Thursday, February 6, 2020
H.U.D {bab 7}
Bab 7
Malam minggu itu Hud berkunjung lagi ke kelab malam terkemuka dikota raya ini setelah seminggu tidak memunculkan diri. Kedengaran seperti sudah lama dia tidak ke sana bukan. Mia mahupun Khaliq seringkali mengajak dia kesini, namun kesibukkan dengan kerja menghalangnya. Apatah lagi perihal dia terlupa temu janji dengan Mr David telah sampai ke pengetahuan Dato’ Syukri.
Disebabkan itu kesalahan pertama dia sepanjang berkhidmat dengan lelaki itu, dia dimaafkan. Tetapi telinganya tetap berdesing apabila di`ceramahkan’ oleh Dato’ Syukri. Entah manusia mana yang sibuk menyampaikan hal itu pada Dato’ Syukri. Bukan dia tak tahu, ada staf yang tak sukakan dia yang dinaikkan pangkat seawal perkhidmatannya di syarikat Dato’ Syukri.
Begitulah sikap manusia, penuh dengan hasad dan dengki. Pantang melihat insan lain berjaya, pasti akan berusaha menjatuhkannya kembali. Barangkali, mereka lebih suka melihat insan lain merempat dari berjaya. Sedangkan Allah telah menetapkan setiap rezeki dan untung nasib setiap makhluk ciptaanNya. Hanya manusia yang dangkal dalam berusaha dan bertawal.
Mata tajam Hud liar mencari susuk tubuh Khaliq. Jam dipergelangan tangan diintai, dia tidak awal hanya terlewat beberapa minit dari waktu yang dijanjikan. Mana pula pergi dia ni? matanya melilau memerhati ruang dalam kelab yang tidak pernah lengang. Saban malam, dipenuhi dengan pengunjung dari pelbagai peringkat umur.
``Hai, handsome,’’ si gadis tersenyum cantik. Menggoda. Tangan kanan melingkar bahu Hud, manakala tangan kiri memegang gelas minuman.
``Hai, Ayu. Lama tak jumpa you,’’ balas Hud lembut. Ditarik pinggang ramping gadis itu mendekat. Dikucup sekilas pipi mulus Ayu.
``I ada aje. You tu sekarang, sejak ada perempuan lain dah tak kenal I dah.’’ Tukas Ayu bernada merajuk.
Hud senyum senget. Kenyataan Ayu tak mampu ditangkis dengan kata-kata dalih kerana ia satu hakikat.
``Well, malam ni you seorang ke?’’
``Tak, dengan Khaliq.’’
``Ooo, jadi…’’ Ayu dekatkan tubuhnya dengan tubuh Hud. Digesel-gesel asetnya pada badan Hud dengan niat mahu memancing `kemahuan’ lelaki itu.
``Maaf Ayu. Malam ni I nak temankan Khaliq aje,’’ kedengaran nakal kenyataan itu ditelinga yang mendengar. Sepertinya Hud dan Khaliq punya hubungan `istimewa.’
``Huh!’’ Ayu menolak kasar tubuh Hud, berlalu meninggalkan lelaki itu. Sakit hati godaanya berjaya ditepis Hud. Jarang sekali lelaki itu menolak godaan perempuan.
Hud pandang gadis itu berlalu. Ayu bukanlah perempuan yang dibawa sehingga ke tempat tidur, sekadar menjadi teman dia dikelab; ringan-ringan. Perempuan yang selalu menemani dia Lynn dan sekarang Nur. Mungkin bagi orang lain dia terbuka dalam seks tapi dia bukanlah gila seks. Tidak semua perempuan yang dekat dia berakhir di kamar.
``Hey bro,’’ tegur Khaliq. Dia menghulurkan gelas yang berisi air berwarna kuning itu kepada Hud.
``Hey, kau dah lama sampai ke?’’ soal Hud berbasa basi.
``Lamalah juga tapi masih takde teman. Lainlah kau melangkah aje masuk dah ada yang menyendeng,’’ ujar Khaliq. Matanya melirik Ayu yang sudah berlalu pergi.
``Well, tengok kakilah bro,’’ bangga Hud mengatakanya.
``Huh!’’ cebik Khaliq.
``Eh, kau dah tanya kawan kau pasal budak yang aku suruh tanya tu?’’ soal Hud seraya meneguk air setan itu tanpa rasa bersalah.
``Dah. Dia cakap yang budak tu dah berhenti kerja sini.’’ Ujar Khaliq seraya meneguk air setan itu.
Hud mengeluh. Mana lagi dia nak cari Asma’? silap dia sebab tak cam Asma’ hari itu. Kalau bukan kerana Asma’ gantikan bajunya, dia takkan ingat gadis itu. Hendak bertanyakan pada Mak Cik Hasnah dia segan.
``Kau kenapa sibuk nak cari budak tu? Jangan cakap kau dah ubah selera nak cuba yang alim pulak?’’ sinis nada Khaliq. Dia tak kenal budak yang Hud suruh cari tu tapi dari apa yang Bob cakap, dia yakin yang budak tu baik. Lagipun kata Bob, budak tu kerja sini sebab perlukan duit untuk bayar hutang arwah mak ayah dia. Menurut Bob lagi budak tu berhenti kerja sebab tak sanggup lagi bersubahat.
``Hahaha, entahlah. Takdelah sampai ke situ tapi… Entahlah.’’ Hud matikan kata-katanya. Dia sendiri tidak tahu kenapa hati dia teringin sangat untuk tahu siapa gadis itu.
Jam 3 pagi barulah Hud meninggalkan kelab itu. Khaliq ajak balik sekali dia tak mahu, masih mahu melepak disitu. Sekali, dia hilang kawalan. Malam ini dia memabukkan diri dengan harapan bayangan Asma’ akan hilang dari mindanya.
Uwek! Uwek!
Asma’ berpaling ke arah suara itu. Kelihatan seorang lelaki yang sedang terbongkok seperti sedang memuntahkan sesuatu. Dek kasihan dia mendekat. Bau busuk menyeruap; Asma’ tutup hidungnya.
``Encik,’’ Asma’ cuit belakang lelaki itu.
``Mmm,’’ Hud bangun lalu bersandar pada badan kereta.
Membulat mata Asma’ memandang wajah yang amat dia kenali itu. Kepalanya tergeleng seketika. Kenapa lelaki ini boleh jadi begini? Orangnya kacak tapi sayang… Jauh terpesong. Patutlah kakinya melangkah ke sini rupanya ini yang ditakdirkan untuknya. Bertemu dengan lelaki ini sekali lagi dalam keadaan begini. Ah, mungkin ini petunjuk dari Allah supaya dia mengajar hatinya supaya tidak jatuh cinta dengan lelaki ini. Dunia mereka jauh berbeza.
``Hud,’’ lembut Asma’ menyeru nama itu.
Dia meminta tolong beberapa orang lelaki yang berdiri disitu memapah Hud ke keretanya. Poket seluar Hud diseluk mencari kunci kereta. Butang alarm ditekan random untuk mengesan yang mana satu kereta Hud.
``Terima kasih,’’ ucapnya sebelum memecut meninggalkan kelab itu. Sepanjang perjalanan telinganya di sapa dengan racauan dari bibir merah Hud.
Setitis air matanya mengalir. Kenapa hatinya sakit melihat lelaki ini begini? Sedangkan mereka tidak kenal. Hanya beberapa kali terjumpa secara kebetulan. Ah, betulkah itu semua kebetulan atau sememangnya ia takdir?
Kenapa kau sanggup musnahkan diri kau sendiri Hud? Aku tak rasa kau seorang yang jahil tentang apa yang kau lakukan sekarang ni. Aku yakin kau cukup tahu bahawa semua ini salah. Berdosa! Tapi kenapa Hud? Kenapa? Dengan air mata yang masih rancak menuruni bukit pipinya, dia mengerling Hud yang sedang cuba membuka bajunya.
Asma’ letak kereta Hud di kotak parkir yang disediakan khas buatnya. Kemudian dia memandang sekilas lelaki itu, diamati wajah yang resah itu. Hatinya memberontak untuk tahu kenapa lelaki ini begini? manakala akalnya pula menolak. Meminta dia menjauhkan diri dari Hud.
Pintu kereta dibuka, dia bawa langkah ke porch pengawal kondo.
``Hai, boleh tolong tak bro? hantarkan lelaki itu kondo dia. Tingkat 3 nombor 308.’’ Pinta Asma. Setelah mencapai persetujuan, kunci kereta diserahkan kepada lelaki tersebut. Tidak menunggu lama Asma’ berlalu pergi.
Asma’ lempar tubuh atas sofa. Penat. Mata dipejam rapat. Dia mahu lena walau sepicing.
``Kau dari mana ni?’’ soal Azyan. Setahu Azyan waktu kerja Asma’ berakhir jam 12 tengah malam tadi. Dia macam biasalah baru balik dari kerja.
``Ambil angin,’’ lemah suara Asma’. Mata terpejam namun otaknya berkerja keras. Kenapa kakinya melangkah ke sana? Waktu kerja dia habis jam 12 tengah malam, dia terpaksa temankan Sarah budak baru masuk itu sebelum kedatangan teman kerja yang sama shift denganya. Hendak ditinggalkan begitu saja, kasihan pula. Samatelah seven eleven yang mereka kerja itu memang kerap kali jadi target mat rempit atau `mat pit’ untuk merompak.
``Hahahaha, gila ambil angin pukul 4 pagi. Kau nak tipu siapa ni?’’ soal Azyan. Dia yang baru sampai rumah terkejut melihat Asma’ tidak ada.
``Mana ada tipu siapa-siapa.’’
``Hmmm,’’ Azyan meneguk jus oren dalam gelas.
``Kau memang tak nak kerja kat situ dah ke?’’ soal Azyan ubah topik. Tak guna paksa Asma’ kalau dia tak nak cakap memang gadis itu takkan bercerita.
Asma’ geleng kepala. Matanya masih terpejam. Terbayang susuk tubuh Hud yang terhuyung hayang tadi. Satu keluhan berat dilepaskan. Kenapa dia jadi begini? Susahnya nak lepaskan bayangan lelaki itu dari mindanya.
``Bukan ke kau perlukan duit? PTPTN kau tu siapa nak bayar? Belum lagi hutang…’’
``Takpelah. Insya-Allah ada rezeki aku nanti,’’ potong Asma’. Memang betul dia perlukan duit tapi kata-kata Mak Cik Hasnah membuatkan dia berfikir sekali lagi.
``Asma’ perempuan, tidak elok kerja ditempat begitu. Betul, zaman sekarang duit segalanya. Hatta kita mahu masuk tandas pun kena bayar. Namun, niat tidak menghalalkan cara. Apa yang kita perlukan dalam hidup adalah keberkatan. Salah satu punca keberkatan adalah rezeki yang halal; ia juga punca ketenangan jiwa. Kita orang islam disarankan jauhi yang syubhah kerana ditakuti jatuh pada haram, tetapi yang jelas haram juga kita dekati. Jadi bagaimana? Tepuk dada tanya iman sendiri.’’ Mak Cik Hasnah mengusap lembut tangan Asma’.
Mengingatkan orang tua itu hati Asma’ bahagia. Setelah kematian orang tuanya tiga tahun yang lepas, hidupnya keseorangan. Pertemuan kebetulan dengan Mak Cik Hasnah ketika mencari kerja kosong, membawa rahmat buatnya. Wanita tua itu seorang wanita yang penuh dengan nasihat. Tiap masa ada sahaja titipan nasihat buatnya. Terasa dirinya dihargai. Dan kerana Mak Cik Hasnah juga dia berjumpa lagi dengan Hud. Dia ingat lagi soalan pertama yang ditanya oleh Mak Cik Hasnah keesokkan harinya.
``Macam mana kerja kat rumah Hud? Dia okay tak?’’ soal Mak Cik Hasnah.
Asma’ pamer senyum. Hanya kepala dianggukkan menjawab soalan Mak Cik Hasnah. Nak jawab apa? Takkanlah nak bagitahu dia terserempak dengan perempuan dalam rumah lelaki itu. Memanglah dia tak suka apa yang lelaki itu buat, tapi tidaklah sehingga dia membuka aib lelaki itu. Biarlah, bukan urusan dia pun.
``Haih, senyum dan geleng aje? Takkanlah takde komen kut,’’ giat Mak Cik Hasnah.
``Laa, nak komen apa mak cik? Saya pergi sanakan kerja.’’ Jawab Asma’ senada.
``Memanglah kamu pergi rumah dia sebab kerja. Tapi kamu tak borak ke dengan Hud? Hud tu baik tau. Peramah. Dan… Kalau kamu nak tahu, dia tu pandai mengaji. Suara pun sedap. Cuma…’’ senyuman bangga di bibir Mak Cik Hasnah kendur. Seperti ada sesuatu yang hendak dikatakan tapi terhalang.
Asma’ kerut kening. Baik? Yer ke baik. Kalau dah bawa balik perempuan ke rumah baik ke? arak tu dah macam minum air kosong aje. Kalau sikap begitu dikatakan baik, jadi dia ni tergolong dalam golongan jahat ke?
``Mak cik dah lama ke kenal dia?’’ soal Asma’. Malas mahu mendengar monolog hatinya.
``Lama la juga. Dah dekat setahun.’’
``Ooo,’’ hanya itu yang mampu dia katakan.
``Hud tu memang baik Asma’. Tapi sayang, dia…’’
``Kenapa mak cik?’’ soal Asma’. Tak sabar pula dia nak tahu siapa Hud sebenarnya. Mak Cik Hasnah asyik memuji saja lelaki itu.
``Dia kacak. Kamu tak berkenan ke?’’ ujar Mak Cik Hasnah tiba-tiba.
``Hah?’’ bingung Asma’ pandang Mak Cik Hasnah. Dah kenapa tiba-tiba pula tanya soalan macam tu. Hud jadi pasangan dia? Hmmm… macam susah saja mahu lestarikan.
``Woi! Berangan!’’ sergah Azyan.
``Hah?’’ Asma’ bingkas bangun. Terkejut. Semua perbualan dia dan Mak Cik Hasnah hilang begitu saja.
``Aduh! Kau tidur ke berangan? Punyalah aku bercerita itu ini,’’ Azyan kacip gigi geram.
Asma’ garu kepala. Tersengih. ``Maaf.’’
``Dah la, aku nak tidur.’’
``Wey, dah nak subuh la. Tidur lepas subuhlah. Nanti terbabas pula,’’ laung Asma’.
``Aku cuti!’’ balas Azyan seraya menutup pintu biliknya.
Asma’ betulkan duduk. Leher yang sakit diregangkan. Kerja? Duit? Walaupun dia ada segulung ijazah, tapi itu masih belum mampu mengubah hidupnya. Terasa sia-sia pula dia menghabiskan waktu-waktu belajar dulu, dengan kos yang tinggi. Kalaulah dia kerja mungkin dia tidak akan dibebani dengan hutang PTPTN. Sekurang-kurangnya!
Ah, menyesal pun tiada guna. Segalanya sudah tertulis. Bahawa inilah bahagian dia didunia ini. Sayup-sayup laungan azan mencecah telinganya. Lalu dia bangun menuju bilik. Mahu membersihkan diri sebelum mengadap Yang Satu!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment