Bab 8
Perlahan-lahan matanya dibuka, bunyi bising di luar kamar bilik menganggu lenanya. Dengan payah dia cuba bangun. Kepala yang masih pening ditahan. Tangan naik memicit perlahan. Rimas dengan denyutan dikepala merupakan salah satu sebab kenapa dia seringkali menolak apabila diajak minum. Namun semalam dia terbabas. Terbabaslah sangat Hud; jika iman senipis kulit bawang sedikit godaan sudah kecundang.
Dia walaupun kaki kelab, dia bukanlah peminum tegar minuman beralkohol itu. Seingat dia hanya beberapa kali saja diteguk minuman itu; semua sebab tekanan di tempat kerja. Nafas kasar dilepas kuat. Bunyi diluar kamar makin menganggu ketenanganya. Siapa yang datang ni? Khaliq atau Nur? Tak mungkinlah Nur. Sudah seminggu minah tu hilang jejak darinya.
Perlahan-lahan dia bangun mengatur langkah ke pintu bilik. Tombol dipulas perlahan. Kepala dikeluarkan terlebih dahulu, mengintai makhluk yang berada di dalam rumahnya itu. Manalah tahu kut-kut pencuri?
Setelah yakin yang keadaan selamat, Hud mengatur langkah ke arah bunyi tersebut. Keningnya berkerut. Bunyi tersebut datang dari arah dapur. Hai, kalau pencuri takkanlah kat dapur dulu yang diselongkar? Berjingkit-jingkit Hud mengatur langkah ke dapur. Dari jauh dia melihat susuk tubuh seorang gadis berbaju kemeja kotak-kotak dengan seluar slack dan…. Tudung bawal! Melihat tudung itu dia sudah mengenali pemilik tubuh itu. Perempuan sekarang sudah pakai tudung pelbagai jenis fesyen, tapi minah ni masih selesa dengan bawal corak lama. Itupun tudung yang sama dia pakai minggu lepas.
Tiba-tiba bibir Hud mengukir senyum manis. Bersusah payah semalam dia suruh Khaliq siasat kat mana minah ni tinggal, alih-alih sekarang… minah ni dah ada didepan mata. Pemandangan yang indah, buka mata melihat si dia. Bahagianya rasa. Opps, kau dah kenapa Hud? Buang tebiat? Sejak bila kau pandai berbunga-bunga ni?
``Ehem!’’ Hud berdehem kuat. Ikutkan nakal hatinya dia ingin terus saja memeluk tubuh itu dari belakang tapi akal warasnya menahan. Tak pasal-pasal nanti benjol kepala kena ketuk dengan periuk.
Asma’ kaget. Periuk di tangan hampir saja terlepas. Jantung dia sudah berdegup laju. Aduh! Baru tadi dia rancang siap kemas dapur dia akan keluar senyap-senyap.
``Eh, dah pekak ke?’’ soal Hud pula bila tidak ada riaksi balas dari Asma’.
Asma’ kertap gigi. Dia sudahkan basuh periuk sebelum berpaling menghadap lelaki tu.
``Awak buat apa kat sini? macam mana awak masuk? Rasanya hari ni takde pulak saya bagitahu agensi yang saya nak guna pembantu rumah?’’ soal Hud dengan tangan bersilang ke dada. Mata tajam memandang wajah kalut Asma’.
Asma’ gigit lidah. Panas pula hati dengan nada Hud itu. Dia punyalah risaukan lelaki itu takut sakit, sebab itulah dia masuk ke rumah macam pencuri. Mujurlah Hud tak tukar password rumah dia. Sebab kata Mak Cik Hasnah Hud akan tukar password rumah sebulan sekali.
Kau pun bodoh Asma’. Kan lebih baik kau tidur saja lepas subuh tadi. Susahkan diri kau fikirkan mamat ni buat apa? Lebih baik risaukan tubuh kau yang dah lama tak rehat tu. Dalam seminggu dua tiga kerja yang kau buat. Marah Asma’ pada dirinya.
``Hey, saya tanya awak ni. Bila saya bertanya, jadi saya expect akan ada jawapan. Dan… Jawapanya berbentuk susunan abjad bukan silence. Rasanya awak bukan bisukan? Takkanlah baru seminggu tak jumpa dah bisu. Atau… awak…’’ Kaki Hud dihayun mendekat dengan Asma’.
Kalut Asma’ melihat lelaki itu makin mendekat. Dia pandang kiri kanan, nak lari ke mana. Sebelum sempat kakinya melangkah, Hud sudah berhenti di hadapanya. Betul-betul dekat denganya. Desah nafas lelaki itu jelas ditelinganya. Dan tangan kekar Hud mengepung tubuhnya. Ah, aku tendang anu tu baru tahu! Geram Asma’.
``Kenapa awak ada kat sini pagi ni? Di dapur rumah saya?’’ bisik Hud perlahan. Redup matanya memandang wajah Asma’.
Asma’ larikan badannya ke belakang. Makin Hud dekatkan wajah. Pantas tangan Asma’ menekan dada Hud, menahan lelaki itu dari mendekatkan lagi jarak mereka.
``Encik nak buat apa ni? Tolong jauh sikit. Kita bukan muhrim,’’ dalam suara tertahan Asma’ menyuruh. Resah hatinya. Jantungnya kian berombak laju.
Hud senyum nipis. ``Ada pun suara,’’ sinis nada Hud. Dia menjarakkan tubuhnya. ``Kalau dah tahu kita bukan muhrim… Kenapa awak masuk rumah saya? Tak takut saya apa-apakan awak?’’ Soal Hud dengan senyum nakal dibibirnya.
``Err… bu… Buat apa?’’ tergagap-gagap suara Asma’. Soalan Hud menampar sedarnya. Tangan di silang ke dada melihat mata nakal Hud yang meliar ke segenap tubuhnya. Ah, kenapa kau tak fikirkan ini semua sebelum lakukan kerja bodoh ni Asma’? kalaulah Hud buat sesuatu pada kau bukan salah dia. Kau yang datang serah diri!
``Berdua-duaan dengan perempuan cantik ni, macam-macam boleh buat. Nak saya tunjukkan contoh?’’ giat Hud lagi. Sengih nakal mekar di bibirnya. Terasa ringan tanganya mahu membelai pipi mulus itu. Kuat hatinya memberontak untuk melihat mahkota yang terlindung disebalik tudung itu.
``Eh, mmm… Tak payah. Saya nak balik dah.’’ Laju Asma’ menolak tubuh kekar Hud lalu mengatur langkah keluar dari ruang itu. Di capai beg yang ada atas meja di ruang tamu.
``Hey,’’ Hud tarik tangan Asma’ memaksa gadis itu memakukan langkah. ``Soalan saya satu pun awak tak jawab lagi. Macam mana awak boleh masuk rumah ni? Awak buat apa kat sini?’’
Aduh! Asma’ bingung. Takkanlah dia nak bagitahu yang dia risaukan Hud. Gila ke namanya tu? Buat malu diri sendiri aje. Alasan apa nak bagi ni?
``Hari tu kan saya pernah datang sini, macam mana saya masuk hari tu macam tu la saya masuk hari ni.’’ Sarkastik nada Asma’ matanya menjeling pintu.
Hud gigit lidah. Terkena dia. Dia mahu membalas kata-kata gadis itu namun bicara gadis itu yang seterusnya menimbulkan keraguan dalam dirinya.
``Mak Cik Hasnah suruh saya datang tengok encik. Dia… Rasa tak sedap hati. Takut encik tak sihat. Sekali encik okay aje ni kan… Jadi, boleh la saya balik,’’ ujar Asma’. Lantaklah nak percaya ke tak. Janji dia dah bagi alasan yang dirasakan masuk akal. Logikkan?
Hud kerut kening. Sukar dia hendak terima alasan Asma’. Macam tak togik pun ya. Kalau Mak Cik Hasnah risaukan dia kenapa mak angkat dia tu tak datang sendiri. Tiba-tiba Hud sengih jahat.
``Atau sebenarnya awak yang risaukan saya?’’ serkap Hud. Kedua kening diangkat tinggi.
``Eh, mana ada! Dah, lepas la. Saya nak balik ni.’’ Ujar Asma’ cuba melepaskan pegangan Hud.
``Kalau saya tak nak lepaskan?’’
``Haram bagi seorang lelaki ajnabi menyentuh perempuan ajnabi. Mungkin bagi encik ia perkara biasa tapi tidak saya! Maka, bila saya minta dengan elok, sila lepaskan. Jangan sampai ada yang makan tapak kasut nanti,’’ amaran keras dikeluarkan. Geram dengan sikap main-main lelaki ini.
Serta merta Hud lepaskan peganganya. Tak nak muka handsome dia jadi tempat mendarat tapak kasut sneakers gadis itu. Tapi dia suka dengan sikap Asma’.
``Konon alim la ni?’’ provoke Hud.
``Saya tak alim. Malah jauh lagi dalam kategori alim. Tapi saya juga bukan jahil tentang hukum hakam. Setakat asas begini budak tadika pun tahu encik. Bersentuhan lelaki dan perempuan ajnabi berdosa hukumnya. Saya rasa, encik pun lebih tahu dari sayakan?’’ Asma’ pandang Hud dengan pandangan yang hanya dia yang tahu.
Hud terngadah. Apa maksud perempuan tu? Takkanlah…
``Perempuan bertudung masuk rumah lelaki ajnabi, pada waktu orang lain sedang tidur, apa hukumnya pula?’’ giat Hud. Dia menjarakkan tubuhnya dari Asma’.
Asma’ tertegun. Soalan Hud menyelar kewarasanya sekali lagi. Memaku lidahnya dari bersuara; kata-kata lelaki itu bagaikan pantulan cahaya membalikkan apa yang dikatakanya sendiri tadi. Dia menasihati Hud tentang hukum lelaki dan perempuan asing bersentuhan, sedangkan dia… sungguhlah manusia ini mudah bersangka baik pada diri sendiri. Inilah yang pepatah kata; satu jari menunding pada orang empat jari menunding pada diri sendiri.
Dadanya terasa senak diserbu penyesalan. Kenapa dia boleh terlupa tentang hal itu? kenapa dia biarkan perasaan risaunya pada Hud mengaburi akalnya? Allah, ampunkanlah dosa aku. Sesungguhnya iman aku masih lemah; akuinya lemah.
``Asma’,’’ panggil Hud lembut. Kesenyapan gadis itu membuatkan dia resah. Apatah lagi wajah manis itu sudah bertukar mendung. Adakah dia sudah tersalah bicara?
``Saya balik dulu. Maaf,’’ cepat-cepat Asma’ meninggalkan ruang dapur Hud. Hud hanya memandang susuk Asma’ yang kian menghilang. Wajah mendung gadis itu menganggunya. Apakah gadis itu terasa hati dengan katanya tadi? Bau yang datang dari arah meja makan, menggamit langkahnya mendekat. Tudung saji dibuka, ada sup ayam, sayur goreng dan susu.
Tidak semena bibir Hud mengukir senyum. Senyuman yang sudah lama hilang dari hidupnya. Tanpa menunggu, kerusi ditarik lalu nasi disenduk ke dalam pinggan. Aroma sup yang semerbak menggoda seleranya untuk menjamah lauk itu.

No comments:
Post a Comment