Hanya ini!
`Kau harus bangkit. Jangan biarkan mereka melemahkan semangat kau dengan kekurangan kau!’
``Tak tidur lagi ke?’’ Tegur Dhira. Jam di dinding dikerling sekilas. 2 pagi! Kemudian dia kembali memandang wajah mendung Adhia. Apa lagi yang mengusik sahabatnya ini?
Dhira merupakan sahabat Adhia yang setia. Yang mendekat ketika semua menjauh. Sahabat yang memeluknya ketika semua mencemuhnya. Dhiralah yang menguatkan semangatnya hingga dia mampu bangkit kembali. 10 tahun! Bukan jarak masa yang singkat. 10 tahun dia menghilangkan diri hanya kerana mulut keji seorang manusia.
``Belum.’’ Perlahan Adhia menjawab.
``Kenapa ni?’’
``Aku…’’ esakan halus terbit dari bibir mungil itu.
``Dhia,’’ Dhira memeluk tubuh kecil itu.
``Kadang-kadang aku terfikir, ada baiknya aku yang meninggal dalam kemalangan itu. Disebabkan kedegilan aku, atuk aku kehilangan anak dan menantu yang tersayang. Kerana aku juga, atuk aku hampir mati kerana serangan jantung,’’ lirih suara Adhia.
``Hey, tengok sini…’’ Dhira angkat wajah Adhia memandangnya. ``Ajal maut ditangan Allah, Dhia. Kalau kau tak berkeras mahu bercuti sekali pun, andai kata ketika itu sudah takdir ajal mereka, semuanya pasti akan terjadi juga. Keinginan kau mahu bercuti hanyalah pengerak untuk takdir yang telah Allah tetapkan. Jangan macam ni Dhia. Kau mempersoalkan hal ini seperti kau menolak qadak dan qadar Allah,’’ pujuk Dhira.
``Kalaulah aku sekuat itu Dhira. Tapi, aku tak kuat. Kau tahu apa perasaan dipinggirkan keluarga? Hanya kerana fitnah orang. Mereka kenal aku sejak dari kecil Dhira tapi disebabkan cerita yang dibawa Talia yang aku ni…’’ kata-katanya mati disitu.
Terngiang-ngiang kata makian dari saudara maranya. Bagaikan baru tadi kata-kata itu dilontarkan.
``Kau ni memang menyusahkan! Sebab kau mak ayah kau mati. Sekarang kau nak malukan kami semua dengan perangai macam setan ni! Tak cukup ke duit bulanan yang kami bagi sampai kau sanggup jual diri, hah? Dasar sial!’’ itulah kata-kata pedih yang mengoyakkan sekeping hatinya. Kata-kata yang dilontarkan oleh seorang bapa saudara yang sering memanjakanya suatu masa dulu. Waktu itu tidak ada sesiapa pun yang membelanya. Atuk dan nenek juga hanya memandang dia dengan pandangan kosong. Sedarlah dia yang ketika itu dia telah sendiri.
``Dhia,’’ seru Dhira.
Panggilan Dhira menghalau bisikan-bisikan kenangan lampau. Bibirnya mengukir senyum segaris. Pahit.
``Hey. Pandang aku. Walau aku tak ada ditempat kau tapi aku faham perasaan kau. Aku tahu kau terluka dengan apa yang dia orang lakukan pada kau. Tapi kau juga kena faham perasaan dia orang. Masa tu dia orang tengah sedih. Kedatangan Talia dengan bukti yang kau ke kelab malam berfoya-foya dan gambar kau dengan Luqman tanpa seurat benang itu… Siapa saja boleh salah faham Dhia. Jangan letakkan seratus peratus kesalahan tu pada atuk dan ahli keluarga kau yang lain,’’ pujuk Dhira lagi.
Ketika Dhia menceritakan hal itu serta menunjukkan gambar tu padanya, dia terkejut. Sampai begitu sekali bencinya Talia kepada Dhia. Sedangkan Dhia tidak pernah menganggu gadis itu. Gambar itu bukan gambar Dhia pun. Gambar yang ditunjukkan adalah gambar yang telah di edit.
``Ya, kalau dulu aku boleh faham Dhira. Aku boleh mengerti andai diri aku dibenci. Sebab aku dah menyebabkan dia orang kehilangan seseorang yang di sayang. Tapi sekarang? Sudah bertahun mak ayah aku takde Dhira. Takkanlah masih ada benci dalam hati dia orang? Tidak pernah sekali pun dia orang bertanyakan khabar aku. Bagaikan aku ni tak pernah wujud dalam kehidupan mereka. Hahaha, kelakarkan. Hidup aku kelakar. Mujur ada paksu walaupun aku tahu apa yang dia lakukan hanya kerana amanah dan tanggungjawab semata.’’ Ujar Adhia pasrah. Pasrah dengan nasib diri.
``Biarlah Dhia. Pasti ada hikmah disebalik semua ini. Lihat kau sekarang, hidup kau tidak terjejas pun tanpa mereka.’’
``Hahaha… Ya. Eh, kau tahu tak apa yang jadi tadi? Sah-sah malam ni aku akan tidur dengan lena,’’ ujar Adhia. Menukar topik.
``Kenapa?’’
Namun jika lena Adhia mampu bertahan hingga ke pagi, dia amat bersyukur sangat. Sejak dahulu lena sahabatnya itu sentiasa terganggu. Selalu terjaga dikala tengah malam. Rasa simpati menggunung buat Adhia, namun apa saja yang mampu dia lakukan. Hanyalah kata-kata semangat mampu diberikan.
``Kau patut ikut aku ke majlis reaunion tadi. Kau tahu semua tengok aku macam nak keluar biji mata. Hahaha… Tak berkelip.’’ Teruja suara Adhia bercerita.
Barulah Dhira faham apa yang dimaksudkan Adhia. Dia turut tersenyum. Sudah lama dia nantikan saat ini, tapi apa boleh buat. Ada kerja lain yang harus dia lakukan.
``Alaa, ruginya.’’
``Kau patut tengok muka Talia. Tapi Talia masih macam dulu. Menjengkelkan. Aku hairan apa yang dia benci sangat dengan aku. Tapi aku tak nampak pula Zurina.’’ Adhia beralih duduk disofa.
Dhira turut sama ikut duduk disofa. ``Ah, minah tu memang kerek. Aku tak hairan kalau dia masih dengan sikap dia yang dulu. Bukan ke dia dengan Talia kembar. Dulu di mana saja ada Talia mesti ada Zurina.’’
``Entahlah.’’ Malas dia nak ambil tahu sebenarnya. Janji dia sudah jumpa yang dicari.
``Eh, esok jadi tak jumpa dengan Amira?’’ Soal Dhira.
``Ya Allah! Aku dah lupa laa.’’ Adhia tepuk dahi.
Dhira geleng kepala. Dah agak dah yang Adhia akan terlupa.
``Kau ni… Esok meeting penting tu. Kau boleh lupa pula.’’ Bebel Dhira.
``Sorry. Aku teruja sangat pasal hal tadi sampai lupa. Terima kasih kerana ingatkan aku. Kau lah sahabat dunia akhirat aku. Okay la, jom tidur. Mahu terlewat bangun pulak nanti.’’ Ujar Adhia.
Esok perjumpaan penting dengan Amira, merupakan masa depannya. Amira juru gambar yang akan bekerjasama dengannya untuk projek terbaru mereka. Adhia seorang model. Model untuk jenama dia sendiri. Adhia dan Dhira membuka perniagaan online. Mereka menjual pelbagai jenis barang, pakaian, tudung, mekap dan pelbagai lagi. Yang penting itu semua hasil usaha tangan mereka. Selama 10 tahun menghilang, Adhia manfaatkan masa yang ada itu dengan belajar sesuatu untuk hidupnya.



Pagi ni dia terlewat bangun. Kelam kabut dia bersiap. Dia sudah terlambat. Dah la lambat, jem pula. Perut pun bukan main lagi berbunyi. Tak sempat nak bersarapan tadi. Dia berhenti di lampu merah. `Aduhai, lambatnya nak gerak ni.’ Stereng kereta diketuk berkali-kali. Matanya menangkap satu susuk tubuh yang sedang memegang satu bekas warna kuning. Dahinya berkerut.
Matanya masih ralit memerhatikan jejaka itu berjalan dari sebuah kereta ke kereta yang lain dengan apron, topi dan kaca mata hitam. Nampak… Macho. Adhia gigit bibir bawah. Jantungnya sudah berdegup laju.
``Apa yang dia buat tu?’’ Omel Adhia.
Cermin tingkap kereta diturunkan ketika lelaki itu mendekatinya.
``Cik nak sandwich? Tea tarik pun ada.’’ Ujar lelaki itu dengan senyuman manis dibibir.
Terpana sesaat Adhia melihat senyuman itu.  Dia perasan apabila lelaki itu senyum ada lekuk di pipi. Lesung pipit! Manis.
``Ehem.’’ Lelaki itu berdehem.
``Err…Ya. Nak dua ek.’’
``Nak yang mana?Tuna, sardine atau…’’
``Mana-mana saja.’’ Potong Adhia. Tidak mahu dia mendengar suara garau lelaki itu. Ketar lututnya. Uh! Sudah kenapa dengan aku ni?
``Ooo, okay. Nah.’’ Hulur lelaki itu.
``Nama awak apa?’’ Adhia gigit lidah. Aduh! kenapa boleh terlepas cakap ni?Patut tanya harga berapa. Nak saja dia hentuk kepalanya di stereng tapi nanti jatuhlah maruahnya. Ditayang muka selamba. Nak jaga ego la katakan.
Lelaki itu angkat kening. Apa ke hal pula tanya nama aku bagai ni? mereng ke?
``RM 5 semuanya cik.’’ Ujar lelaki tanpa menjawab soalan Adhia.
``Huh! Sombong.’’ Adhia menghulurkan not RM 5 sebelum memecut meninggalkan lelaki itu. Orang tanya nama aje pun bukan ajak khawin.


Adif Arman kacip gigi. Dia dengar dengan jelas apa yang diucapkan oleh minah myvi biru tadi. Suka hati dia saja cakap aku sombong! Huh! Adif berjalan ke arah temanya.
``Kau ni dah kenapa? Muka masam pulak.’’ Tegur Aiman.
``Tu minah yang naik Myvi tadi tu. Boleh tanya nama aku pula. Aku ni jual sandwich bukan jual nama. Gedik.’’ Cemuh Adif.
``Hahaha, kau ni… Itu pun nak marah. Itu tandanya kau ni kacak. Masuk stok pilihan gadis melayu.’’ Bibir Aiman mengoyak senyum. Tawa halus kedengaran.
Jelingan maut dilemparkan. Rasa kecil besar saja Aiman kala ini. Ada yang nak kena sumbat dengan bekas sandwich gamaknya.
Aiman tayang muka bodoh. Langsung tidak terkesan dengan jelingan maha tajam sahabatnya itu. Dia hairan dengan Adif ni. Rupa ada. Duit pun ada. Bak kata orang, kalau kahwin, tak kebulur la anak isteri. Tapi bila sebut pasal perempuan saja, mula la angin. Nak kata gay, tak. Memang lelaki sejati.
``Woi, tak payah nak termenung la. Kita datang sini nak jual sandwich,’’ sergah Adif.
Terkulat-kulat Aiman disergah Adif. Hadoi, bagus punya kawan. Huhuhu. Mahu bikin aku ni dapat penyakit jantung barangkali. Aiman mula mengatur langkah mendekati seorang le laki yang melambai ke arahnya. Mulut dimaniskan dengan senyuman. Itu pesanan Adif setiap kali dia mengikut jejaka itu. Macamlah aku ni bengap sangat.

Jam sudah menunjukkan 10 pagi. Adif sudah mula melakukan kerja mengemas barang-barang. Dia kerling Aiman yang sedang duduk di bahagian bonet kereta MPV nya. Amboi sedapnya dia. Aku kat sini sibuk kemas barang dia sibuk duduk santai.
``Amboi kau, sedapnya berehat. Aku ni yang penat angkut barang. Huh!’’ Adif tolak tubuh Aiman ke tepi.
``Alaa, panaslah,’’ rungut Aiman.
Adif cekak pinggang. Tajam mata memanah ke arah Aiman.
``Inilah masalah orang melayu kita. Berpanas sikit sudah merungut. Bukan mahu bersyukur dengan apa rezeki yang Allah kurniakan. Lepas tu bila lihat, warga asing kian mempelopori industri pekerjaan kita, mula kedengaran kata-kata kesat. Salahkan kerajaan sebab benarkan warga asing bertapak di Malaysia. Salahkan syarikat-syarikat yang dengan senang mengupah warga asing. Padahal, semua itu terjadi salah diri sendiri. Nak kerja tapi memilih. Nak kerja dalam aircond saja. Disebabkan sikap lewa orang melayulah, gejala jenayah dikalangan warga asing meningkat. Dan juga… jenayah dikalangan orang kita sendiri.
Berapa banyak anak muda yang menjadi perompak, peragut, dan keldai dadah. Haih, nasib orang kita ni jatuh kerana kesilapan warga kita juga. Namun dalam `kesakitaan’ ini kita tetap tuding jari ke arah orang lain,’’ bebel Adif. Geram. Sakit hati pun iya juga. Orang melayu dianak tirikan di tanah kelahiran sendiri, siapa yang tak marah? Tapi lagi menyakitkan, orang melayu itu sendiri yang menyebabkan nasib mereka dianak tirikan.
Aiman telan air liur kelat. Nada serius Adif membuatkan bulu romanya meremang. Adif ni kalau bercakap, memang kalah orang lain. Apa yang dia kata, selalunya tepat dan betul. Memang silaplah haribulan kau layan sikap malas kau tu Aiman oi. Kan dah kena setepek dengan Adif.
``Yer la.’’ Aiman menyengih. Tidak mahu menjawab. Jika tidak, mahu berjela lagi bebelan Adif.
Sedang Adif mengemas sebuah kereta myvi berhenti betul-betul dihadapanya. Bunyi tayar berdecit, pantas membuatkan Adif berpaling ke belakang. Rahangnya dikertap. Gila ke apa bawa kereta? Buta ke tak nampak aku yang berdiri di bahu jalan ni. Dia cekak pinggang menanti gerangan pemandu keluar dari kereta.
Dengan bergaya Adhia turun dari kereta. Dia sengaja berhenti mengejut dihadapan lelaki itu. Sombong sangat. Tidak dia sangka akan jumpa lagi mamat ni dalam perjalanan pulang. Memang niat dia pun nak jumpa mamat ni lagi.
Buntang mata Adif lihat perempuan yang turun dari kereta myvi tu. Perempuan tadi! Huh!
Mata Aiman buntang  memandang susuk genit di hadapanya ini. Tidak berkelip matanya.  Skirt ketat paras paha. Baju tanpa lengan dengan leher berbentuk v. Air liur ditelan beberapa kali. Seksi! Patutlah si Adif berbulu dengan minah ni. Hahahaha.
``Hai.’’ Tegur Adhia dengan suara lunak menggodanya. Senyuman manis setia dibibir.
Adif tidak menjawab malah tidak memandang langsung ke arah Adhia. Dia meneruskan kerja-kerjanya.
``Hai.’’ Jawab Aiman. Dia menyiku sahabatnya itu namun tidak diendahkan.
``Dah habis meniaga ke?’’ Soal Adhia. Matanya melirik Adif.
``Eh, tak la. Baru nak mula ni.’’ Aiman buat loyar buruk. Sengih.
Adif geleng kepala. Aiman ni kalau dengan perempuan gatal semacam.
``Eii, pandai ek melawak. Hurmm… awak nama apa? Saya Adhia.’’ Adhia hulur tangan untuk bersalaman.
Belum sempat Aiman sambut tanganya ditolak kasar oleh Adif.
``Kau orang bukan muhrim, haram bersentuhan. Kau, kalau nak menggatal pun bukan tepi jalan ni. Malu la sikit. Kau tu perempuan. Jangan nak tunjuk murah sangat.’’ Lancang mulut Adif menegur. Tegur ke? Rasa macam kena kutuk aje.
``Woi, Aiman! Aku bayar gaji kau tolong aku bulan melayan perempuan. Mata tu keranjang sangat. Pantang nampak perempuan dahi licin, merenyam aje.’’ Bebel Adif beralih kepada Aiman pula.
Sebal hati Aiman. Apa punya kawanlah. Tak sporting langsung. Dan-dan dia malukan aku ni. Jatuh ego aku.Huhuhu. Dalam membebel dia tolong juga yang mana patut.
``Kawan awak tu memang sombongkan,’’  ujar Adhia. Mulutnya mencebik. Sudahlah cakap kasar saja.
``Erkk, dia macam tu. Anti perempuan,’’ Aiman sengih. Dia nampak Adif jeling tajam ke arahnya.
Bengkak hati Adif dikata anti perempuan. Bukan anti tapi menjaga batasan. Kita ni orang islam jadi hidup pun kenalah cara islam. Jangan hanya islam atas kad pengenalan. Semua main redah saja, konon moden. Hmm, penjajahan pemikiran yang semakin teruk.

No comments: