Saturday, February 22, 2020

H.U.D{bab 10}

Bab 10

Asma’ picit kepala. Pening. Baru tadi dia dapat panggilan dari salah seorang pemiutang yang ayahnya berhutang dulu. Memaksa dia membayar semua hutang ayahnya sekaligus. Lima ribu! Mana dia nak cekau duit banyak tu. Belum lagi PTPTN dia yang sudah tertunggak dua bulan. Sudah dua kali dapat panggilan dari pihak sana, meminta dia melangsaikan baki tertunggak.
Ah, apa lagi kerja yang perlu dia lakukan untuk menyelesaikan semua hutangnya ini. Kalau dia berkeras tak nak bayar PTPTN, namanya akan disenaraikan hitamkan. Kalau tidak bernasib baik waran tangkap dikeluarkan. Gentar juga hatinya memikirkan waran tangkap itu. Baru saja dengar waran tangkap hatinya sudah kecut. Belum lagi memikirkan akibat disebaliknya.
Arghh! Dia kusut. Rambut yang panjang ditarik kasar. Dalam sehari tiga kerja dia lakukan tapi masih belum mampu untuk lunaskan hutang-hutangnya. Hutang ayah hanya dengan kawan-kawan. Namun berhutang dengan manusia lebih seksa dari bank. Walau ada sebahagianya sudah halalkan tapi ada juga yang tidak. Dia tidak mahu roh orang tuanya terseksa di sana kerana hutang dunia yang tidak selesai. Lagi pula hutang itu semua kerana ingin membesarkan dia.
Balik kampung? Tapi kalau balik kampung apa yang dia nak buat kat sana? Kerja apalah sangat yang dia boleh buat. Tapi sekurangnya rumah peninggalan arwah orang tuanya masih ada. Tidak perlu bayar sewa. Bukankah dia sudah boleh berjimat disitu.
``Hoi, kau tak kerja ke hari ni?’’ sergah Azyan.
``Tak,’’ jawab Asma’ lemah.
``Kenapa ni? Kau tak sihat ke?’’
``Taklah. Aku tengah fikirkan masa depan aku ni. Apa nak jadi agaknya? Aku ada ijazah tapi kehidupan aku masih sama. Orang lain dah dapat kerja elok. Aku ni…’’ Asma’ mengeluh tanpa sedar. Bukan sengaja mahu mengeluh tetapi perasaan ralat itu sukar dibuang. Dia tahu dengan zaman ekonomi sekarang bukan dia seorang ada ijazah yang menganggur; ramai lagi diluar sana yang pegang status sepertinya malah ada yang sanggup melakukan apa saja kerja untuk langsaikan hutang PTPTN sama macam dia.
``Hey, janganlah mengeluh. Kau pernah bagitahu aku, tak elok kita mengeluh. Seolah kita menolak takdir Allah. Usahalah lagi, siapa tahu rezeki kau akan datang. Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu,’’ ujar Azyan memberi semangat.
``Ya. Insya-Allah. Kali ini aku cuba cari lagi. Kalau tak dapat aku dah putuskan nak balik kampung saja,’’ putus Asma’.
Asma’ bangun dari duduknya. Dia masuk ke dalam bilik. Sekejap lagi dia perlu pergi kerja. Dia baringkan tubuh atas katil. Terasa malas pula mahu keluar bekerja hari ni. Dengan otak yang berserabut begini, dia tidak pasti mampu lakukan kerja atau tidak. Tapi kalau dia tak kerja macam mana nak bayar hutang dan sewa rumah ni.
Sedang melayan otak yang penuh dengan masalah telefonya berbunyi. Pantas dia mencapai telefon di sisi. Nombor yang tak dikenali. Haih, siapa ni? Dibiarkan saja panggilan itu mati dengan sendiri. Namun sekali lagi panggilan itu kembali menyapa.
Mahu tak mahu dia tekan juga butang hijau itu.
``Assalamualaikum,’’ sapanya. Sesaat, dua saat suasana masih sunyi sepi. Dia pandang skrin telefon, talian masih bersambung. Aik, bisu ke pemanggil ni? Atau saja aje ni nak kenakan aku. Eh, sekarangkan tengah kecoh panggilan tak dikenali yang boleh pukau orang sehingga mengikut segala apa yang dia orang mahu.
Meremang bulu roma Asma’ mengingatkan itu. Baru saja dia nak letak, ada suara yang menyeru namanya.
``Asma’,’’ perlahan tapi cukup untuk didengari Asma’.
Kaku dia seketika. Macam mana `dia’ ni dapat nombor telefon ni. Sepanjang pertemuan kebetulan mereka tidak pernah sekali pun lelak itu meminta nombornya.
``Hey, Asma’ awak masih kat sana ke?’’ kalut Hud bersuara. Skrin telefon dipandang berkali-kali melihat sama ada talian masih bersambung atau tidak.
Bibirnya melarik senyum apabila telinganya disapa helaan nafas Asma’. Entah kegilaan apa yang merasuk sehingga dia berani meminta nombor telefon Asma’ dari Mak Cik Hasnah, langsung tidak kisah jika disindir oleh mak angkatnya itu. Saat suara Asma’ menyapa telinganya, degup jantungnya berdetak hebat. Seluruh tubuhnya bagaikan dicas ion-ion positif membuatkan hormon tubuhnya teruja.
``Asma’,’’ diseru lembut nama gadis itu.
Sejak dia tahu nama gadis itu, dalam diam dia sering menyebut. Nama Asma’ mengingatkan dia tentang Srikandi Islam Asma’ Bin Abu Bakar Assiddiq. Anak kepada sahabat Baginda yang dikasihi; yang sering membenarkan setiap apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Asma’ seorang yang cekal dan baik budi pekertinya. Malah beliau juga seorang yang dermawan.
Asma’ Bin Abu Bakar dikenali dengan gelaran `Dzatun Nithaqaini’ iaitu wanita yang memiliki dua tali pinggang. Julukan ini diberikan pada beliau sesuai dengan pengorbanan dan keberanian beliau yang tidak ada tolak bandingnya ketika peristiwa hijrah itu. Beliau menyediakan bekalan makanan dan minuman untuk Rasulullah dan Abu Bakar di saat genting itu. Beliau mengoyak tali pinggangnya menjadi dua untuk dijadikan tali pengikat makanan dan minuman tersebut. Betapa hebatnya pengorbanan para sahabat dan mujahidah pada zaman itu.
Tanpa sedar Hud melepaskan keluhan. `Apakah aku masih tergolong dalam golongan seorang islam? Apakah aku masih mampu berkorban sehebat Srikandi Asma’? berangan untuk menjadi sehebat Asma’ saja aku sudah tidak mampu apatah lagi seperti Ali. Apakah aku mampu menjadi Zubair yang membahagiakan Asma’ nya? Aku lelaki yang penuh dosa dan noda. Lelaki yang tidak pernah puas melakukan mungkar hanya kerana kesakitan lalu. Aku…’ telefon digenggam kemas. Dadanya sesak diasak monolog diri.
``Hud,’’ perlahan nama lelaki itu meniti dibibir Asma’. Kali pertama dia memanggil lelaki itu dengan nama. Diam, tidak ada sahutan dari lelaki itu.
``Hud Wazir!’’ kali ini nadanya lebih tegas.
Hud kembali ke alam nyata. Nafas ditarik dalam sebelum menyahut panggilan Asma’.
``Wow! Bolehlah saya lena dengan tenang malam ni,’’ giat Hud bernada ceria. Tidak mahu kegusaranya dikesan oleh Asma’.
``Hah?’’
``Comel,’’ ujar Hud ceria.
``Erkk,’’ terasa bagaikan tercekik air liur sendiri. Comel? Dia? Apa yang mamat ni melalut ni.
``Eh, encik ni nak apa call saya ni? Dan dari mana encik dapat nombor telefon saya?’’ soal Asma’.
``Eh, tadi dah elok panggil nama sekarang encik pula,’’ giat Hud.
``Isyy, dah la. Saya nak letak. Banyak kerja lagi saya nak buat dari layan sewel encik ni,’’ marah Asma’.
``Garangnya. Kejaplah. Saya bosan ni,’’ lembut nada Hud memujuk.
``Apa kaitan encik bosan dengan saya pula?’’ sungguh Asma’ tak faham dengan lelaki ini.
``Mestilah ada kaitan.’’ Bersungguh nada Hud.
``Apa?’’
``Betul nak tahu ni? Tak menyesal nanti?’’  soal Hud menduga.
``Apa maksud encik ni?’’ cuak Asma’.
Hud tarik senyum. Baru cakap macam tu dah cuak. Hahaha.
``Maksud saya, kalau saya cakap apa kaitan bosan saya dengan awak, awak tak menyesal ke nanti? Yer la, kut nanti tak lena pula tidur awak,’’ jawab Hud berteka teki. Sengaja menguji ketenangan si gadis.
Asma’ kerut kening. Tak faham apa yang dikatakan lelaki ini.
``Kalau nak main-mainkan saya baik encik hang up aje. Pergi solat sunat, tak pun mengaji lebih afdal tau,’’ selar Asma’.
``I miss you!’’
Tut… tut…Talian di matikan!  Hud tarik senyum lebar. Dan Asma’ masih kaku di situ. Badan yang keletihan tadi terus tegak. Matanya bulat memandang ke depan. Ritma jantungnya bagaikan dia sedang pecut 100m.
Dia geleng kepala beberapa kali. Ah, dia salah dengar tadi. Haaa, betul-betul. Dia salah dengar. Mungkin Hud bagitahu benda lain dan dia dengar lain. Yer la, tubuh tengah letihkan. Ya, betul tu! Monolog hati Asma’ cuba menyedapkan hati sendiri.



No comments: